#5185: Maksud dan Fahaman Tanasukh al-Arwah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana muncul fahaman Tanasukh al-Arwah dan apakah amalan serta fahaman mereka ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

‏ وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: ‘Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.’”

(Surah al-Isra’: 85)

Imam Fakhruddin al-Razi mentafsirkan ayat tersebut dengan menyatakan  Allah SWT ingin menjelaskan bahawa akal manusia terhad dan tidak mampu untuk mengetahui lebih dalam berkenaan dengan roh. (Lihat Mafatih al-Ghaib , 21/31)

Dalam al-Mausu‘ah al-Muyassarah fi al-Adyan mendefinisikan Tanasukh al-Arwah sebagai sekiranya seseorang itu mati, maka jasadnya akan binasa, lalu roh akan meninggalkan jasad itu untuk dijelmakan semula dan menetap dalam jasad yang lain berdasarkan kepada amalan yang dia kerjakan dalam kehidupannya yang pertama. Seterusnya roh akan memulakan kitaran baru dalam hal tersebut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu‘asirah, 2/728)

Menjawab persoalan di atas, asal fahaman tanasukh ini mula berkembang daripada aliran Sabi’ah (الصابئة) yang dikenali sebagai Hiznaniyyah. Mereka berpendapat — sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Syahrastani — bahawa tanasukh itu ialah berulangnya ulangan dan pusingan sehingga tiada kesudahan. Pada setiap kali pusingan terjadilah apa yang terjadi pada pusingan yang awal. Ganjaran pahala dan seksaan berlaku di dunia ini dan bukannya di dunia lain yang tidak ada amalan padanya. Amalan-amalan yang sedang kita lakukan ini adalah pembalasan terhadap amalan-amalan yang dahulunya kita kerjakan pada pusingan-pusingan yang lepas. Ketenangan, kegembiraan dan kebaikan yang dikecapi ini adalah disebabkan oleh amalan-amalan baik yang pernah dilakukan pada pusingan-pusingan yang lalu. Manakala kesedihan, kesempitan dan keberatan yang dhadapi sekarang pula adalah disebabkan oleh perbuatan jahat yang pernah kita lakukan pada pusingan yang lalu. Begitulah, apa yang terjadi dahulu akan terjadi kemudiannya. Terputusnya rangkaian ini dari mana-mana segi tidak dapat digambarkan datang daripada Tuhan yang bijaksana.

Apa yang mereka maksudkan dengan putaran dan pusingan ialah kehidupan ini menjadi baharu pada setiap jangka waktu (period) tertentu yang mereka anggarkan selama 36,425 tahun. Pada period ini terdapat semua makhluk berpasang-pasangan. Apabila selesai pusingan ini, terputuslah keturunan dan kelahiran, dan bermulalah pusingan baharu bagi manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Begitulah selama-lamanya. Tidak ada kebangkitan, kiamat dan negeri melainkan negeri (dunia) ini sahaja.

Golongan Brahma mempunyai peranan yang besar dalam menyebarkan fahaman tanasukh ini. Hal ini kerana tanasukh merupakan akidah khusus mereka. Lahirnya manusia pada darjat yang tinggi atau rendah bukan disebabkan oleh kebetulan, bukan juga disebabkan oleh faktor material semata-mata dan bukan juga disebabkan oleh kehendak Tuhan yang Maha Kuasa. Akan tetapi ia disebabkan oleh amalan-amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang atau dosa-dosa yang dilakukannya pada kehidupan sebelum kehidupannya sekarang.

Selain itu, terdapat juga satu kumpulan ajaran al-Thanawiyyah (الثنوية) yang berpegang dengan fahaman tanasukh ini. Menurut mereka manusia selama-lamanya berada antara salah satu daripada dua keadaan, sama ada dalam keadaan sedang melakukan atau sedang menerima pembalasan. Keadaan yang sedang ditempuhinya sama ada ganjaran terhadap amalan masa lalunya atau amalan yang menanti pembalasannya. Syurga dan neraka terdapat dalam tubuh badan ini. Kedudukan tertinggi itu ialah darjat nabi-nabi, sedangkan tahap terbawah itu ialah tahap ular. Tidak wujud kedudukan yang lebih tinggi darjatnya daripada kerasulan dan tidak wujud juga kedudukan yang lebih rendah daripada ular. Di samping itu, terdapat dalam kalangan mereka yang berpendapat, kedudukan tertinggi ialah kedudukan malaikat dan kedudukan yang terendah pula ialah tahap syaitan.

Idea-idea seumpama ini telah mempengaruhi pemikiran masyarakat Islam. Oleh kerana itu, dalam kalangan Syiah Hasyimiah ada yang berpendapat bahawa roh-roh saling berpindah dari satu tubuh ke tubuh yang lain sama ada tubuh manusia, tidak kira daripada Nabi Adam ataupun haiwan-haiwan. Bukan itu sahaja, mereka juga mengatakan roh Allah turut berpindah (tanasukh) sehingga sampai kepada imam mereka dan bertempat dalam tubuhnya. Antara mereka yang berpegang dengan pendapat ini juga ialah Ahmad bin Habit, Ahmad bin Nanus, Abu Muslim al-Khurasani dan Muhammad bin Zakaria al-Razi al-Tabib. Mereka menyebutkan, seandainya jika tidak ada cara lain untuk melepaskan roh daripada jasad yang berupa haiwan kepada jasad yang berupa manusia melainkan dengan cara pembunuhan dan sembelihan, nescaya tidak boleh sama sekali disembelih haiwan-haiwan. (Lihat al-Ruh fi Dirasat al-Mutakallimin wa al-Falasifah, hlm. 203-205)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)