Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah matlamat Syariat Islam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).
(Surah al-Jathiyah: 18)
Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Kemudian Kami tetapkan undang-undang yang lengkap bagimu yang menyeru kepada segala kebaikan dan melarang dari segala keburukan dari urusan Kami yang berhubungan dengan hukum syarak, maka ikutilah syariat itu. Sesungguhnya dalam mengikutinya terdapat kebahagiaan yang kekal, kebaikan, dan kejayaan. Dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui iaitu orang-orang yang kehendak mereka tidak berdasarkan ilmu dan tidak mengikutinya. Mereka adalah setiap orang yang menyimpang dari syariat Rasulullah SAW yang hanya mengikuti hawa nafsu dan kehendaknya, maka mereka adalah termasuk dalam hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.777)
Dalam menjelaskan perkara ini, Imam Ibn al-Qayyim menyatakan:
فَإِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلَى الْحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ ، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّهَا ، وَرَحْمَةٌ كُلُّهَا ، وَمَصَالِحُ كُلُّهَا ، وَحِكْمَةٌ كُلُّهَا ؛ فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ خَرَجَتْ عَنْ الْعَدْلِ إلَى الْجَوْرِ ، وَعَنْ الرَّحْمَةِ إلَى ضِدِّهَا ، وَعَنْ الْمَصْلَحَةِ إلَى الْمَفْسَدَةِ ، وَعَنْ الْحِكْمَةِ إلَى الْبَعْثِ ؛ فَلَيْسَتْ مِنْ الشَّرِيعَةِ وَإِنْ أُدْخِلَتْ فِيهَا بِالتَّأْوِيلِ ؛ فَالشَّرِيعَةُ عَدْلُ اللَّهِ بَيْنَ عِبَادِهِ ، وَرَحْمَتُهُ بَيْنَ خَلْقِهِ ، وَظِلُّهُ فِي أَرْضِهِ
Maksudnya: “Syariah (Islamiyyah) itu terbina dan terasas di atas hukum dan maslahah para hamba dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ia keseluruhannya adil, keseluruhannya rahmat, keseluruhannya maslahah, keseluruhannya hikmah. Maka setiap masalah yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada sebaliknya, daripada maslahah kepada mafsadah (kerosakan), daripada hikmah kepada sia-sia, maka ia bukan daripada syariah walaupun dimasukkan ke dalamnya secara takwilan. Maka syariat Allah itu adil buat semua hamba-Nya, rahmat buat semua makhluk-Nya dan lembayung-Nya di muka bumi.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 3/14-15)
Imam al-Izz bin Abdul Salam berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu hukum daripada hukum-hakamnya kecuali demi kemaslahatan di dunia atau akhirat atau demi kedua-duanya sekali, sebagai suatu kelebihan ke atas hamba-hamba-Nya”. (Lihat Syajarat al-Ma’arif, hlm. 355)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”