#5222: Arah Kiblat di Atas Kapal Laut

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana solat berdasarkan arah kiblat di atas kapal (laut)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka, dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 144)

Ibn al-Jauzi berkata: Sebab turunnya ayat ini ialah, Nabi SAW amat suka menghadap ke Kaabah. Inilah pendapat al-Bara, Ibn `Abbas, Ibn Musaiyib, Abu al-`Aliyah dan Qatadah. Mereka juga khilaf kepada dua pendapat berkenaan sebab pilihan Nabi SAW menghadap ke Kaabah dari Bait al-Maqdis. (Lihat Zad al-Masir,1/141)

Berdasarkan ayat di atas, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menafsirkan bahawa “Menghadap kiblat dengan tepat adalah wajib bagi mereka yang berada di sekitar Masjid al-Haram. Manakala bagi mereka yang jauh dari Makkah, memadailah menghadap ke arah Makkah sebagai menetapi syarat hukum.

Jika tidak dapat berijtihad dan menganggarkan arah kiblat dengan tepat, solat tetap perlu dilaksanakan. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amir bin Rabi’ah daripada bapanya:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي سَفَرٍ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ فَلَمْ نَدْرِ أَيْنَ الْقِبْلَةُ فَصَلَّى كُلُّ رَجُلٍ مِنَّا عَلَى حِيَالِهِ فَلَمَّا أَصْبَحْنَا ذَكَرْنَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَزَلَ‏:‏ ‏(‏فَأَيْنَمَا تُولُّوا فَثَمَّ وَجْهُ الله‏)

Maksudnya: “Kami dahulu bersama Nabi SAW dalam sebuah permusafiran di malam hari yang gelap-gelita. Maka kami tidak mengetahui dimana arah kiblat. Maka setiap orang dari kami solat menurut keyakinan masing-masing. Kemudian pada waktu paginya, kami menceritakannya kepada SWT” Nabi SAW, maka turunlah ayat: “Ke arah manapun kamu menghadap, maka disitulah wajah Allah.”

Riwayat Tirmidzi (345)

Berdasarkan kepada hadith diatas, para fuqaha telah bersepakat bahawa solat tetap wajib dilaksanakan walaupun tidak menghadap kiblat. Walaubagaimanapun, status hadith di atas dinilai dhoif dan menurut Mazhab Syafi’e solat yang telah dilakukan menghadap ke arah kiblat yang salah, solat tersebut wajib diqadha semula. Ia dipetik daripada Minhaj al-Talibin, yang mana sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/158)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa solat di atas kapal laut wajib mengadap kiblat jika pesawat itu bergerak ke arah lain maka orang yang bersolat itu juga perlu menukar arah kiblatnya. Namun jika tidak diketahui ke arah mana pesawat bergerak maka dibolehkan untuk tetap pada arah asal.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahu a’lam

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)