Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bagi pesakit HIV yang sudah pun status UVL untuk melangsungkan perkahwinan? Pada pandangan ustaz pula, bagaimana?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi HIV
HIV atau Human Immunodeficiency Virus adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS. Ini boleh mengakibatkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman dan kanser. AIDS adalah singkatan bagi ‘Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit’ dan adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.
Definisi HIV (UVL)
UVL atau Undetectable Viral Load ialah status yang diberi kepada PLHIV tetapi viral load mereka amat rendah dalam darah sehingga menyebabkan virus tersebut tidak dapat dikesan ketika menjalani ujian.
Cara Jangkitan HIV
HIV mudah dijangkiti dan merebak melalui:
- Darah
- Air mani
- Cecair faraj
- Susu ibu
- HIV boleh merebak melalui:
- Hubungan seks bebas bersama individu yang telah dijangkiti (termasuk hubungan melalui faraj, dubur atau mulut)
- Penagih dadah yang berkongsi jarum dan alat suntikan
- Pemindahan darah dan organ yang tercemar dengan virus HIV
- Ibu yang telah dijangkiti boleh merebakkan HIV kepada bayinya ketika dalam rahim, melahirkan atau sewaktu menyusu. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)[1]
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan setiap orang sudah pasti berkeinginan untuk berkahwin, mempunyai anak, hidup bahagia bersama pasangan dan seumpamanya. Namun begitu, terdapat sebahagian orang, Allah mengujinya dengan penyakit-penyakit seperti Cancer, HIV, Stroke dan sebagainya, yang mana sudah tentu mereka juga tidak pernah menginginkannya. Justeru, menjawab persoalan di atas, kami lebih berpandangan agar perkahwinan bagi penghidap HIV tidak diteruskan. Hal ini kerana meskipun dia disahkan dalam kategori UVL, namun tetap HIV itu ada di dalam tubuhnya dan boleh menjangkiti pasangan walaupun risiko kadar jangkitannya rendah.
Oleh sebab itu, kami melihat perkahwinan sebegini lebih memberi kemudaratan di masa hadapan berbanding kemaslahatan yang terhasil daripadanya. Namun, kami juga sarankan untuk mengambil nasihat doktor akan perkara ini sama ada ia benar-benar tidak dapat menjangkiti atau risiko dijangkiti itu rendah. Jika ia ada kemungkinan boleh menjangkiti, sebaiknya perkahwinan tersebut tidak dijalankan agar orang yang disayangi serta anak yang akan lahir tersebut tidak terjangkit sama. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ
Maksudnya : “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah Al-Baqarah: 195)
Imam al-Baghawi dalam menjelaskan ayat ini menyebut bahawa setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termasuk dalam makna ayat ini. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/367).
Kaedah fiqh jelas menyatakan:
الضَّرَرُ يُدْفَعُ بِقَدْرِ الْإِمْكَانِ
Maksudnya: “Kerosakan itu dihindari seboleh mungkin.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawa‘id al-Fiqh al-Kulliyyah, hlm. 258)
Syeikh al-Zarqa’ berkata: Mudarat hendaklah ditolak dengan semampu yang boleh. Jika boleh ditolak keseluruhannya, maka lakukanlah. Sebaliknya, jika tidak mungkin, maka hendaklah mengikut kadar kemampuan. (Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 207)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Nota kaki:
[1] http://www.myhealth.gov.my/hiv-aids/#:~:text=HIV%20atau%20Human%20Immunodeficiency%20Virus,adalah%20peringkat%20terakhir%20jangkitan%20HIV.