#5202: Transplantasi Rahim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya seorang wanita yang diuji oleh Allah dengan kelahiran tanpa rahim, adakah mungkin saya mendapatkan rahim berdasarkan transplant. Apakah hukumnya di sisi Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam isu ini, sudah tentu kita wajib redha dengan taqdir Ilahi yang penuh dengan hikmah yang kadang-kadang kita tidak mengetahuinya. Akan tetapi kita yakin dengan firman Allah SWT:

وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 216)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan: “Sesuatu perkara yang mungkin tidak disukai oleh kita berkemungkinan disukai Allah SWT dan begitu juga sebaliknya. Mungkin terdapat hikmah dan mengajar erti kesabaran dan ketaatan kita di dunia. Dan sesungguhnya pengetahuan Allah SWT tidak dapat dibatasi manusia.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/133)

Seterusnya, wanita yang dilahirkan tanpa rahim dipanggil sebagai Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) ialah gangguan kongenital yang jarang berlaku yang menjejaskan sistem pembiakan wanita. Keadaan ini dicirikan oleh faraj dan rahim yang kurang berkembang. Rahim mungkin kecil atau tiada dan faraj biasanya dipendekkan. Orang yang mempunyai MRKH mempunyai ovari yang berfungsi normal dan corak kromosom wanita. MRKH berlaku apabila janin sedang berkembang dan terdapat pada kira-kira 1 dalam setiap 4,500 wanita semasa dilahirkan.

Alat kelamin luar dan ciri seksual sekunder, seperti rambut kemaluan dan payudara, berkembang secara normal. Walau bagaimanapun, penghidap MRKH biasanya tidak mengalami kitaran haid.

Disebabkan ketiadaan rahim atau rahim yang kurang berkembang, individu yang mengalami keadaan ini tidak boleh hamil dan oleh itu mengalami Kemandulan Faktor Rahim (Uterine Factor Infertility — UFI).  Individu yang telah menjalani pembedahan membuang rahim atau mempunyai rahim yang tidak berfungsi dengan baik juga mengalami UFI. UFI ialah bentuk ketidaksuburan wanita yang tidak dapat dipulihkan sebelum ini dan menjejaskan sehingga 5 peratus wanita dalam usia mengandung di seluruh dunia.[1]

Oleh kerana permasalahan ini sudah dibincangkn oleh ulama terdahulu dan mutakhir, kecuali sifat-sifat rahim dan juga ciri-cirinya dapat diketahui dan lebih dinyatakan secara lebih terperinci oleh pakar-pakar perubatan pada masa kini. Maka, kami berpendapat seperti mana berikut:

Di dalam hukum syarak, status nasab anak memiliki nilai yang penting dalam kehidupan seorang manusia. Menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita yang mukallaf di dalam Islam untuk memastikan keturunan yang mereka lahirkan mesti daripada perhubungan yang sah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya).”

(Surah al-Furqan: 54)

Kemudian, Rasulullah SAW menghuraikan tentang kepentingan menjaga keturunan. Antaranya, daripada Abu Bakrah dan Sa‘d bin Abu Waqqas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ، فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

Maksudnya: “Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui bahawa orang itu bukan ayahnya, maka haram ke atasnya untuk menghuni syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn Majah (2610) dan Ahmad (1553)

Seterusnya, sebagaimana yang kita ketahui, para ulama yang berpendapat berkenaan keharusan menderma atau memindahkan organ tidak mengharuskannya secara mutlak. Sebaliknya, di sana ada syarat-syarat yang telah digariskan yang mesti dipenuhi sebelum dibolehkan pemindahan tersebut seperti mana yang kami telah sebutkannya sebelum ini di atas. Di antara syarat-syarat tersebut adalah organ yang dipindahkan tidak boleh menyebabkan pencampuran nasab dalam keadaan apa sekalipun, seperti organ reproduktif dan lain-lain. Begitu juga pemindahan tersebut tidak memberi mudharat kepada penderma mahupun penerima organ tersebut.

Berdasarkan kepada syarat-syarat tersebut, setelah meneliti kedua-dua pendapat dalam isu transplantasi rahim ini, kami berpendapat jika pendermanya dalam kalangan orang yang masih hidup, sudah tentu pemindahan rahim ini akan memberi mudharat kepada pendermanya. Ini juga syarat yang dikemukakan oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islami.

Hal ini kerana pemindahan rahim berkait rapat dengan fisiologi kitaran haid, yang terhasil dari campuran darah bersama-sama bahan daripada lapisan dalaman rahim yang luruh apabila persenyawaan tidak berlaku. Kitaran haid itu sendiri merujuk kepada perubahan berkala yang berlaku kepada rahim dan ovari bagi tujuan reproduktif (pembiakan). Sekiranya rahim dikeluarkan dari tubuh seseorang wanita, maka proses kitaran ini tidak dapat berlaku.[2] Justeru, pemindahan atau transplant rahim daripada orang yang masih hidup tidak dibolehkan.

Adapun pemindahan rahim daripada orang yang sudah meninggal dunia, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya sebagaimana pemindahan organ-organ yang lain. Akan tetapi ia mestilah memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan sebagaimana berikut:

  1. Mendapat keizinan penderma sebelum kematiannya, atau telah diizinkan oleh walinya setelah kematiannya.
  2. Prosedur pemindahan dan transplant rahim ini terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil secara umumnya menurut pakar perubatan.
  3. Memastikan pemindahan itu semata-mata untuk tujuan perubatan dan bukan untuk maksud atau tujuan lain.
  4. Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.
  5. Hendaklah ia dilakukan apabila keadaan darurat atau keperluan yang dibenarkan oleh syarak, di mana keadaan pesakit tersebut terus merosot dan tidak dapat diselamatkan dari sudut pandangan perubatan, serta bagi mencapai kepentingan yang penting yang tidak dapat dielakkan kecuali dengan memindahkan organ dari manusia lain.
  6. Pemindahan organ itu tidak menyebabkan sebarang pencampuran nasab dalam keadaan apa sekalipun. Dalam kes rahim ini, pendapat Dr. Ali al-Bar diambil kira.
  7. Pemindahan hendaklah dilakukan di pusat perubatan khusus yang diperakui oleh negara dan mempunyai lesen untuk tujuan tersebut. Ini bertujuan secure dan keselamatan bagi penderma dan yang diderma serta kebertanggungjawaban pihak yang mengendalikannya.

Tambahan lagi, rahim itu tidak termasuk dalam organ yang membawa sifat genetik, sepertimana faraj, zakar dan tiub fallopio. Di antara fungsi rahim adalah sebagai sebahagian daripada proses haid (menstruasi), memelihara sel telur, mempersiapkan kelahiran dan membantu bersalin, dan memelihara sel telur yang disenyawakan. Fungsinya yang terakhir ini adalah fungsi utama rahim. Selepas ovum yang disenyawakan ditanam ke dalam endometrium, ovum mendapat khasiat daripada saluran darah rahim dan akhirnya menjadi embrio dan seterusnya janin.[3]

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut serta jawapan yang lebih sempurna berhubung dengan isu transplantasi dan pemindahan rahim ini, bolehlah merujuk kepada e-Bahth Ilmi kami dengan tajuk, “Transplantasi Rahim: Isu dan Hukumnya.” Ia boleh dimuat turun melalui aplikasi al-Inarah menerusi telefon bimbit masing-masing.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

 Nota kaki:

[1] Lihat https://www.pennmedicine.org/for-patients-and-visitors/patient-information/conditions-treated-a-to-z/mayer-rokitansky-kuster-hauser-mrkh-syndrome. Diakses pada 8 Januari 2024.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/fisiologi-kitaran-haid/#:~:text=Haid%20ialah%20campuran%20darah%20bersama,bulan%2C%20ia%20dipanggil%20kitaran%20haid. Diakses pada 8 Januari 2024.

[3] Lihat https://www.halodoc.com/artikel/ini-berbagai-fungsi-rahim-dalam-sistem-reproduksi-wanita. Artikel ini telah disemak oleh oleh Dr. Fadhli Rizal Makarim pada 21 Disember 2023. Diakses pada 8 Januari 2024.