#5183: Kadar Jarak Antara Orang Solat dan Sutrah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapakah jarak sepatutnya antara orang yang sedang solat dengan sutrah yang berada di hadapannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat di tempat terbuka, sunat diletakkan sutrah seperti imam atau orang perseorangan solat. Hal ini berdasarkan hadith:

  • Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ العِيدِ أَمَرَ بِالحَرْبَةِ، فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّي إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السَّفَرِ، فَمِنْ ثَمَّ اتَّخَذَهَا الْأُمَرَاءُ.

Maksudnya: Bahawa ketika Rasulullah SAW keluar pada hari raya, Baginda meminta lembing, lalu dipacakkan di hadapannya. Setelah itu, Baginda menunaikan solat (dengan menghadap) ke arahnya dan orang ramai berada di belakang Baginda. Baginda SAW juga sering melakukannya sebegitu ketika permusafiran. Oleh kerana itulah, para pemimpin menjadikannya sebagai tradisi mereka.

Riwayat al-Bukhari (494)

  • Daripada ‘Aun bin Abu Juhaifah, katanya: aku mendengar bapaku berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِمْ بِالْبَطْحَاءِ – وَبَيْنَ يَدَيْهِ عَنَزَةٌ – الظُّهْرَ رَكْعَتَيْنِ، وَالعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ، تَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ المَرْأَةُ وَالحِمَارُ.

Maksudnya: “Nabi SAW mengimami mereka (para sahabat) – dan di hadapan Baginda terpacak sebatang lembing – di al-Bat-ha’, menunaikan solat Zohor dua rakaat dan solat Asar dua rakaat. Sementara kaum wanita dan keldai melintas di hadapan Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (495)

Adapun jarak yang sepatutnya di antara orang yang solat dengan sutrahnya, ia berdasarkan kepada hadith:

  • Daripada Sahl bin Sa‘d, katanya:

كَانَ بَيْنَ مُصَلَّى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ الجِدَارِ مَمَرُّ الشَّاةِ.

Maksudnya: “Jarak di antara tempat sujud Rasulullah SAW dengan dinding boleh dilalui oleh seekor kambing.”

Riwayat al-Bukhari (496)

  • Daripada Salamah, katanya:

كَانَ جِدَارُ المَسْجِدِ عِنْدَ المِنْبَرِ مَا كَادَتِ الشَّاةُ تَجُوزُهَا.

Maksudnya: “Jarak di antara dinding masjid dengan mimbar, lebih kurang laluan yang dilepasi oleh seekor kambing.”

Riwayat al-Bukhari (497)

Justeru, kami katakan, jarak yang sepatutnya adalah sekadar melepasi tempat sujud antara seseorang dengan sutrah tersebut, yang diibaratkan seperti laluan kambing atau biri-biri.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”