#5310: Tanda-Tanda Baligh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato jelaskan tanda-tanda seseorang itu dikira telah baligh? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Ali bin Abi Talib RA, Nabi SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Daud (4403)

Syeikh Abdullah al-Tayyar menyatakan: “Yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.” (Lihat Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh li Ibn al-Qudamah, 9/9)

Al-Imam al-Munawi ketika menasyarahkan hadith di atas beliau menyebutkan: yang dimaksudkan “Diangkat pena daripada tiga golongan” ialah berbentuk kinayah yang bermaksud tidak ditaklifkan. Oleh itu taklif ditulis daripadanya catatan amal (Lihat Faidh al-Qadir, 4/35)

Definisi Baligh

Dalam istilah bahasa Melayu, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan akil baligh sebagai cukup umur atau dewasa (mengikut pandangan Islam, biasanya apabila mencapai umur antara 9-12 tahun bagi perempuan dan 12-15 tahun bagi lelaki.

Maksud baligh adalah apabila seseorang lelaki atau perempuan itu telah sampai tempoh umur layak ditujukan kepadanya perintah melaksanakan syariat seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tanda-tanda baligh menurut Islam dan sudut pandang dari sudut sains.

Menurut perspektif Islam, tanda-tanda baligh bagi lelaki dan Perempuan ada tiga:

  1. Genap 15 tahun qamariah bagi lelaki dan perempuan.
  2. Bermimpi basah bagi lelaki dan perempuan selepas berumur 9 tahun qamariah. Sekiranya dia terasa keluar air mani dan menahannya, maka menurut Imam ar-Ramli, dia masih dianggap belum baligh. Namun menurut Ibn Hajar al-Haitami, dia tetap dikira sudah baligh. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/456)
  3. Datang haid bagi perempuan selepas berumur 9 tahun qamariah. (Lihat Safinah al-Naja, hlm. 17)

Perlu difahami, tidak menjadi syarat baligh untuk cukup ketiga-tiga tanda ini, tetapi memadai dengan satu tanda sahaja.

Manakala, menurut perspektif sains, terdapat beberapa tanda perubahan ciri-ciri seks ‘primer’ dan ‘sekunder’. Ia disebabkan bahan kimia di dalam badan yang dipanggil hormon.

Untuk lelaki:

  • Ciri-ciri seks primer yang berubah adalah perubahan zakar (penis) dan buah zakar (testis).
  • Manakala ciri-ciri seks sekunder pula melibatkan pertumbuhan misai dan janggut serta suara yang lebih garau.
  • Bulu ketiak serta di bahagian kemaluan juga merupakan tanda-tanda akil baligh.

Untuk perempuan:

  • Ciri-ciri seks primer yang berubah adalah perubahan faraj dan ovari.
  • Manakala ciri-ciri seks sekunder pula melibatkan perubahan payudara serta punggung membesar.
  • Bulu dari ketiak dan di bahagian kemaluan juga merupakan tanda-tanda akil baligh. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)[1]

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Wallahu a‘lam

Nota kaki:

[1] http://www.myhealth.gov.my/akil-baligh/