Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami ada dengar Rasulullah SAW menyebut berkenaan isu mengumpat dan tidak bersih ketika buang air kecil dengan sempurna?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami katakan, ya, memang benar. Hal ini seperti disebut dalam hadis daripada Abdullah bin Abbas R.anhuma, di mana Nabi SAW pernah melalui dua buah kubur, lalu Baginda bersabda:
إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً فَشَقَّهَا بِنِصْفَيْنِ ثُمَّ غَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا فَقَالَ: “لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا”.
Maksudnya: “Sesungguhnya dua mayat ini (di dalam kubur ini) sedang diseksa tetapi bukanlah kerana mereka melakukan dosa yang besar. Seorang daripadanya diseksa kerana tidak mencuci air kencingnya dengan betul dan sempurna, manakala seorang lagi diseksa kerana sentiasa berjalan bagi tujuan mengadu domba.”
Kemudian baginda mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu mematahkannya menjadi dua. Setelah itu baginda menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, mengapa engkau melakukan hal sedemikian?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Semoga dengan pelepah ini dapat meringankan seksanya selagimana ia belum kering.”
Riwayat al-Bukhari (218)
Ibn Hajar berkata: “Mungkin makna itu ialah benda itu bertasbih selama mana masih lembab, lalu terhasillah peringanan azab dengan berkat tasbih itu. Justeru, makna ini boleh diletakkan pada setiap benda yang mempunyai kelembapan, daripada jenis tumbuhan, atau selainnya, dan boleh juga diletakkan pada perkara yang mempunyai keberkatan seperti zikir, membaca al-Quran, bahkan itu lebih utama.”(Lihat Fath al-Bari, 1/320)
Ibn al-Qayyim berkata: Maksudnya adalah apabila dia meninggalkan taharah yang wajib. Manakala namimah pula adalah melakukan sebab yang membawa kepada permusuhan sesama manusia dengan sebab lisannya, sekalipun apa yang dia cakapkan adalah benar. Dalam hal ini terdapat peringatan bahawa mewujudkan permusuhan sesama manusia dengan kata-kata dusta, palsu, pembohongan akan menerima seksa yang lebih berat. Ini sepertimana meninggalkan istibra’ daripada kencing juga merupakan satu peringatan terhadap sesiapa yang meninggalkan solat, di mana istibra’ daripada kencing adalah sebahagian daripada kewajibannya dan syaratnya, maka dia akan diseksa dengan lebih berat. (Lihat al-Ruh, hlm. 89)
Dalam hadis lain, diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
اسْتَنْزِهُوا مِنْ الْبَوْلِ فَإِنَّ عَامَّةَ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنْ الْبَوْلِ
Maksudnya: “Bersihkanlah diri kamu dari air kencing, kerana kebanyakan seksa kubur itu disebabkan oleh air kencing.”
Riwayat Ibn Majah (348) dan Ahmad (9033) dan al-Daraqutni (1/127). Ibn al-Mulaqqin berkata bahawa hadis ini sahih. (Lihat al-Badr al-Munir, 2/323) Manakala Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya dha’if. (Lihat Takhrij al-Musnad, 14/77)
Selain itu, dalam hadis Ibn ‘Abbas di atas juga disebut bahawa perbuatan namimah merupakan salah satu penyebab seksa kubur. Sesungguhnya perbuatan namimah dan ghibah merupakan penyakit yang keji, buruk dan termasuk dosa besar. Betapa buruknya perbuatan ini dapat dilihat melalui gambaran yang disebut oleh Rasulullah SAW ketika peristiwa Isra’ Mi’raj. Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَمَّا عُرِجَ بِيْ مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمِشُون بها وُجُوْهَهُمْ وصُدورَهم فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلاَءِ يَا جِبْرِيْلُ؟ قَالَ : هَؤُلاَءِ الَّذِيْنَ يَأْكُلُوْنَ لُـحُوْمَ النَّاسِ وَيَقَعُوْنَ فِي أَعْرَاضِهِم
Maksudnya: “Ketika aku dinaikkan ke langit (dalam peristiwa isra’ dan Mi’raj), aku melalui satu kaum yang memiliki kuku panjang dibuat daripada tembaga, mereka mencakar muka dan dada mereka. Lalu aku bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Jibril?” Jibril AS menjawab: “Mereka adalah orang yang memakan daging manusia dan mencela kehormatan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4878) dan Ahmad (4878). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa isnadnya sahih.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”