#5197: Cerita Ashab al-Kahfi Secara Ringkas

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami, kisah Ashab al-Kahfi secara ringkas?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT menceritakan tentang kisah Ashab al-Kahfi secara terperinci, yakni tentang berita mereka yang menakjubkan ini secara benar, tanpa tambahan atau pengurangan. Mereka adalah sekumpulan pemuda yang beriman dengan Allah SWT, lalu Dia tetapkan mereka di atas agama yang benar serta menambahkan keyakinan kepada mereka. Menurut Ibn ‘Atiyyah, Allah SWT permudahkan mereka untuk beramal soleh dan hanya fokus beribadah kepada-Nya, serta menjauhi manusia dan bersikap zuhud di dunia. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-Aziz, 3/501)

Kemudian, Allah SWT menambah lagi perihal ciri-ciri para pemuda Ashab al-Kahfi, iaitu Dia mengilhamkan kesabaran kepada mereka serta perkuatkan hati mereka dengan cahaya keimanan sehingga jiwa mereka menjadi zuhud terhadap kehidupan yang senang-lenang. Ketika berhadapan dengan raja diktator Diqyanus, para pemuda ini mengisytiharkan dua perkara:

  • Pertama: Tauhid Rububiyyah dan ia juga diperakui oleh para penyembah berhala.
  • Kedua: Tauhid Uluhiyyah namun ia dinafikan oleh para penyembah berhala.

Sekiranya mereka menyeru tuhan selain Tuhan Pemilik langit dan bumi, maka sebenarnya dengan seruan itu mereka telah berkata dusta serta melampaui had.  Para pemuda tersebut mengatakan bahawa, sesungguhnya kaum kami, sekalipun mereka lebih tua dan lebih banyak pengalaman daripada kami, mereka telah mensyirikkan Allah SWT. Maka datangkan hujah yang nyata tentang kebenaran yang mereka perkatakan sebagaimana hujah-hujah jelas yang kami bawakan tentang kebenaran kami. Sebenarnya mereka adalah orang yang tersangat zalim terhadap perbuatan dan kedustaan mereka.

Apabila pemuda Ashab al-Kahfi meninggalkan agama kaum mereka dalam menyembah selain Allah SWT, mereka juga meninggalkan secara fizikal iaitu dengan pergi jauh daripada kaum yang mensyirikkan Allah SWT itu. Lalu, mereka berlindung di gua, dan Allah SWT berikan kepada mereka dua perkara.

  • Pertama: Allah SWT menyelamatkan mereka daripada kejahatan ujian yang menimpa serta menurunkan rahmat-Nya ke atas mereka.
  • Kedua: Allah SWT memudahkan bagi mereka segala nikmat yang dikurniakan dalam hidup mereka berupa tempat berlindung dan sebagainya. Sesungguhnya Dia mengetahui niat dan tujuan pemuda Ashab al-Kahfi itu.

Selepas para pemuda ini berlindung di gua, Allah SWT menceritakan bagaimana Dia menjaga para pemuda ini daripada matahari. Allah SWT permudahkan gua itu kepada mereka di mana apabila matahari terbit, ia akan menyimpang daripada mereka dari arah kanan. Apabila tenggelam pula, ia akan menyimpang daripada mereka dari arah kiri. Maka mereka tidak terkena kepanasan pancaran matahari yang boleh merosakkan jasad mereka. Kawasan luas dalam gua di mana udara boleh sampai kepada mereka dari segenap penjuru.

Ini adalah tanda kebesaran dan rahmat Allah SWT kepada para pemuda ini. Sesungguhnya orang yang diberikan petunjuk oleh Allah SWT kepada kebenaran, lalu dia diizinkan melalui jalan-Nya maka sebenarnya dia ialah orang yang mendapat petunjuk. Hal ini sebagaimana keadaan para pemuda yang dipandu Allah SWT kepada jalan petunjuk dan kejayaan. Manakala orang yang disesatkan Allah SWT daripada jalan-Nya dalam kalangan orang yang mempersiakan jalan kebenaran dan kebergantungan terhadap Allah SWT dengan harapan dan doa, maka pastilah dia tidak akan memperoleh penolong, pendokong, penunjuk dan pembantu.

Keadaan pemuda Ashab al-Kahfi ini apabila dilihat pasti disangka bahawa mereka tidak tidur kerana mata mereka terbuka walhal mereka terbaring dan sangat lena tidur di mana suara tidak akan menyedarkan mereka. Allah SWT membolak-balikkan tubuh pemuda itu dalam tidur mereka, sekali ke arah kanan dan sekali ke arah kiri supaya seluruh jasad mereka memperoleh udara yang segar serta jasad yang terkena tanah tidak terkesan disebabkan lama berada dalam keadaan begitu. Terdapat seekor anjing yang mengekori mereka dengan ilham daripada Allah SWT bagi mengawal dengan menghulurkan kedua kakinya di pintu gua. Sekiranya mereka dilihat, pasti yang melihat itu berpaling melarikan diri daripada mereka kerana ketakutan dan kegerunan. Ini kerana Allah SWT mencampakkan kepada mereka rasa gah dan hebat di mana sesiapapun yang melihatnya pasti menggeruninya sehingga berakhirnya tempoh mereka berada di situ dalam keadaan tidur. Juga terlaksana hikmah yang hebat dan rahmat yang luas terhadap mereka. Justeru, Allah SWT menegakkan bukti yang bersifat material tentang kekuasaan-Nya dalam membangkit dan mengulangi  ciptaan.

Setelah mereka melalui tidur yang panjang, apabila mereka terjaga daripada tidur, mereka saling tertanya-tanya kehairanan, lalu seseorang daripada kalangan mereka mengajukan pertanyaan, “Sudah berapa lamakah kamu berada dalam gua ini?” Mereka menyatakan bahawa mereka baru berada di gua ini sehari atau setengah hari sahaja. Bangkit pula seorang daripada mereka menjelaskan bahawa Allah SWT sahaja Maha Mengetahui keadaan dan tempoh mereka berada di gua tersebut. Lalu dia menyarankan agar salah seorang daripada mereka pergi ke bandar dengan membawa wang perak serta membelikan makanan yang terbaik. Dikatakan “أزكى طعاما” (makanan terbaik) pada ayat 19 sebagai maksud makanan yang halal dan suci. Ketika bertemu dengan masyarakat pula, individu yang turun ke bandar tersebut disarankan agar berlemah lembut apabila berurusan dengan aktiviti jual beli di samping dia perlu berhati-hati menjaga rahsia mengenai hal mereka agar tidak diketahui oleh peniaga atau masyarakat. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Nasafi dalam tafsir beliau. Hal ini kerana, jika keadaan dan lokasi mereka diketahui ramai, perkara tersebut akan tersebar dan pembesar serta penguasa wilayah tersebut berkemungkinan akan membunuh mereka. Jika para pemuda al-Kahfi tersebut tidak mahu dibunuh, mereka memaksa pula para pemuda al-Kahfi tersebut kembali kepada agama yang kufur dengan menyembah berhala. Kedua-dua situasi tersebut ternyata sangat merugikan para pemuda tersebut.

Timbul persoalan, sekiranya para pemuda al-Kahfi tersebut dipaksa untuk kembali kepada agama kufur, perkara tersebut tidaklah mendatangkan mudharat terhadap keimanan mereka lantaran dipaksa dan hati mereka tetap teguh dengan keimanan. Namun, Allah SWT tetap menyatakan bahawa mereka selama-lamanya tidak akan beruntung.

Fakhr al-Din al-Razi mengulas bahawa kemungkinan apa yang dimaksudkan adalah sekiranya para pemuda Muslim tersebut kembali kepada kekufuran walau secara paksa, kekufuran itu akan menjadi semakin kekal dalam diri mereka selama beberapa sela masa dan akhirnya hati mereka tidak mustahil akan cenderung kepada kekufuran tersebut lalu menjadi kafir yang sebenar. Justeru, ditegaskan bahawa walaupun mereka dipaksa kembali kepada kekufuran, namun hakikatnya ia adalah satu kerugian yang kekal selama-lamanya. (Lihat al-Tafsir al-Razi, 21/446)

Selepas berlalu lebih 300 tahun, Allah SWT mempertemukan masyarakat dengan pemuda al-Kahfi yang turun ke pasar untuk membeli makanan. Ketika pemuda al-Kahfi ingin membuat bayaran, penjual menyedari bahawa wang yang digunakan oleh pemuda tersebut merupakan mata wang yang ketinggalan zaman.

Menurut al-Mawardi, masyarakat di sekeliling pemuda tersebut juga meragui pemuda tersebut antara percaya atau tidak, apabila penampilan pemuda tersebut kelihatan begitu asing ditambah pula dengan penggunaan wang yang sangat ketinggalan zaman dari zaman mereka. Lalu, pemuda tersebut telah dibawa menghadap raja yang beriman (Dikatakan nama raja tersebut adalah Tidusis atau Bidusis)[1] setelah menggantikan penguasa yang dahulu (bernama Diqyanus) yang zalim dan kufur kepada Allah SWT. Raja tersebut merasakan bahawa pemuda tersebut itulah merupakan antara pemuda al-Kahfi yang keluar berlindung daripada kekejaman Raja Diqyanus di dalam sebuah gua. Pemuda tersebut mengesahkan telahan Raja, lalu dia terus pulang ke gua. Ketika dia pulang ke gua, sebilangan orang ramai mengikutinya. Para pemuda al-Kahfi mendengar perbualan orang ramai di luar gua, dan ia sedikit sebanyak menggusarkan mereka. Mereka selanjutnya saling berpesan-pesan agar teguh dengan keimanan. Apabila orang ramai memasuki gua tersebut, didapati para pemuda al-Kahfi telah dimatikan Allah SWT. Berikutan itu, orang ramai berselisih dalam menentukan sama ada pemuda al-Kahfi tersebut benar-benar hidup setelah ditidurkan dalam tempoh yang lama atau sememangnya telah mati sejak dari awal. Perselisihan kedua dalam kalangan mereka ialah, adakah perlu dibina sebuah bangunan di atas gua tersebut sebagai mercu tanda atau perlu dibina rumah ibadat di atas gua tersebut? (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 3/295-296)

Selanjutnya, Allah SWT mengingatkan sekalian manusia agar tidak terlepas daripada pandangan Allah SWT, iaitu dengan menyandarkan segala perbuatan mereka tertakluk kepada kehendak Allah SWT jua. Ia juga bermaksud, sekiranya seseorang itu berazam untuk melakukan sesuatu, hendaklah dia mengucapkan “إن شاء الله” (dengan izin Allah) kerana Allah SWT jualah yang Maha Berkehendak untuk merealisasikannya. Jika dia lupa untuk mengucapkan “إن شاء الله” dalam beberapa ketika, dan setelah itu barulah dia teringat, maka Allah SWT memerintahkannya untuk terus mengucapkannya agar hatinya sentiasa tunduk dengan keagungan Allah SWT. Hal yang demikian agar Allah SWT sentiasa mengurniakan petunjuk kepadanya berupa jalan yang terbaik dalam urusan agama dan dunia. Seterusnya, kisah Ashab al-Kahfi dilanjutkan lagi dengan pemakluman tempoh mereka tinggal di dalam gua al-Kahfi. Allah SWT menyatakan bahawa mereka telah ditidurkan di dalam gua selama 309 tahun.

Menurut Shauqi Abu Khalil, sememangnya Ashab al-Kahfi ditidurkan selama 300 tahun mengikut perkiraan tahun Masihi (berasaskan matahari), kemudian ditambah sembilan tahun lagi jika dinisbahkan kepada tahun Hijri (berasaskan bulan) menjadi 309 tahun. (Lihat Atlas al-Quran: Amakin, Aqwam, A‘lam, hlm. 137)

Hakikatnya, Allah SWT jua yang Maha Maha Mengetahui tempoh masa pemuda al-Kahfi tinggal di dalam gua tersebut secara pasti. Rentetan daripada kisah Ashab al-Kahfi, dijelaskan bahawa segala yang tersembunyi apatah lagi yang nyata adalah milik Allah SWT. Justeru, Dia Maha Mengetahui segala sesuatu kerana semua perkara adalah milik-Nya. Betapa terangnya penglihatan-Nya terhadap segala yang wujud, dan betapa tajamnya pendengaran-Nya terhadap segala apa yang didengar, Dialah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi apatah lagi yang nyata. Tiadalah bagi makhluk itu pelindung dan penolong pun, selain daripada-Nya. Malah, Allah SWT menegaskan kehebatan-Nya dengan menyatakan bahawa tiada sekutu bagi-Nya. Dia tidak mengambil atau menerima seseorang pun untuk bersama dengan-Nya dalam menetapkan sesuatu hukum atau keputusan kerana Allah SWT Berdiri dengan sendiri-Nya, dan Maha Kaya Allah daripada memerlukan mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/187-198)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim,5/147; Al-Bad’u wa al-Tarikh, 3/128