#5180: Mengkafirkan Orang Islam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah mengkafirkan orang Islam dengan sebab maksiat yang dilakukan tanpa iktiqad halalnya perbuatan tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

(Surah al-Ma’idah: 54)

Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Allah mengkhabar bahawa Dia Maha Kaya terhadap alam semesta dan bahawa sesiapa yang murtad dari agama-Nya, maka Dia tidak merugikan Allah sedikit pun, akan tetapi merugikan dirinya sendiri. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 2/106)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu sebuah hadith berkenaan larangan dari menuduh orang Islam dengan kalimah kufur atau fusuq.

Daripada Abu Zar RA, dikatakan bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلاَ يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.”

Riwayat al-Bukhari (6045)

Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, barangsiapa yang berkata kepada seseorang dengan mengatakan kamu fasiq atau kamu kafir dan tuduhan itu tidak seperti yang dikatakan maka dia (yang melemparkan tuduhan) berhak mendapat apa (sifat) yang disebutkan itu. Jika sebaliknya, maka tuduhan itu tidak akan kembali kepadanya disebabkan tuduhannya itu benar.

Tambahan pula, jika seseorang itu mengatakan sedemikian dengan tujuan untuk menasihatinya atau menasihati orang lain dengan menjelaskan hal keadaannya maka ia dibenarkan. Adapun jika tujuannya untuk memalukan orang yang dituduhnya atau memperkenalkan kepada khalayak akan sifat tersebut yang ada pada dirinya maka ia tidak benarkan kerana kita dituntut untuk menutup aib saudara kita serta mengajarnya dan memberi nasihat kepadanya dengan penuh hikmah. Selain itu, selagi mana seseorang itu mampu untuk melakukannya dalam keadaan yang baik maka dia tidak boleh melakukannya dalam keadaan kekerasan kerana bimbang ini akan menjadi sebab orang yang dituduh akan berterusan dengan keadaan seperti itu. (Lihat Fath al-Bari, 10/466)

Oleh itu, apabila berlaku maksiat selama mana seseorang itu tidak beriktiqad kehalalannya akan maksiat tersebut, maka dia dianggap sebagai orang yang derhaka (عاصي) dan tidak mengeluarkan dari daerah keislaman. Justeru, mereka hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha dan kembali mentaati perintah Allah SWT serta menjauhi segala larangan-Nya.

Kami suka menyatakan para ulama amat cermat dalam menghukum kufur dan keluarnya seseorang daripada daerah Islam dengan sebab maksiat yang dilakukannya. Antaranya dinyatakan pendapat tokoh-tokoh Islam:

  • Imam al-Nawawi menyebutkan, sesungguhnya mazhab ahli hak tidak mengkafirkan orang Islam dengan maksiat tanpa iktikad batalnya agama Islam.
  • Imam Abu Ubaid berkata, sesungguhnya di sisi kami bahawa maksiat dan dosa tidak menghilangkan iman dan mewajibkan kufur. Akan tetapi ternafinya iman pada hakikatnya dan keikhlasannya seperti yang telah disifatkan Allah dengannya dalam nas.
  • Abdullah bin Muhammad al-Qarani menyebut satu kaedah berbunyi: “Tiadalah setiap orang yang melakukan sesuatu daripada syirik atau kufur yang nyata boleh dikafirkannya dengan sebab ucapannya atau perbuatannya, tetapi mestilah memenuhi segala syarat untuk mengkufurkannya dan ternafi sebarang halangan pada haknya.” (Lihat Dhawabit al-Takfir inda Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, hlm. 219)

Kami nyatakan di sini sebuah hadith daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat seperti solat kita, menghadap (sebagaimana kita menghadap) ke kiblat kita, makan (sebagaimana kita makan) sembelihan kita, maka dia adalah Muslim. Baginya jaminan Allah dan Rasul-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (391)

Imam al-Nawawi berkata:

وَاتَّفَقَ أَهْلُ السُّنَّةِ مِنَ الْمُحَدِّثِينَ وَالْفُقَهَاءِ وَالْمُتَكَلِّمِينَ عَلَى أَنَّ الْمُؤْمِنَ الَّذِي يُحْكَمُ بِأَنَّهُ مِنْ أَهْلِ الْقِبْلَةِ وَلَا يُخَلَّدُ فِي النَّارِ لَا يَكُونُ إِلَّا مَنِ اعْتَقَدَ بِقَلْبِهِ دِينَ الْإِسْلَامِ اعْتِقَادًا جَازِمًا خَالِيًا مِنَ الشُّكُوكِ وَنَطَقَ بِالشَّهَادَتَيْنِ

Maksudnya: Ulama Ahli Sunnah wa al-Jama’ah daripada kalangan ahli hadith, fuqaha’ dan mutakallimin telah bersepakat bahawa seorang Mukmin yang dihukum ahli qiblat – di mana dia tidak kekal dalam neraka- tidak terjadi perkara itu melainkan dia orang yang benar-benar memiliki keyakinan yang pasti terhadap agama Islam, bersih daripada sebarang keraguan dan dia pun telah (jelas) mengucapkan dua kalimah syahadah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 1/149)

Imam al-Tahawi Rahimahullah berkata:

وَنُسَمِّي أَهْلَ قِبْلَتِنَا مُسْلِمِينَ مُؤْمِنِينَ، مَا دَامُوا بِمَا جَاءَ بِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُعْتَرِفِينَ، وَلَهُ بِكُلِّ مَا قَالَهُ وَأَخْبَرَ مُصَدِّقِينَ

Dan kami menamakan ahl al-Qiblah sebagai muslimin dan mukminin selama mana mereka mengiktiraf dan membenarkan apa yang dibawa dan dikhabarkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Aqidah al-Tahawiyyah tahqiq al-Arnauth, 2/432)

Imam Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi ketika mensyarahkan kata-kata Imam al-Tahawi menyebut: “Dalam kata-katanya ini, Syeikh al-Tahawi memberitahu bahawa Islam dan iman adalah satu dan seorang Muslim tidak keluar dari Islam disebabkan melakukan dosa selagi dia tidak menghalalkannya.

Maksud ahl al-qiblah ialah orang yang mengaku sebagai Islam dan menghadap ke Ka’bah sekalipun daripada kalangan orang yang suka mengikut hawa nafsu atau daripada kalangan ahli maksiat selagi dia tidak mendustakan sesuatu daripada ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyah oleh Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi, 2/78)

Imam al-Tahawi turut berkata:

وَلَا نُكَفِّرُ أَحَدًا مِنْ أَهْلِ الْقِبْلَةِ بِذَنْبٍ، مَا لَمْ يَسْتَحِلَّهُ، وَلَا نَقُولُ لَا يَضُرُّ مَعَ الْإِيمَانِ ذَنْبٌ لِمَنْ عَمِلَهُ

Kami tidak mengkafirkan seorang pun dari ahl al-Qiblah yang melakukan dosa selagi mereka tidak menghalalkannya, namun kami tidak mengatakan bahawa iman tidak terjejas bagi orang yang melakukan dosa. (Lihat al-Aqidah al-Tahawiyyah tahqiq al-Arnauth, 2/432)

وَلَا يَخْرُجُ الْعَبْدُ مِنَ الْإِيمَانِ إِلَّا بِجُحُودِ مَا أَدْخَلَهُ فِيهِ

Seseorang itu tidak terkeluar daripada iman melainkan jika dia mengingkari perkara-perkara yang memasukkannya ke dalam keimanan (pengakuan tauhid dan perkara yang diketahui sebagai asas agama). (Lihat al-Aqidah al-Tahawiyyah tahqiq al-Arnauth, 2/458)

Perkara yang memasukkan seseorang dalam keimanan ialah membenarkan dalam hati dengan teguh, akur dengan penuh mendalam dan penyerahan hati terhadap apa yang diturunkan Allah dan diwahyukan kepada rasul-Nya. Maka ucapan tauhid adalah merupakan bukti terhadap perkara tersebut. (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 953)

Ini menunjukkan, syarak tidak semudah itu untuk mengeluarkan seseorang daripada daerah keislaman. Imam al-Ghazali mengatakan, setiap hukum syarak diketahui menerusi sumber asal syarak atau ijmak atau qiyas. Demikian juga bagi menentukan kekufuran seseorang, ia juga diketahui menerusi sumber asal syarak atau qiyas kepada asalnya. Asal yang muktamad adalah sesiapa yang membohongi Rasulullah SAW maka ia kafir. (Lihat al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 156) Di tempat lain al-Ghazali mengatakan, penjelasan mengenai apa yang mengkufurkan dan apa yang tidak mengkufurkan memerlukan penerangan yang panjang lebar bagi menyenaraikan pendapat setiap kumpulan berserta syubhatnya. (Lihat Faysal al-Tafriqah Bayn al-Islam wa al-Zandaqah, hlm. 88-89)

Berdasarkan perbahasan di atas, dapat difahami bahawa membincangkan batas-batas iman dan kufur perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Ini penting agar tiada mana-mana pihak yang tersalah faham sehingga terjebak ke dalam sikap melampau. Sama ada terlampau ekstrem dalam mengeluarkan seseorang daripada Islam atau terlampau liberal sehingga mengharuskan apa jua bentuk kekufuran yang dilakukan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)