#5196: Membasuh Pakaian yang Terkena Najis Mutawassitah dalam Mesin Basuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.

Assalamualaikum Dr., mula-mula sekali saya ingin beritahu yang saya baru tersedar yang dahulu pakaian saya terkena najis mutawassitah dan dimasukkan sekali dengan pakaian bersih yang lain ke dalam mesin basuh. Namun perkara ini sudah lama berlaku dan pakaian itu sudah pun dibasuh banyak kali menggunakan mesin basuh. Kesan, warna dan bau sudah pun tiada. Adakah saya masih perlu basuh pakaian yang terkena najis mutawassitah itu dengan mengikut cara basuhan yang ditunjuk ajar dalam Islam? ataupun basuh kesemua pakaian yang dibasuh bersama dengan pakaian yang terkena najis itu? kerana pakaian-pakaian bersih yang dibasuh sekali itu sangat banyak jumlahnya. Terima kasih Dr., mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44; Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan najis mutawassitah (sederhana) merupakan najis yang pertengahan iaitu najis selain anjing dan babi dan kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan dan minum kecuali susu ibu. Najis Mutawasittah ini terbahagi kepada dua:

  1. Ainiyyah: Najis yang padanya warna, bau dan rasa. Maka najis seperti ini perlulah dihilangkan warna, bau dan rasanya.
  2. Hukmiyyah: Najis yang padanya tidak terdapat warna, bau dan rasa. Cukup sekadar melalukan air ke atasnya.

Maka, cara pembersihannya adalah dengan melalukan air ke atasnya dan menghilangkan ain najis dan sifat-sifatnya (bau, warna dan rasa).

Justeru, dalam isu anda, kami katakan najis tersebut telah pun hilang (warna, bau dan rasa) dan tidak perlu untuk membasuh semula semua pakaian yang telah dibasuh. Hal ini kerana apabila basuh dengan menggunakan mesin basuh, terdapat saluran air yang akan keluar. Bahkan, perkara ini telah pun lama berlalu dan anda telah membasuhnya  berulang kali selepas digunakan. Justeru, tidak menjadi masalah untuk anda memakainya kerana najis telah pun hilang.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.