#5318: Fitnah Kubur Kepada Siapa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah fitnah kubur berlaku kepada orang Islam sahaja?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ، أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.”

Riwayat al-Tirmizi (2460) Kata Imam al-Tirmizi, “Hadis ini gharib. Tidak aku ketahui kecuali jalan ini.” Turut diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8613) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (4682).  Isnad hadis ini adalah dha’if seperti yang dinyatakan oleh al-Sakhawi (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, 359) dan al-‘Ajluni (Lihat Kasyf al-Khafa’, 2/118)

Al-Munawi menyebut: Ia berlaku sama ada secara hakikat atau majaz. Zahir daripada khabar ini bahawa azab kubur tidak terputus. Dalam banyak khabar dan athar, menunjukkan kepada terputusnya dan yang zahir adalah ia berbeza mengikut perbezaan individu. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/167)

Syeikh Sulaiman bin Nasir berkata: Hadis ini menjadi dalil bahawa kubur terkadang menjadi cahaya bagi pemiliknya, dan terkadang menjadi satu kegelapan. (Lihat Syarh Kitab al-Jana’iz min al-Bulugh, hlm. 11)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa fitnah kubur ini berlaku secara umum bagi setiap orang mukallaf, kecuali para Nabi yang masih ada khilaf padanya. Maksud fitnah kubur adalah ujian bagi si mayat tatkala disoal oleh dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir. (Lihat Majmu’ al-Fatawa 4/257).

Ibn ‘Abd al-Bar menyebut: “Athar yang sahih dalam bab ini menunjukkan bahawa fitnah kubur ini hanya berlaku bagi orang beriman dan munafik, iaitu orang-orang sewaktu di dunia termasuk dalam kategori ahli kiblat dan beragama Islam. Adapun orang-orang kafir yang ingkar, maka mereka tidak ditanya tentang Tuhan, agama dan nabinya. Mereka yang ditanya tentang ini semua adalah orang Islam. (Lihat al-Tamhid, 9/235)

Beliau turut berkata: “Dalam hadis Zaid bin Thabit R.A, Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya umat ini diuji di dalam kuburnya’. Lafaz ini mengandungi kemungkinan bahawa umat ini dikhususkan dengan hal tersebut, ini adalah perkara yang tidak qath’i. Wallahu a’lam.” (Lihat al-Tamhid, 9/236).

Manakala Ibnu al-Qayyim mentarjihkan bahawa ujian di dalam Barzakh berlaku juga untuk orang kafir dan munafik berdasarkan hadith Anas dan al-Barra’ dan keumuman al-Qur’an (Lihat al-Ruh, 104-107).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”