#5228: Maksud Himpitan Kubur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud himpitan kubur? Saya ada dengar kisah Sahabat yang dihimpit oleh kubur. Apakah maksud himpitan itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Diriwayatkan, ketika mana Sa’ad Bin Mu’az meninggal dunia, Rasulullah SAW bersabda :

هَذَا الَّذِي تَحَرَّكَ لَهُ الْعَرْشُ وَفُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَشَهِدَهُ سَبْعُونَ أَلْفًا مِنْ الْمَلَائِكَةِ لَقَدْ ضُمَّ ضَمَّةً ثُمَّ فُرِّجَ عَنْهُ

Maksudnya: “Inilah yang menyebabkan bergeraknya Arasy dan dibuka baginya pintu-pintu langit serta disaksikan oleh 70,000 malaikat. Dia telah dihimpit (di dalam kubur) kemudian dilepaskan daripadanya.”

Riwayat al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (2054). Isnad hadith ini adalah sahih mengikut syarat Muslim. (Lihat Hidayah al-Ruwat, 132)

Berkenaan maksud himpitan kubur, kami nukilkan penjelasan ulama’ seperti berikut:

Al-Munawi menukilkan dari al-Hakim. Kata beliau: “Tanah menjadi rindu. Apabila ia mendapati ada orang mukmin di dalamnya, ia akan menghimpitnya dengan himpitan rahmat sesuai dengan keadaan ketika orang itu datang. Jika yang datang itu adalah orang yang baik ia akan dilepaskan dengan segera.”(Lihat Faidh al-Qadir, 5/332)

Dikatakan himpitan tersebut adalah himpitan rindu bukan himpitan sebab kemarahan. Para Nabi, Rasul-rasul dikecualikan dari himpitan ini. Inilah pandangan al-Munawi di dalam Faidh al-Qadir.

Al-Sindi menukilkan pandangan yang amat menarik dari al-Nasafi. Kata beliau:

“Himpitan kubur ini adalah seperti asal mereka. Tanah dianggap seperti ibu. Daripada ia manusia dicipta. Yang kemudiannya hilang dalam jangka masa yang panjang. Apabila mereka dikembalikan, tanah menghimpit mereka seperti mana pelukan ibu terhadap anak yang sudah lama hilang yang kemudian pulang semula kepadanya. Jika orang itu adalah orang yang taat kepada Allah, tanah akan menghimpitnya dengan penuh kelembutan. Siapa yang suka buat maksiat, tanah akan menghimpitnya dengan penuh kemarahan.” (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala al-Nasaie, 4/97)

Maka dapat difahami dari ucapan al-Nasafi ini bahawa himpitan berlaku pada semua. Yang membezakan adalah cara himpitan mengikut keadaan orang yang masuk ke dalamnya. Ini lah juga di antara pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Suyuti di dalam syarahannya terhadap Sunan al-Nasaie.

Orang mukmin yang sejati akan dihimpit sebentar kemudian akan dilepaskan segera. Orang mukmin yang ada buat dosa akan dihimpit dalam jangka masa yang lama kemudian baru akan dilepaskan. Manakala orang kafir akan sentiasa dihimpit. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/167)

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad ketika ditanya adakah himpitan yang berlaku pada orang mukmin sama dengan himpitan kubur yang dikenakan terhadap orang kafir? Beliau menjawab bahawa himpitan yang berlaku pada orang kafir adalah satu azab sehingga tulang-tulang mereka berselerakan disebabkan himpitan tersebut. Manakala orang mukmin selepas dihimpit akan dilepaskan dan diluaskan kubur baginya.

Imam al-Ramli pernah ditanya. Adakah ia berlaku sebelum atau selepas soalan para malaikat? Beliau kemudiannya menukilkan ucapan daripada Abu Qasim al-sa’di bahawa himpitan kubur tidak dikecuali pada sesiapa pun sama ada yang soleh atau yang ingkar. Yang membezakan adalah bagi orang kafir, mereka secara berterusan dihimpit. Manakala orang Muslim pula akan dihimpit pada awal mereka dimasukkan ke dalam kubur kemudian akan dilepaskan dengan segera. (Lihat Fatawa al-Ramli, 6/33)

Maka fahamlah kita bahawa himpitan kubur itu adalah satu peristiwa yang akan dilalui oleh semua orang ketika masuk ke dalam kubur. Ianya berdasarkan hadis yang dinilai oleh para ulama pakar sebagai sahih.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”