Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika kita sudah berkahwin, seorang isteri wajib taat kepada suami dan kita faham suami adalah priority teratas dalam kes ini. Tetapi, jika suami tidak benarkan isteri untuk berhubung, berbuat baik dan menziarahi ibubapa dan adik beradik. Apakah yang perlu dilakukan oleh seorang isteri jika menghadapi situasi ini supaya dia tidak dianggap menderhaka kepada suami tapi pada masa yang sama mahu menjaga dan memelihara hubungan dengan keluarga terutama ibu dan bapa sendiri.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)
Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)
Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”
(Surah al-Nisa’: 3)
Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seorang isteri wajib mentaati suaminya dan wajib si suami memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya. Namun, perlu difahami di sini, taat kepada suami, bukan beerti taat membuta tuli tetapi taat pada perkara yang dibenarkan syarak seperti disuruh mengaji, solat, menutup aurat, jaga adab pergaulan dan seumpamanya. Akan tetapi, jika sehingga melarang untuk berhubung, menziarahi, atau berbuat baik kepada ibubapa tanpa sebab yang munasabah di sisi syarak, maka ini tidak benar dan tidak wajib mengikut arahan sedemikian.
Nasihat kami, sebagai suami isteri perlu adanya persefahaman dan tolak ansur dalam berumahtangga. Jauhilah perkara-perkara yang akhirnya boleh berakhir dengan perceraian seperti panas baran, mengongkong, tidak menghormati pasangan, mencarut dan memalukan pasangan khususnya dihadapan anak-anak.
Semoga Allah memudahkan urusan anda dalam melayari bahtera rumahtangga, serta jalanilah tanggungjawab sebagai suami isteri dengan sebaiknya kerana ia merupakan amanah. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)