#518 Minta Talak Disebabkan Suami Bersikap Dingin

Soalan

Suami saya selalu merajuk, bersikap dingin dan tidak menghiraukan saya, dan kadang-kadang menyakiti hati saya dengan kata-katanya. Bolehkah isteri menuntut cerai kerana risau akan kemudharatan yang lebih parah pada masa akan datang?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Allah SWT menciptakan manusia dengan fitrahnya untuk berpasangan. Maka syariat menganjurkan supaya manusia itu berkahwin dengan tujuan untuk meraikan fitrah manusiawi. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri yang berasal dari diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang kepada mereka. Dan dia menjadikan di antara kamu perasaan mawadah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu merupakan tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang sentiasa berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Imam al-Qurthubi menyatakan dalam tafsirnya: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 17/14)

Pada asalnya tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab Syarie. Daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan yang kuat maka haram baginya bau syurga.”

Riwayat al-Tirmidzi (1187). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Sahih al-Tirmidzi (1187)

Syeikh Muhammad Hasan Abd al-Ghaffar di dalam kitabnya al-Qawaid al-Fiqhiyah baina al-Asolah wa al-Taujih,(10/8) menyatakan: Sekiranya perempuan itu meminta untuk ditalakkan tanpa alasan, ianya boleh menyebabkan kemudharatan terhadap suaminya, sedangkan kaedah menyatakan:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh membalas kemudharatan dengan kemudharatan.

Menjadi kewajipan setiap pasangan untuk saling memahami keperluan antara satu sama lain kerana nilai sebuah perkahwinan, khususnya yang terbina atas dasar cinta dan kasih sayang, perlulah tertegak di atas dasar tanggungjawab dan mendapatkan pahala yang banyak daripada Allah SWT kerana banyak sabar dan sikap memahami. Allah SWT berfirman

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا.

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh al-Maraghi menyatakan dalam tafsirnya: “Pada kalimah mu`asyarah terdapat makna pergaulan dan kesamarataan, iaitu hendaklah kamu orang lelaki bergaul dengan mereka secara ma`ruf (baik) dan mereka juga hendaklah bergaul dengan kamu dengan baik juga. Maka wajib setiap pasangan itu mendatangkan kegembiraan dan senang hati kepada pasangan yang satu lagi dan menjadikan diri sebagai sebab bagi kelembutan dan kebahagian dalam kehidupan dan tempat tinggal bersama.”

Kita perlu mengetahui bahawa hukum asal bagi penceraian (talaq) adalah halal di dalam Islam, tetapi makruh (dibenci Syarak). Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبغَضُ الحَلاَلِ إلى اللهِ عزَّ وجلَّ الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talaq.

Riwayat Abu Dawud (2178) dan Ibn Majah (2018). Syeikh Syuaib al-Arnout menyatakan di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2178) bahawa para perawi bagi hadith ini Thiqah tetapi hadith yang sebetulnya adalah mursal.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Mu’tamadfi al-Fiqh al-Syafie, (4/138-140) menyatakan, dalam keadaan-keadaan dan situasi-situasi tertentu, hukum penceraian tidak dapat lari daripada hukum yang lima:

  1. Ini apabila seseorang lelaki melakukan al-Ila’(الْإِيْلَاءْ)[1] apabila sudah tamat tempoh al-ila’.
  2. Sunat. Terdapat tiga situasi bagi hukum ini:
    • Jika isteri tidak dapat komited dalam melayan suaminya, sehingga buruk akhlaknya.
    • Suami cuai dalam memberikan hak kepada isterinya, kerana benci atau selain itu.
    • Isteri itu gagal menjaga kehormatan dirinya daripada lelaki lain (curang dan sebagainya).
  3. Jika isteri masih komited dengan tugasnya sebagai seorang isteri. Begitu juga bercerai atas sebab yang remeh. Maka sepatutnya suami atau isteri bertahan dan bersabar. Mereka juga hendaklah terus berbuat baik dengan pasangan untuk mendapatkan pahala daripada Allah.
  4. Jika terdapat sebab yang diterima syarak tetapi lebih utama untuk suami itu bertahan dengan perkahwinan, dan terus berbuat baik, menolak keburukan isteri itu dengan melakukan ihsan belas kasihan kepadanya, menjaga keharmonian keluarga dan perkahwinan, kebajikan anak-anak, dan hubungan dengan mertua.
  5. Haram. iaitu talak ketika haid bagi isteri yang sudah disetubuhi, dan talak ketika waktu suci tetapi baru disetubuhi suami, kerana ada kemungkinan isteri itu mengandung.

Begitu juga Syarak memperuntukkan hak bagi isteri untuk meminta fasakh apabila terdapat aib pada pihak suami. Antara aib tersebut ialah keadaan gila yang menjangkiti otak. Jika berlaku gila itu, fasakh boleh dilakukan bagi menyelamatkan isteri daripada jenayah yang berlaku akibat penyakit gila itu, tanpa perlu kepada istihkam (diagnosis atau pemeriksaan) kerana bahaya itu sudah sedia ada. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/96)

Melihat kepada situasi di atas, hal demikian masih boleh dibincangkan bersama dengan kesabaran dan hikmah bijaksana. Tidak sepatutnya cerai terus dijadikan sarana untuk menyelesaikan masalah. Hal ini kerana Iblis bersukacita dengan kejayaan tentera-tenteranya yang berjaya menceraikan suami isteri. Daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ، ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ، فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً، يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا، فَيَقُولُ: مَا صَنَعْتَ شَيْئًا، قَالَ ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ، قَالَ: فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ: نِعْمَ أَنْتَ

Maksudnya: Sesugguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air lalu menyeru sekalian tenteranya. Maka di bawahnya ialah tentera yang paling besar pengaruh fitnahnya. Datang seorang daripada mereka mengadap Iblis, seraya berkata: “Aku telah berbuat sekian sekian.” Iblis menjawab: “Kamu tak buat apa pun.” Kemudian datang seorang lagi tenteranya lalu berkata: “Aku tidak akan tinggalkan dia (mangsaku) sehingga aku berjaya memisahkan antara dia dan isterinya. Iblis membalas: “Kamu hebat!”.

Riwayat Muslim (2813)

Justeru, gunalah saranan yang lebih baik seperti bersemuka, atau menggunakan wakil daripada kalangan keluarga atau orang yang dipercayai menjadi orang tengah. Selain itu, permasalahan ini juga boleh dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Agama Islam untuk khidmat nasihat dan kaunseling.

Namun begitu, dalam beberapa keadaan yang tidak boleh dieelakkan, harus bagi wanita itu meminta cerai jika berlaku dharar seperti:

  1. Kegagalan suami untuk menyediakan hak isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik, dan tempat tinggal yang stabil. Isteri yang tidak diberikan hak yang disebutkan itu boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. (Lihat al-Mughni li Ibn Qudamah, 8/204)
  2. Suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat. Ini termasuklah memboikotnya tanpa alasan syarak, memukulnya, dan memaki seperti mengatakan. (Lihat Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir, 2/345)
  3. Suami suka bermusafir lama seperti 6 bulan dan isteri itu takut dirinya tidak dapat mengawal fitnah, yakni keperluan syahwatnya. Imam Ahmad pernah ditanya berapa lama seorang suami boleh meninggalkan isterinya kerana musafir? Jawabnya adalah 6 bulan. ( Lihat al-Mughni li Ibn Qudamah, 7/305)
  4. Suami itu dipenjara dalam suatu tempoh masa yang lama dan isteri itu menderita kerana dharar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah, 29/67)
  5. Suami berpenyakit mandul, tiada daya seksual, atau sakit berbahaya dan seumpama dengannya.
  6. Suami berperangai fasiq lagi buruk dengan dosa-dosa besar seperti melakukan perkara syirik, tidak solat dan berpuasa dan isteri telah bersabar lama setelah menasihatinya. Syeikh Ibn Uthaimin pernah ditanya tentang isteri yang meminta cerai dari suami yang penagih dadah kerana takut pengaruh buruknya kepada keluarga. Syeikh menjawab menuntut cerai itu dibolehkan.
  7. Timbul kebencian melampau dalam hati isteri walaupun tidak diketahui puncanya. Berkara Syeikh Jibrin: “Keadaan seperti ini sunat bagi suami itu menceraikannya jika dia melihat daripada keadaan isteri itu kegagalan menahan diri, bersabar yang mana membawa kepada cerai khulu’ kerana permintaan cerai itu berpunca daripada kegelisahan dalam hatinya dan tiada dosa atas demikian itu.”
  8. Si suami menghalang isterinya daripada berjumpa keluarganya khususnya ibu bapanya.

Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa penceraian bukan cara untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam hubungan suami isteri, bahkan penceraian merupakan jalan yang terakhir sekiranya masalah yang berlaku tidak dapat diselesaikan walaupun pelbagai cara dan ikhtiar telah di ambil, namun perlu diikut oleh garis panduan yang dibenarkan oleh syara’ sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Ambillah jalan yang baik dengan berbincang serta berlapang dada dalam menyelesaikan masalah. Semoga masalah yang dihadapi diselesaikan dengan baik.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 18 Februari 2022 bersamaan 16 Rejab 1443H

[1] Al-Ila’(الْإِيْلَاءْ) dari sudut bahasa bermaksud sumpah dan dari sudut istilah bermaksud seseorang itu bersumpah untuk menjauhi isterinya, dia tidak mendekatinya dan tidak bermuamalat sebagai suami isteri selama lebih daripada 4 bulan.