#5204: Definisi Keadilan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami mengikut Islam, apa itu definisi keadilan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.”

(Surah al-Nahl: 90)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 447)

Menurut Ibn Manzur, keadilan pada bahasa ialah tidak berat sebelah atau menetapkan sesuatu dengan benar. Dari segi konsep, beliau menyebut: Bahawa yang dimaksudkan dengan keadilan adalah sesuatu yang sudah mantap dalam fikiran sebagai perkara yang lurus. (Lihat Lisan al-‘Arab11/430)

Menurut al-Qamus al-Muhit, keadilan berasal daripada kalimah al-’Adl (العَدْل) dan lawannya adalah al-Jaur (الجَوْر) iaitu penindasan atau kekejaman , yang bermaksud apa yang berdiri dengan sendiri dan ianya lurus. Al-’Adalah (العَدالَة), al-’Udulah (العُدولَة) , al-Ma’dilah (المَعْدِلَة), dan al-Ma’dalah (المَعْدَلَة), semuanya membawa maksud ‘Adil (عادِل) daripada ‘Udul (عُدول) dan ‘Adl (عَدْل), dengan lafaz yang satu, dan ini adalah kata ganda. (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/1030)

Manakala dari sudut istilah, Ibn Hazm menyatakan: Keadilan adalah kamu memberikan diri kamu apa yang kamu wajib ambil (Lihat al-Akhlaq wa al-Siyar, hlm. 81)

Al-Jurjani pula menyatakan: Keadilan adalah Ibarah daripada konsisten atas jalan yang benar dan menjauhi apa yang dicegah dalam agama (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 147)

‘Amr bin Bahr al-Jahizh mendefinisikan keadilan sebagai: Menggunakan semua perkara pada tempat yang sepatutnya, waktu yang tepat, tujuan yang benar, kadar yang bersesuaian tanpa pembaziran, tanpa kekurangan, tanpa mengawalkan dan tanpa melewatkan. (Lihat Tahdzib al-Akhlaq, hlm.28)

Menurut Sayyid Sabiq, keadilan adalah menyampaikan segala sesuatu yang menjadi haknya sekaligus menjaga atau memelihara dan menjauhi yang bukan haknya sesuai dengan kadar/ketentuan haknya masing-masing. (Lihat ‘Anasir al-Quwwah fi al-Islam, hlm. 150)

Betapa pentingnya keadilan sehingga Allah memerintahkan para hakim Islam supaya menjauhi kezaliman dan menegakkan keadilan sepertimana firmanNya:

وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

(Surah al-Ma’idah: 42)

Ibn Jarir al-Tabari menafsirkan perkataan ‘الْقِسْطِ’ bermaksud adil. Bahawa dalam ayat ini Allah SWT memerintah Baginda Nabi Muhammad apabila memberi hukum dan pandangan (sesetengah pendapat mengatakan ayat ini berkaitan dengan hukuman rejam) bahawa hendaklah memberi hukum dengan adil. Maka itulah hukum dan perundangan yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas umat baginda SAW. (Lihat Jami’ al-Bayan, 8/446)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”