#5205: Nama-nama Ashab al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah nama-nama Ashab al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terdapat sebuah riwayat yang kami temukan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyebutkan secara jelas nama setiap orang termasuklah nama anjing bagi Ashab al-Kahfi ini, seperti yang dinukilkan oleh Ibn Kathir dan al-Baghawi dalam kitab tafsir mereka. Kata Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

هُمْ مَكْسِلْمِينَا وَيَمْلِيخَا وَمَرْطُونَسُ وَبَيْنُونُسَ وَسَارِينُونُسَ وَذُو نَوَانِسَ وَكَشْفَيْطَطْنُونَسَ وَهُوَ الرَّاعِي وَالْكَلْبُ قِطْمِيرُ

Maksudnya: “Mereka adalah Maksilmina, Yamlikha, Martunas, Bainunus, Sarinunas, Zu Nawanis, Kasyfaitatnunas – dan beliau merupakan penggembala-, dan anjing itu adalah Qitmir.”

Sememangnya terdapat riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang dibawakan oleh Ibn Kathir, akan tetapi, riwayat tersebut bercanggah dengan bilangan pemuda Ashab al-Kahfi yang telah kami tarjihkan kerana beliau menyebutkan 8 nama tidak termasuk nama anjing mereka. Oleh yang demikian, Ibn Kathir menyebut, kebarangkalian riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma itu adalah kata-kata Ibn Ishaq atau orang di sekelilingnya. Adapun yang sahih daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma adalah seramai 7 orang, dan itulah yang disebutkan pada zahir ayat. Ibn Kathir kemudian menyebutkan, kesahihan nama-nama mereka ini mempunyai kritikan, kerana kebanyakannya diambil dari ahli kitab, sedangkan Allah SWT telah berfirman:

فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَآءًۭ ظَـٰهِرًۭا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًۭا

Maksudnya: “Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorang pun daripada golongan (yang membincangkannya).”

(Surah al-Kahfi: 22)

Sesungguhnya pengetahuan tentang ini tidak memberikan sebarang faedah yang besar kepada kita. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/162; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/134)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”