#5314: Sikap Salahuddin Terhadap Tawanan Perang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana sikap pemimpin agung umat Islam, Salahuddin al-Ayyubi terhadap tawanan perang?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan terlebih dahulu sejarah ringkas Salahuddin al-Ayyubi

Salahuddin al-Ayyubi (Arab: صلاح الدين الأيوبي / Ṣalāḥ al-Dīn al-Ayyubīy, bahasa Kurdi: سه‌لاحه ‌دينێ ئه ‌يووبى / Silhedînê Eyûbî, Parsi: صلاح الدین ایوبی, Turki: Selahaddin Eyyubi) atau nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub (1137 -1193) mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurdi di Mesir dan Syria. Di Barat beliau dikenali sebagai Saladin. Beliau juga terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesatriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib.

Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga Kurdi di Tikrit dan dihantar ke Damsyik untuk menghabiskan pelajarannya. Ayahnya, Najm al-Din Ayyub, ialah gabenor wilayah Baalbek. Selama 10 tahun beliau tinggal di Damsyik di kawasan istana milik Nur ad-Din iaitu anak kepada Sultan Imaduddin Zangi iaitu pemerintah Kerajaan Dinasti Zangi.

Salahuddin Al-Ayubbi wafat pada 4 Mac 1193 di Kota Damsyik tidak lama selepas pemergian Raja Richard. Apabila mereka membuka peti simpanan Salahuddin untuk membiayai upacara pengebumiannya, mereka mendapati ia tidak cukup (diriwayatkan Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya. Ada juga riwayat yang menyebut wang itu henyalah wang 5 Dinar) . Salahuddin telah memberikan hampir kesemua hartanya kepada rakyat-rakyatnya yang miskin. Makamnya yang terletak di Masjid Ummaiyyah merupakan tumpuan tarikan pelancong yang terkenal. Makamnya adalah antara makam yang sering dikunjungi umat Islam di seluruh dunia.[1]

Berkenaan persoalan di atas, kami katakan, semasa penaklukan semula Palestin, dicatatkan seramai lebih daripada 100,000 orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah ditawan oleh tentera Islam. (Lihat Kitab al-Fath al-Qussi fi al-Fath al-Qudsi oleh Imad al-Din al-Isfahani, hlm. 43) Berbanding apa yang telah dilakukan oleh tentera Salib terhadap umat Islam sebelum ini yang telah dikenakan hukuman bunuh, Salahuddin sebaliknya mengambil sikap memaafkan kepada masyarakat Kristian. Malah, kesemua mereka dibebaskan setelah membayar wang tebusan diri iaitu bagi lelaki 10 dinar, perempuan sebanyak 5 dinar dan kanak-kanak dikenakan 2 dinar. (Lihat al-Islam wa al-Qadiyyah al-Filistiniyyah oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan)

Orang-orang miskin seramai 7000 orang juga telah dibebaskan dengan jumlah pembayaran sebanyak 30,000 dinar secara sekaligus. Walaubagaimanapun, sekiranya wang tebusan diri tersebut tidak mampu dibayar oleh sebahagian mereka, maka secara automatik mereka akan terus berada dalam tahanan.

Hal ini mencerminkan kebaikan, keselamatan dan keamanan Islam itu sendiri kerana pendekatan yang diambil oleh Salahuddin tersebut menjadikan pertempuran dan pertentangan dapat dielakkan. Ini sekaligus menatijahkan tragedi kehilangan nyawa dan pertumpahan darah yang dahsyat dapat dielakkan.

Dicatatkan bahawa Salahuddin turut membekalkan sejumlah wang dan haiwan tunggangan apabila beliau melihat ada para tebusan yang membawa ibu bapa dan saudara tetangga yang telah berumur. Ini berlaku dalam kalangan mereka yang telah membayar wang tebusan diri untuk bebas. (Lihat al-Islam wa al-Qadiyyah al-Filistiniyyah oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan)

Bahkan, bagi memastikan mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju, Salahuddin turut mengarahkan tenteranya agar mengiringi para tebusan tersebut. (Lihat Saladin and the Fall of Jerusalem oleh Geoffrey Regan hlm. 150-151)

Hal ini jelas menggambarkan bagaimana sikap Islam yang penuh dengan keramahan, keamanan, keharmonian, toleransi dan keadilan dalam membentuk satu sistem kehidupan masyarakat majmuk yang aman dan damai.

Kami akhiri dengan firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.”

(Surah al-Nahl: 90)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 447)

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Nota kaki:

[1] https://ms.wikipedia.org/wiki/Salahuddin_al-Ayyubi