#5188: Tafsir Pakaian Sutera

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah tafsir dalam mimpi bila melihat pakaian sutera?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Banyak isu yang terkait dengan mimpi. Justeru, kami bahagikan kepada beberapa perkara:

Pertama: Mimpi yang benar dan mainan syaitan

Dalam hal ini, kami kemukakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah bahawa Baginda bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Kedua: Sikap kita terhadap mimpi

Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Ketiga: Mimpi adalah salah satu juzuk daripada 46 juzuk kenabian

Benarlah sabda Nabi SAW, daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Baginda bersabda:

رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi seorang mukmin adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Riwayat al-Bukhari (6987)

Guru kami Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Disebut 46 juzuk kenabian dengan maksud usia risalah Rasulullah SAW kepada umatnya selama 23 tahun. Sedangkan datang dalam bentuk mimpi pada permualaan wahyu selama 6 bulan, ketika di Gua Hira’. Justeru, 6 bulan mewakili setengah tahun. Maka jadilah mimpi itu 1/46 juzuk kenabian.

Keempat: Mimpi yang baik sebagai berita gembira

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.

Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (6990)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan apa yang disebut oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya.

بَابُ ثِيَابِ الحَرِيرِ فِي المَنَامِ

Bab: Bermimpi Melihat Pakaian Sutera

Daripada Aisyah, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

أُرِيتُكِ قَبْلَ أَنْ أَتَزَوَّجَكِ مَرَّتَيْنِ، رَأَيْتُ المـَلَكَ يَحْمِلُكِ فِي سَرَقَةٍ مِنْ حَرِيرٍ، فَقُلْتُ لَهُ: اكْشِفْ، فَكَشَفَ فَإِذَا هِيَ أَنْتِ، فَقُلْتُ: إِنْ يَكُنْ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللهِ يُمْضِهِ، ثُمَّ أُرِيتُكِ يَحْمِلُكِ فِي سَرَقَةٍ مِنْ حَرِيرٍ، فَقُلْتُ: اكْشِفْ، فَكَشَفَ، فَإِذَا هِيَ أَنْتِ، فَقُلْتُ: إِنْ يَكُ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللهِ يُمْضِهِ.

Maksudnya: “Dua kali engkau diperlihatkan dalam mimpiku sebelum aku mengahwinimu. Aku melihat seorang malaikat membawamu dalam sehelai kain sutera, lalu aku berkata kepadanya: ‘Singkaplah (kain itu).’ Maka dia pun menyingkapnya dan ternyata ia adalah engkau. Kemudian aku berkata: ‘Jika ini dari Allah, pasti Allah SWT akan membuatkannya berlaku.’ Kemudian engkau diperlihatkan lagi kepadaku di dalam mimpi, dimana (malaikat) membawamu dalam sehelai kain sutera, lalu aku berkata: ‘Singkaplah (kain sutera itu).’ Lalu dia pun menyingkapnya, ternyata itu adalah engkau. Lalu aku berkata: ‘Jika ini daripada Allah, pasti Allah SWT akan membuatkannya berlaku.’”

Riwayat al-Bukhari (7012)

Kemudian Rasulullah SAW telah berkahwin dengan Aisyah R.Anha. Justeru, maksud mimpi disingkap kain sutera dan mendapati Aisyah itu ialah jodoh Nabi SAW dengan Aisyah dan dikhabarkan melalui mimpi, yang akhirnya ia tertahqiq dan berlaku perkahwinan antara kedua-duanya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”