#5195: Ashab al-Kahfi: Muslim atau Kristian?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita menyatakan bahawa Ashab al-Kahfi itu beragama Kristian?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami melihat, sudah ada sedikit salah faham timbul dalam kalangan masyarakat awam dalam memahami isu ini. Misalnya, ada yang menulis  di media sosial dengan menyatakan bahawa “Agama mereka adalah Nasrani (kini dipanggil Kristian).” Ini kesimpulan yang agar tersasar dan memerlukan kepada perincian yang lebih mendalam.

Kami mulakan dengan persoalan ringkas yang sering berlegar dan menjadi perbincangan:

  • Adakah wujud kisah Ashab al-Kahfi disebutkan di dalam Taurat?
  • Adakah kisah Ashab al-Kahfi disebutkan di dalam Injil?

Berkenaan persoalan ini, Dr. Ahmad al-Majzub menjawab bahawa kisah Ashab al-Kahfi ini tidak disebutkan di dalam sumber-sumber rujukan Yahudi. Ia termasuk dari kisah yang warid di dalam al-Quran, tetapi penceritaannya amat sedikit dan tidak terdapat kisahnya di dalam kitab agama Yahudi. Berbeza dengan kisah-kisah lain dalam al-Quran yang sebahagiannya mungkin didapati di dalam Taurat dan kitab selepasnya. Kemudian, golongan Yahudi cuba memasukkan cerita Ashab al-Kahfi ini di dalam kitab-kitab agama mereka.

Ketiadaan kisah ini di dalam Taurat tidaklah menafikan kesahihan peristiwa yang berlaku, dan tidak ada kepentingan sama ada kisah ini disebutkan di dalam Taurat atau tidak, lebih-lebih lagi setelah terbongkar bahawa golongan Yahudi ini telah memalsukan sejarah dan mengubah peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalamnya demi kepentingan mereka, dikuatkan lagi dengan dakwaan-dakwaan mereka serta rekaan cerita mereka. Maka mereka ini telah dikenali sebagai orang yang menentang kebenaran sehingga tidak dapat mengelak daripada melakukan pendustaan ke atas Allah, dan memalsukan kitab-Nya yang diturunkan kepada Nabi Musa A.S. (Lihat Ahl al-Kahf fi al-Taurah wa al-Injil wa al-Quran, hlm. 57-58)

Manakala di dalam kitab Injil, Ibn Kathir membawakan riwayat Ibn ‘Abbas R.A yang pada zahirnya menyatakan kemungkinan disebutkan di dalamnya kisah Ashab al-Kahfi. Orang-orang Quraisy telah mengutus (utusan) kepada para pendeta Yahudi di Madinah bagi meminta kepada mereka beberapa perkara yang dapat dijadikan sebagai ujian terhadap Rasulullah SAW. Lalu mereka telah mengutuskan utusan tersebut untuk bertemu dengan Rasulullah SAW dan bertanya kepada Baginda mengenai berita (kisah) tentang mereka (Ashab al-Kahfi), Zulqarnain dan juga ruh. Ini menunjukkan bahawa perkara ini terjaga atau terpelihara di dalam kitab-kitab ahli Kitab dan ia adalah lebih awal daripada agama Nasrani. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/127).

Akan tetapi, seperti yang kami simpulkan di dalam perbincangan status riwayat ini, ia berstatus dhaif dan lemah, tidak kuat untuk disandarkan padanya kebenaran.

Dan antara riwayat terawal berkenaan Ashab al-Kahfi yang ditemui adalah kisah yang dibawa dalam khutbah ringkas di dalam gereja Ortodoks Timur, yang dikarang oleh seorang pemuisi terkenal dari Eddessan iaitu Jacob of Sarug (450-521 Masihi). (Lihat The History of the Decline and Fall of the Roman Empire, hlm. 387-388; Ahl al-Kahf fi al-Injil wa al-Taurah wa al-Quran, hlm. 58)

Definisi Kristian

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Kristian adalah agama yang dipercayai dan dianuti oleh pengikut Jesus Christ, yakni Nabi Isa A.S, bahawa Baginda ialah anak tuhan.[1]

Menurut Alkitab (Bible), perkataan “Kristian” hanya dipakai tiga kali sahaja di dalam Perjanjian Baru (New Testament), dan setiap contoh merujuk kepada Kristian di dalam gereja awal. Ini boleh ditemukan dalam Bible sebagaimana di bawah:

  • “…dan selama setahun mereka berkumpul dengan jemaah di situ sambil mengajar banyak orang. Di Antiokha, untuk kali pertama pengikut-pengikut Yesus disebut orang Kristian.” (Kisah Rasul-Rasul 11:26).
  • “Raja Agripa bertitah kepada Paulus: ‘Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?’.” (Kisah Rasul-Rasul 26:28).
  • “Tetapi jika kamu menanggung penderitaan oleh sebab kamu orang Kristian, janganlah malu kerananya. Bersyukurlah kepada Allah, kerana kamu pengikut Kristus.” (1 Petrus 4:16).

Mereka digelar “Kristian” kerana kelakuan, perwatakan serta pertuturan yang mirip dengan Yesus Kristus. Istilah “Kristian” bermaksud, “pengikut Yesus Kristus” ataupun “mereka menjadi kepunyaan Yesus.”

Istilah al-Masih dipercayai berasal daripada Bahasa Ibrani, mashiach (מָשִׁיחַ). Ia membawa maksud “yang dilumurkan kepala” atau “diurapi kepala”; merujuk kepada perbuatan mensucikan seseorang atau sesuatu dengan Minyak Upacara (Lihat The Real Messiah? A Jewish Response to Missionaries, hlm. 14). Berdasarkan huraian panjang lebar oleh Jeffrey P. Tuttle, dapat kita fahami bahawa Mashiach yang bermaksud diurapi dalam kepercayaan agama Yahudi adalah upacara khusus kepada raja-raja serta pendeta-pendeta yang diurapi dengan minyak bagi tujuan penyucian dan pengiktirafan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Tuhan. Ia juga secara tidak langsung berkait rapat dengan penantian mereka terhadap Mashiach yang dipercayai akan turun pada akhir zaman kelak. (Lihat Anointing and Anointed dalam Calvary Baptist Theological Journal, hlm. 44-57)

Berkesinambungan dari latar belakang dan sejarah kewujudan konsep Mashiach dalam agama Yahudi, Christὀs (Χριστός) yang merupakan terjemahannya daripada dialek Koine Greek bagi Messiah dalam agama Kristian yang membawa erti yang sama iaitu ‘the anointed one’. Istilah Christὀs datang dari kata dasar chriὀ yang bermaksud ‘to anoint’. Kristian berkembang dari agama yang diamalkan oleh murid-murid Jesus dalam kalangan kaum Yahudi, namun Paul menjadi individu yang bertanggungjawab untuk menyebarkan ajaran Jesus di Greek kepada bukan Yahudi (gentile), dan di sinilah doktrin Kristian berkembang. Ideologi tentang Mashiach mula berevolusi dengan penerjemahannya kepada Christὀs dan tanpa sedar ideologi ketuhanan Greek turut dimuat masuk. Perjanjian Baru mula ditulis oleh gentile yang tidak pernah bertemu Jesus dalam Bahasa Greek yang menjadi lingua fraca di Maditeranean dan Timur Tengah pada waktu tersebut. Perbahasan lebih lanjut boleh didapati dalam buku Introducing Christianity oleh James R. Adair.

Menurut Kisah Para Rasul 11:26, istilah “Kristian” (Χρῑστῐᾱνός, Khrīstiānós), yang bermaksud “pengikut Kristus” merujuk kepada murid-murid Yesus, pertama kali digunakan di kota Antiokhia oleh penduduk bukan Yahudi di sana. Apabila ajaran Kristian berkembang dalam pembendaharaan Latin Rom dalam penulisan kitab Perjanjian, transliterasi Christὀs (Χριστός) kepada Cristus digunakan dengan sebutan yang landai. Sebutan bagi huruf ‘i’ pula dipanjangkan kepada Chrīst sekitar abad ke-8 akibat pengaruh loghat Irish yang berdakwah di England (Lihat )

Dalam Bahasa Arab, penganut Kristian dipanggil dengan tiga istilah iaitu Nasrani, atau Nasara atau Masihi. Istilah Nasrani dikatakan berasal daripada kalimah Nasirah (Nazareth) yang merupakan kampung kelahiran Nabi ‘Isa alaihissalam. Istilah ini kemudiannya menjadi terkhusus kepada penganut Kristian yang tinggal di sebelah Timur dan berada di bawah pentadbiran undang-undang Islam. (Lihat Shorter Encyclopedia of Islam pada perkataan Nasara; Lisan al-‘Arab, 5/212). Menurut Abu al-Laith al-Samarqandi, panggilan Nasara itu adalah kerana mereka daripada perkampungan Nasirah iaitu kampung bagi Nabi ‘Isa alaihissalam. Mereka menetap di situ  dan sentiasa bersama satu sama lain. Dikatakan mereka dinamakan Nasara kerana sabda Nabi ‘Isa dalam Surah Ali Imran ayat 52. (Lihat Bahr al- ‘Ulum, 1/376).

Kesimpulannya, Kristian adalah seseorang yang telah menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat mereka dan mempunyai satu hubungan peribadi dengan Yesus Kristus. Seorang penganut Kristian tidak dapat tidak, mesti berpegang dengan Apostles’s Creed. Intipatinya adalah konsep triniti iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak, dan Roh Suci.

 

Bolehkah Menyatakan bahawa Ashab al-Kahfi itu Beragama Kristian?

Dalam membahaskan berkenaan perkara ini, kami melihat para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menentukan agama Ashab al-Kahfi kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama: Ashab al-Kahfi berada di atas agama Nasrani yang beriman dan mentauhidkan Allah SWT.

Hal ini adalah jelas sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2/114) bahawa mereka beragama Nasrani.

Selain itu, Ibn Kathir juga ketika mensyarahkan ayat berkenaan Ashab al-Kahfi menyebutkan, sesungguhnya dinyatakan bahawasanya mereka di atas agama Nabi Isa A.S. Kemudian, beliau melanjutkan lagi dengan menyebutkan, namun secara zahirnya mereka berada sebelum agama Nasrani secara keseluruhan. Seandainya mereka berada di atas agama Nasrani, sudah tentu para pendeta Yahudi tidak akan mengambil berat untuk menghafal khabar (riwayat) mengenai mereka dan juga perihal keadaan mereka bagi menjelaskan perkara tersebut kepada pengikut mereka. Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma (sebagaimana yang kami telah sebutkan sebelum ini di atas) bahawa orang-orang Quraisy telah mengutus (utusan) kepada para pendeta Yahudi di Madinah bagi meminta kepada mereka beberapa perkara yang dapat dijadikan sebagai ujian terhadap Rasulullah SAW. Lalu mereka telah mengutuskan utusan tersebut untuk bertemu dengan Rasulullah SAW dan bertanya kepada Baginda mengenai berita (kisah) tentang mereka (Ashab al-Kahfi), Zulqarnain dan juga ruh. Ini menunjukkan bahawa perkara ini terjaga atau terpelihara di dalam kitab-kitab ahli Kitab dan ia adalah lebih awal daripada agama Nasrani. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/127)

Begitu juga Ibn ‘Asyur ketika menafsirkan ayat berkenaan Ashab al-Kahfi menyebutkan, di antara penduduk Absus terdapat sekelompok orang Nasrani yang soleh yang menentang penyembahan berhala. Mereka hidup pada zaman pemerintahan Duqyus (دُوقْيُوسْ) atau dipanggil juga sebagai Diqyanus (دِقْيانُوسْ) sekitar tahun 237 Masihi, dan masa pemerintahannya hanya satu tahun. Dia amat taksub dengan agama Romawi dan sangat bencikan agama Nasrani. Mereka (kelompok orang Nasrani yang soleh tadi) menzahirkan kebencian terhadap agama Romawi dan Duqyus mengancam mereka untuk diseksa. Oleh sebab itu, kelompok tersebut sepakat untuk keluar dari kota menuju ke sebuah gunung yang jaraknya antara gunung itu dengan kota tersebut sejauh dua farsakh.[2] Gunung itu dipanggil sebagai Binjalus (بِنْجَلُوسْ) dan di sana terdapat sebuah gua, yang menjadi tempat untuk mereka berlindung serta beribadah kepada Allah SWT. Kemudian, ketika perkhabaran mengenai pelarian mereka sampai kepada raja Duqyus bahawa mereka berlindung atau bersembunyi di gua tersebut, dia menghantar orang untuk mengejar mereka. Maka, Allah SWT menimpakan tidur kepada mereka (Ashab al-Kahfi), sehingga pengikut raja yang mengejar mereka itu menyangka mereka telah mati.

Ibn ‘Asyur menyatakan lagi, kisah Ashab al-Kahfi ada kaitan yang kuat dengan peringkat dan perkembangan penyebaran agama yang benar, khususnya zaman penyebaran agama Nasrani di muka bumi. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 15/261-264)

Selain itu, Ibn al-Athir juga ada menyatakan, Ashab al-Kahfi hidup pada zaman pemerintahan seorang raja yang bernama Diqyus atau dipanggil juga sebagai Diqyanus. Mereka tinggal di sebuah bandar Rom yang bernama Afsus (أَفْسُوسْ), dan raja mereka menyembah berhala. Menurut beliau lagi, mereka berasal dari Rom dan merupakan penyembah berhala. Lalu Allah SWT memberi hidayah kepada mereka dan mereka berada di atas syariat Nabi Isa A.S. Namun, ada sebahagian ulama’ berpendapat, mereka hidup sebelum zaman al-Masih (Nabi Isa). Al-Masih adalah orang yang paling tahu dalam kalangan kaumnya tentang mereka, dan mereka dibangkitkan daripada tidur mereka setelah al-Masih diangkat ke langit. Akan tetapi, pendapat yang pertama adalah lebih sahih. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/325)

Sebahagian dalam kalangan kita pergi lebih dalam lagi dengan membahaskan keterkhususan Islam kepada umat Muhammad SAW sahaja, lantas memihak kepada pandangan pertama ini iaitu pemuda Ashab al-Kahfi boleh dipanggil dengan Nasrani atau Kristian.

Pendapat Kedua: Ashab al-Kahfi  berada di atas agama Islam.

Al-Tabari menjelaskan bahawa mereka adalah sekumpulan pemuda yang mengikut agama Nabi Isa A.S, iaitu Islam. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 17/605) Bahkan, inilah kesepakatan umat Islam dan seluruh para ulama’. Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

أَنَا أَوْلَى النَّاسِ بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَالْأَنْبِيَاءُ إِخْوَةٌ لِعَلَّاتٍ، أُمَّهَاتُهُمْ شَتَّى وَدِينُهُمْ وَاحِدٌ

Maksudnya: “Aku merupakan manusia yang paling utama (paling hampir) dengan Isa bin Maryam di dunia dan akhirat. Para nabi adalah saudara-saudara sebapa .daripada pelbagai ibu. Ibu-ibu mereka berbeza namun agama mereka satu.”

Riwayat al-Bukhari (3443) dan Ahmad (9632) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Hadith ini menunjukkan bahawa agama para anbiya’ semuanya adalah Islam. (Lihat al-Ifsah fi Ma‘ani al-Sihah, 6/184)

Begitu juga dinyatakan bahawa asal bagi agama para Nabi adalah satu, iaitu tauhid, tetapi syari‘at-syari‘at mereka pada perkara-perkara furu‘ adalah berbeza. (Lihat Masabih al-Jami‘, 7/157)

 

Tarjih

Kami melihat sebenarnya tidak ada pertembungan di antara kedua-dua pendapat ini; sama ada yang berpendapat mereka berada di atas agama Nabi Isa A.S atau dipanggil juga sebagai Nasrani (bukan Kristian), atau agama sebelum Nabi Isa A.S mahupun agama Islam. Apa yang pasti, mereka tidak boleh dipanggil Masihi kerana istilah tersebut muncul lebih lewat dan berkait rapat dengan keimanan kepada konsep Mashiach.  Hal ini kerana kesemuanya merujuk kepada agama yang berasaskan atau berintikan intipati yang sama iaitu beriman dan mentauhidkan Allah SWT serta menentang kesyirikan kepada-Nya. Beginilah hakikat penciptaan manusia yang terawal dari kalangan anak-anak Adam A.S, sebelum berlakunya penyelewengan, mereka ini berada di atas akidah tauhid dan Islam. (Lihat Madkhal li Dirasat al-‘Aqidah al-Islamiyyah, hlm. 17)

Oleh yang demikian, meskipun sebahagian kitab-kitab tafsir menyandarkan Ashab al-Kahfi kepada Nasrani, itu pada hakikatnya adalah berdasarkan al-‘urf al-zamani (العُرْفُ الزَّمَنِيُّ). Dalam erti kata lain, kalimah “Nasrani” pada zaman itu masyhur sebagai pengikut Nabi Isa A.S. Walhal, akidah kepercayaan Nabi Isa A.S yang sebenar bukanlah atas kefahaman Kristian pada zaman moden ini, sebaliknya Baginda beragama Islam. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebut:

الحَقِيقَةُ تُتْرَكُ بِدَلَالَةِ الْعَادَةِ

Maksudnya: “Perkataan asal yang hakikat ditinggalkan kerana wujud uruf atau adat.”

Dalam konteks isu ini, iktiqad kepercayaan terhadap agama Islam pada uruf dan adat zaman tersebut dikenali sebagai Nasrani (Kristian), tetapi uruf dan adat kini memahami Kristian ini dengan hakikat yang berbeza, iaitu dengan kepercayaan triniti. Kaedah ini juga disebutkan dengan lafaz yang berbeza:

 العُرْفُ الَّذِي تَحْمِلُ عَلَيْهِ الْأَلْفَاظُ، إِنَّمَا هُوَ الْمُقَارِنُ السَّابِقُ دُونَ الْمُتَأَخِّرِ

Maksudnya: “Uruf (kefahaman semasa) kebiasaan yang terkandung dalam sesuatu lafaz, ia adalah seiringan untuk masa lepas, bukan seiringan untuk masa terkemudian.”

Bermaksud, penisbahan Ashab al-Kahfi kepada agama Kristian tidak boleh lagi difahami dengan konteks masa lalu, sebaliknya difahami dengan maksud Kristian pada era moden kini.

Justeru, perbezaan pendapat di kalangan ulama’ yang kami bawakan ini hanyalah dalam bentuk khilaf lafzi sahaja. Ini jelas dapat dilihat dalam al-Quran sendiri, di mana Ashab al-Kahfi disifatkan sebagai orang yang beriman. Firman Allah SWT:

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى (١٣) وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَـٰهًۭا ۖ لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًۭا شَطَطًا

Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk (13). Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: ‘Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran’.”

(Surah al-Kahfi: 13-14)

Maka, jika ada dalam kalangan ulama’ silam yang berpendapat, mereka berada di atas agama Nasrani, maka yang dimaksudkan dengan kenyataan atau pendapat tersebut adalah agama yang menyatakan keimanan dan mentauhidkan Allah SWT serta menolak kesyirikan kepada-Nya, seperti mana halnya yang dibawa oleh para nabi terdahulu dan juga Rasulullah SAW.

Boleh jadi Ashab al-Kahfi berada dalam kelompok Ibiyuniyyah (Ebionites), kelompok Yahudi pengikut ajaran Nabi Isa yang menolak ketuhanan Nabi Isa A.S dan menganggap Baginda hanya seorang utusan Allah SWT. Cuma kita tidak boleh lagi menamakan mereka sebagai Kristian kerana para pendeta Kristian kemudiannya telah pun menyesatkan mereka. (Lihat Rev. J. M. Fuller, Ebionism and Ebionites, dalam Henry Wace (ed.) Wace Henry. Dictionary of Christian Biography and Literature to the End of the Sixth Century A.D., with an Account of the Principal Sects and Heresies, hlm. 608; Hakkinen, S. “Ebionites” dalam A Companio to Second-Century Christian Heretics, ed. Antti Marjanen & Petri Luomanen, hlm. 272)

Melihat kepada konteks semasa, penisbahan Ashab al-Kahfi kepada agama Nasrani atau dipanggil juga sebagai Kristian perlu lebih diperhalusi lagi. Tambahan pula, iktikad agama Nasrani atau Kristian yang dikenali sekarang adalah berlainan dan jauh sama sekali dengan Nasrani dahulu yang dimaksudkan oleh para ulama’ Islam, yang merupakan pengikut ajaran Nabi Isa A.S.

Justeru, dalam isu ini, pendefinisian dan rujukan kepada etimologi amat dititikberatkan kerana ia adalah nilai keadilan yang kita letakkan kepada satu-satu perkara. Penisbahan Ashab al-Kahfi kepada agama Nasrani atau Kristian boleh menimbulkan salah faham dan kekeliruan. Kami berpandangan, tidak sesuai lagi dan tidak tepat – pada masa kini – untuk menyatakan mereka beragama Kristian. Hal ini kerana, agama Kristian kini berpegang dengan konsep triniti dan menyeleweng menurut al-Quran, sedangkan para Ashab al-Kahfi disifatkan dalam al-Quran sebagai orang beriman dan mentauhidkan Allah SWT. Maka, tidak sepatutnya Ashab al-Kahfi itu dinisbahkan kepada selain agama Islam. Dalam erti kata lain, mereka yang mengikut ajaran Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah dengan agama yang asal, bukan penganut Kristian yang difahami sekarang.

Hal ini jelas dalam al-Quran yang menyatakan bahawa semua nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah SWT adalah Islam sebagaimana firman-Nya:

وَقَالَ مُوسَىٰ يَٰقَوْمِ إِن كُنتُمْ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): ‘Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).”

(Surah Yunus: 84)

Sebahagian ulama’ ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, maksudnya adalah Nabi Musa A.S berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku, apabila kamu beriman kepada Allah SWT, dan melaksanakan syariat-Nya, maka percayalah kepada-Nya, berserah dirilah terhadap perintah-Nya, dan hanya kepada Allah kamu bertawakal, jika kamu benar-benar tunduk kepada-Nya dengan ketaatan.” (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 218).

Begitu juga firman Allah SWT:

قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Maksudnya: “Orang-orang ‘Hawariyyun’ (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: ‘Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).’”

(Surah Ali ‘Imran: 52)

Dinyatakan dalam Tafsir al-Madinah al-Munawwarah (hlm. 201) bahawa setelah Nabi Isa A.S berdakwah kepada orang Yahudi dan Baginda merasakan bahawa mereka terus menerus berdusta kepadanya, Baginda berseru: “Siapakah yang akan menjadi penolongku dalam berdakwah di jalan Allah?” Maka para pengikut Nabi Isa yang terpilih berkata: “Kami adalah penolong-penolong agama Allah, kami beriman kepada-Nya, maka saksikanlah bahawa kami hanyalah orang yang taat kepada Allah.”

Firman Allah SWT:

وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبْرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَـٰبَنِىَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksudnya: “Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Ya‘qub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.’”

(Surah al-Baqarah: 132)

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT telah memilih untuk kamu agama Islam, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam dan beriman. Namun, ada yang berpendapat, dalam keadaan ikhlas dan berserah diri kepada Allah. Larangan itu secara zahirnya pada kematian, tetapi sebenarnya larangan itu merujuk kepada meninggalkan Islam. Dalam erti kata lain, tetaplah berpegang teguh kepada Islam sehingga kematian menjemputmu nanti, dan kamu masih dalam keadaan beragama Islam. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/170).

Firman Allah SWT:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يهوديًّا وَلاَ نصرانيًّا وَلَكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِين

Maksudnya: “Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.”

(Surah Ali ‘Imran: 67)

Di dalam ayat ini, orang Yahudi mendakwa bahawa Nabi Ibrahim A.S itu beragama Yahudi, dan orang Nasrani mendakwa bahawa Baginda beragama Nasrani, lalu orang Yahudi dan Nasrani berdebat sesama mereka. Allah SWT membidas perdebatan mereka ini dengan 3 cara:

  • Pertama: Perdebatan mereka itu pada sesuatu yang mereka tidak ada ilmu tentangnya, sedangkan perdebatan tanpa ilmu itu tidak dibenarkan.
  • Kedua: Orang Yahudi berhukum dengan kitab Taurat, dan orang Nasrani berhukum dengan kitab Injil, maka bagaimana mungkin mereka menisbahkan Nabi Ibrahim A.S kepada agama mereka, sedangkan baginda hidup sebelum mereka. Perkara ini tidak menepati logik akal, kerana itu Allah SWT berfirman:

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?”

(Surah Ali ‘Imran: 65)

Yakni, jika mereka menggunakan akal, pasti mereka tidak akan sebutkan apa yang mereka telah sebutkan itu.

  • Ketiga: Allah SWT membersihkan kekasih-Nya itu (Nabi Ibrahim A.S) dari orang Yahudi, Nasrani serta kaum musyrikin. Allah menjadikannya di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim, dan menjadikan manusia yang paling hampir dengan Nabi Ibrahim A.S adalah orang yang beriman kepada-Nya, iaitu Nabi Muhammad SAW dan mereka yang beriman dengannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 134)

Sebagaimana yang telah kami nyatakan di atas, sebahagian dalam kalangan kita berhujah bahawa pemuda Ashab al-Kahfi boleh dipanggil dengan Nasrani atau Kristian, dengan berdalilkan bahawa Islam adalah agama khusus bagi umat Muhammad SAW. Kami amat menghormati pandangan yang menyatakan bahawa Islam dengan makna kesempurnaan syariat yang turun itu, adalah khusus kepada umat Muhammad SAW. Ia dibentangkan dengan sangat baik oleh Imam al-Suyuti dalam Itmam Ni’mah fi Ikhtisas al-Islam bi Hazihi al-Ummah dan al-Hawi li al-Fatawi.

Kami sama sekali tidak menolak hal berkenaan, namun hujah kebolehan panggilan Nasrani atau Kristian – pada hari ini – yang disandarkan kepada pandangan al-Suyuti tersebut, nampaknya agak longgar kerana istilah Nasrani itu dinisbahkan kepada perkampungan atau tempat asal Nabi ‘Isa, dan merujuk kepada pengikut ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi ‘Isa. Ia tidak boleh difahami sebegitu dalam konteks semasa, apatah lagi boleh mengelirukan jika dibentangkan kepada masyarakat awam.

Dalam masa yang sama, Syeikh Ibn Taimiyyah telah pun membawakan jalan tengah antara keduanya dengan menyatakan bahawa khilaf tersebut hanyalah khilaf dari sudut lafaz semata-mata. Tidak ada percanggahan antara keduanya. Islam dengan makna umum iaitu kandungan syariat yang sama, boleh dinisbahkan kepada umat terdahulu yang mengikuti para Nabi. Manakala Islam dengan makna khusus seperti diturunkan syariat al-Qur’an, maka itu hanyalah kepada umat Muhammad SAW. (Lihat Majmu’ah Fatawa, 3/94) Maka, terbukti penisbahan Ashab al-Kahfi dengan agama Kristian adalah amat longgar dan jauh daripada kebenaran.

Selain itu, pandangan seorang sarjana tempatan yang cuba membawakan bukti keberadaan kisah Ashab al-Kahfi dalam Bible juga adalah tidak tepat kerana apa yang dibentangkan dalam Acts of Apostles 19: 14 adalah kisah 7 orang anak pendeta Yahudi bernama Skeva yang mengamalkan ilmu Hitam. Mereka tinggal di Ephesus. Mereka dikatakan tidak beriman dengan Jesus tetapi menyeru nama Jesus dan Paulus ketika mengusir jin yang merasuk pada ketika itu. Jin tersebut mempersoalkan mereka kerana dia hanya mengenali Jesus dan Paulus. 7 orang anak Skeva itu kemudiannya bergaduh dengan jin sehinggalah mereka lari keluar daripada rumah dalam keadaan tidak berpakaian. Ini langsung tidak berkaitan dengan Ashab al-Kahfi, apatah lagi kisah the seven sleepers of Ephesus.

Semoga isu ini selesai dengan baik tanpa lanjutan perbalahan. Dari sudut positif, kami pasti sudah ramai mendapat ilmu baharu dalam isu ini, baik yang pro mahupun kontra. Kita doakan sesiapa sahaja yang mengangkat kisah ini dengan niat yang baik, dirahmati Allah SWT. Ashab al-Kahfi kekal sebagai kisah yang tidak dihuraikan lanjut dalam al-Quran kerana objektif dalam kisah itu adalah untuk kita meneladani keteguhan iman mereka. Itulah yang wajar kita pegang dan hayati bersama.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kristian. Diakses pada 3 Januari 2024.

[2] Jarak 1 farsakh bersamaan lebih kurang  tiga mil (batu) atau lebih kurang juga 5555 meter atau 5544 meter. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/arar/فرسخ/. Diakses pada 4 Januari 2024).