#5190: Sikap Muslim Sekiranya Sudah Tidak Ada Jemaah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana keadaannya sekiranya di akhir zaman, sudah tidak ada jemaah? Adakah di sana petunjuk Nabawi apabila hal ini berlaku?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan pandangan Imam al-Bukhari:

بَابٌ: كَيْفَ الأَمْرُ إِذَا لَمْ تَكُنْ جَمَاعَةٌ؟

Bab: Bagaimanakah Keadaannya Sekiranya Sudah Tidak Ada Jemaah?

 

Huzaifah bin al-Yaman R.A berkata:

كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الخَيْرِ، وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ، مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللهُ بـِهَذَا الخَيْرِ، فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟ قَالَ: «نَعَمْ». قُلْتُ: وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ؟ قَالَ: «نَعَمْ، وَفِيهِ دَخَنٌ». قُلْتُ: وَمَا دَخَنُهُ؟ قَالَ: «قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي، تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ». قُلْتُ: فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟ قَالَ: «نَعَمْ، دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ، مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا». قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ صِفْهُمْ لَنَا، قَالَ: «هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا». قُلْتُ: فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ؟ قَالَ: «تَلْزَمُ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ». قُلْتُ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلاَ إِمَامٌ؟ قَالَ: «فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الفِرَقَ كُلَّهَا، وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ، حَتَّى يُدْرِكَكَ المَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ».

Maksudnya: Dahulu orang ramai (para sahabat) bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan, sedangkan aku bertanya kepada Baginda tentang keburukan kerana khuatir keburukan itu akan terkena padaku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sungguh kami berada di masa jahiliyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami, apakah sesudah kebaikan ini ada keburukan?” Baginda menjawab: “Ya!” Aku berkata: “Apakah sesudah keburukan itu ada kebaikan?” Baginda bersabda: “Benar, akan tetapi terdapat asap padanya (iaitu keadaannya sudah tidak bersih).” Aku berkata: “Apakah asap tersebut?” Baginda bersabda: “Kaum yang berpetunjuk dengan selain petunjukku. Engkau mengenali mereka akan tetapi mengingkari amalan mereka.” Aku berkata: “Apakah sesudah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Baginda bersabda: “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahanam. Barangsiapa menyambut (mengikut seruan) mereka maka mereka akan mencampakkan ke dalam jahannam.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Baginda bersabda: “Mereka berkulit sama dengan kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku berkata: “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku jika aku mendapati keadaan seperti itu?” Baginda bersabda: “Hendaklah engkau melazimi jemaah kaum muslimin dan imam mereka.” Aku berkata: “Bagaimana jika tidak ada jemaah dan tidak pula ada imam (pemimpin) kaum muslimin?” Baginda bersabda: “Hindari kelompok-kelompok itu semuanya meskipun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sampai kematian datang menjemputmu dalam keadaan engkau seperti itu.”

Riwayat al-Bukhari (7084)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT, supaya kita sentiasa diberi taufik dan hidayah dan bertemu dengan-Nya, dengan pengakhiran husnul khatimah:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”