#5224: Abu Righal dan Kuburnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang Abu Righal dan kuburnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam satu riwayat daripada Abdullah bin Umar RA secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW):

هَذَا قَبْرُ أَبِي رِغَالٍ، وَكَانَ بِهَذَا الْحَرَمِ يَدْفَعُ عَنْهُ، فَلَمَّا خَرَجَ أَصَابَتْهُ النِّقْمَةُ الَّتِي أَصَابَتْ قَوْمَهُ بِهَذَا الْمَكَانِ، فَدُفِنَ فِيهِ، وَآيَةُ ذَلِكَ أَنَّهُ دُفِنَ مَعَهُ غُصْنٌ مِنْ ذَهَبٍ، إِنْ أَنْتُمْ نَبَشْتُمْ عَنْهُ أَصَبْتُمُوهُ مَعَهُ

Maksudnya: Ini ialah kubur Abu Righal. Pada tempat suci ini, dia dijaga dari bala yang menimpa kaumnya. Namun, apabila dia keluar daripada tempat suci tersebut, dia ditimpa balasan seperti apa yang telah menimpa kaumnya di tempat ini. Dia kemudiannya dikebumikan di sini. Bukti bahawa dia telah dikuburkan di sini adalah dia dikuburkan bersama dahan emas. Jika kalian menggali kuburnya, kamu akan ditimpa balasan sepertinya.”

Abdullah bin Umar bercerita lagi: “Orang ramai pun segera mencarinya dan mendapati bahawa betul-betul dahan emas itu bersama Abu Righal.”

Riwayat Abu Daud (3088), al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah (6/92) dan al-Firdaus. Hadis ini dinyatakan sebagai dha’if dalam Silsilah al-Da’ifah (no. 4736)

Dalam sebuah hadis daripada Jabir R.A, beliau berkata:

لَمَّا مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحِجْرِ قَالَ لَا تَسْأَلُوا الْآيَاتِ وَقَدْ سَأَلَهَا قَوْمُ صَالِحٍ فَكَانَتْ تَرِدُ مِنْ هَذَا الْفَجِّ وَتَصْدُرُ مِنْ هَذَا الْفَجِّ فَعَتَوْا عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ فَعَقَرُوهَا فَكَانَتْ تَشْرَبُ مَاءَهُمْ يَوْمًا وَيَشْرَبُونَ لَبَنَهَا يَوْمًا فَعَقَرُوهَا فَأَخَذَتْهُمْ صَيْحَةٌ أَهْمَدَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مَنْ تَحْتَ أَدِيمِ السَّمَاءِ مِنْهُمْ إِلَّا رَجُلًا وَاحِدًا كَانَ فِي حَرَمِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قِيلَ مَنْ هُوَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ هُوَ أَبُو رِغَالٍ فَلَمَّا خَرَجَ مِنْ الْحَرَمِ أَصَابَهُ مَا أَصَابَ قَوْمَهُ.

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW melewati Hijr, Baginda bersabda, “Janganlah kamu meminta datangnya ayat-ayat (mukjizat), sebagaimana kaum Soleh telah memintanya, maka ia (unta) datang dari jalan ini dan pergi dari jalan ini. Lalu mereka melanggar perintah Tuhan mereka dan menyembelihnya. Unta itu minum air mereka satu hari dan mereka minum air susunya satu hari, lalu mereka menyembelihnya. Maka, mereka (kaum Tsamud) ditimpa oleh tempikan suara keras yang membinasakan semua yang ada di bawah langit dari mereka, kecuali satu orang yang berada di al-Haram.” Mereka bertanya, “Siapa dia, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Dia ialah Abu Righal. Ketika dia keluar dari al-Haram, dia pun tertimpa seperti yang menimpa kaumnya.”

Riwayat Imam Ahmad dalam Musnad-nya, (3/296). Dan Ibn Kathir, setelah menyebut kisah tersebut, beliau mengatakan, “Hadith ini di atas syarat Imam Muslim, namun ia tidak tertulis dalam salah satu daripada enam kitab (Kutub al-Sittah).” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/137) Ibn Hajar al-Haithami berkata, “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath. Lafaznya ada di dalam Surah Hud. Dan Imam Ahmad  meriwayatkan hadith yang senada. Para perawi Imam Ahmad adalah perawi-perawi hadith sahih.” (Lihat Majma al-Zawa’id, 6/194)

Umar R.A pernah berkata kepada Ghailan al-Thaqafi:

لَتُرَاجِعَنَّ نِسَاءَكَ ، أَوْ لأَرْجُمَنَّ قَبْرَكَ كَمَا رُجِمَ قَبْرُ أَبِي رِغَالٍ.

Maksudnya: “Kamu hendaklah merujuk isteri-isteri kamu kembali, atau aku akan merejam kuburmu sebagaimana kubur Abu Righal direjam.”

Riwayat al-Tirmizi (1128) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7/183)

Berkenaan Abu Righal ini, terdapat dua riwayat yang menyebut berkenaan dengannya, iaitu:

Pertama: Menurut Ibnu Ishaq sebagaimana dinukilkan Ibnu Hisyam di kitab al-Sirah al-Nabawiyyah (1/166), Abu Righal adalah seorang pemuda dari Bani Thaqif di Kota Taif yang menjadi penunjuk jalan kepada Raja Abrahah ketika hendak menghancurkan Ka’bah.

Kedua: Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (3/440-443), beliau menceritakan bahawa Abu Righal adalah nenek moyang daripada Bani Thaqif di Tha’if. Dia merupakan umat Nabi Soleh  atau Kaum Thamud yang selamat daripada azab yang menimpa kaumnya berkat keberadaannya di Tanah Haram.

Daripada kedua riwayat di atas, kelihatan keduanya sangat bercanggahan antara riwayat daripada Ibnu Ishaq dan Ibnu Kathir. Namun Ibnu Kathir kemudian menyebut:

وَالْجَمْعُ بَيْنَ هَذَا وَبَيْنَ مَا ذَكَرَ ابْنُ إِسْحَاقَ أَنَّ أَبَا رِغَالٍ هَذَا الْمُتَأَخِّرَ وَافَقَ اسْمُهُ اسْمَ جَدِّهِ الْأَعْلَى، وَرَجَمَهُ النَّاسُ كَمَا رَجَمُوا قَبْرَ الْأَوَّلِ أَيْضًا. وَاللَّهُ أَعْلَمُ.

Maksudnya: “Titik temu daripada riwayat saya dan riwayat Ibnu Ishaq adalah  bahawa Abu Righal yang terakhir (penunjuk jalan raja Abrahah) itu bersesuaian dengan Abu Righal awal – yang tidak lain adalah nenek moyangnya. Hingga orang ramai merejam dengan batu makam keduanya.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/143)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”