#523 Basuh Tangan Selepas Makan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum membasuh tangan selepas makan? Adakah ia disunatkan dan termasuk dalam perkara sunnah? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya:Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat ini menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu semua (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kita semua dapat mengikutinya. Justeru, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat. Selain itu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420.)

Membasuh tangan selepas makan

Pada asasnya, para ulama telah bersepakat bahawa hukum membasuh kedua-dua tangan selepas makan adalah sunat sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (45/270) Malah, ia termasuk dalam antara adab-adab makan. (Lihat al-Najm al-Wahhab fi Syarh al-Minhaj, 7/389; al-Mughni, 7/289; al-Hawi al-Kabir, 9/561.)

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من أحبَّ أن يُكَثِّرَ اللهُ خَيْرَ بَيْتِهِ فَلْيَتَوَضَّأْ إِذَا حَضَرَ غَدَاؤُهُ وَإِذَا رُفِعَ

Maksudnya:Sesiapa yang ingin Allah SWT memperbanyakkan kebaikan di dalam rumahnya, hendaklah dia berwuduk sekiranya makanannya telah dihidangkan (sebelum makan) dan selepas diangkat (selesai makan).”

Riwayat Ibn Majah (3260)

Al-Sindi ketika mensyarahkan lafaz ‘berwuduk’ dalam hadith di atas, menyebutkan bahawa maknanya adalah membasuh kedua-dua tangannya. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 2/301.)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَامَ وَفِي يَدِهِ غَمَرٌ وَلَمْ يَغْسِلْهُ فَأَصَابَهُ شَيْءٌ، فَلَا يَلومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidur dan di tangannya masih terdapat kesan lemak daging yang tidak dibasuhnya. Lalu dia ditimpa sesuatu, maka janganlah dia mencela sesiapapun melainkan dirinya sendiri.”

Riwayat Abu Daud (3852); Ahmad (7569); al-Tirmizi (1860)

Terdapat juga riwayat lain daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ بَاتَ وَفِي يَدِهِ رِيحُ غَمَرٍ فَأَصَابَهُ شَيْءٌ فَلَا يَلومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Maksudnya:Sesiapa yang bermalam (yakni tidur) dan di tangannya masih terdapat bau lemak daging, lalu dia ditimpa sesuatu. Maka, janganlah dia mencela sesiapapun melainkan dirinya sendiri.”

Riwayat al-Tirmizi (1859); al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat, 5/324.

Hadith ini menunjukkan bahawa menjaga kebersihan diri sepanjang hari — yakni pada siang hari — dan sebelum tidur adalah di antara perkara-perkara penting yang diberi perhatian oleh syariat Islam. Umumnya, sesiapa yang tidur dalam keadaan tangannya masih lagi terdapat kesan daripada lemak atau seumpamanya disebabkan oleh tidak membasuh tangan. lalu jika dia ditimpa sesuatu musibah seperti digigit haiwan kecil, diganggu jin atau seumpamanya kerana kesan makanan itu menarik haiwan-haiwan itu kepadanya. Ketika itu, janganlah dia menyalahkan sesiapapun kerana musibah itu adalah disebabkan oleh perbuatan dirinya sendiri iaitu tidak membasuh tangan.

Selain itu, menurut mazhab Maliki, membasuh tangan sebelum makan hukumnya bukanlah sunat melainkan terdapat kotoran padanya. Sekiranya kotoran tersebut adalah najis, maka dia wajib membasuhnya. Akan tetapi sekiranya kotoran tersebut bukan najis, maka sunat untuk dia membasuhnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270)

Oleh itu, kenyataan ini juga dapat difahami bahawa jika membasuh tangan sebelum makan berkait rapat dengan kotoran yang terdapat pada tangan itu sebelum makan, maka selepas makan adalah lebih-lebih lagi perlu kepada basuhan kerana sudah tentu tangan tersebut akan tercemar dengan makanan yang dipegang sekalipun bukan najis.

Walau bagaimanapun, sunnah membasuh tangan itu hanya diperolehi dengan membasuhnya dengan air. Malah, menurut Ibn Raslan, yang lebih baiknya adalah membasuhnya bersama sabun atau apa-apa bahan yang semakna dengannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 6/120)

Amalan membasuh tangan dari sudut kesihatan

Dari segi kesihatan, tangan adalah bahagian anggota badan yang paling kerap menyentuh pelbagai permukaan dan tempat yang mempunyai kuman. Membasuh tangan dapat mencegah penyakit dan menyebarkan jangkitan kepada orang lain kerana kelazimannya kita kerap menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa sedar. Tangan yang tercemar akan memindahkan kuman ke saluran pernafasan melalui mata, hidung dan mulut. Kuman daripada tangan yang tidak dibasuh boleh berpindah ke objek yang disentuh seperti tombol pintu, telefon bimbit, duit dan juga semasa bersalaman. Justeru, membasuh tangan dengan sabun dan air dapat menyingkirkan kuman dan mencegah pelbagai penyakit. Oleh itu, Kemeterian Kesihatan Malaysia sering menasihatkan orang ramai kerap membasuh tangan mengguna air dan sabun sekurang-kurangnya 20 saat.[1]

Menurut Dr. Ragesh, antara bakteria yang hadir di tapak tangan dan jari ialah staphylococcus (yang boleh menyebabkan bisul dan nanah), streptococci (sakit tekak), bacillus, clostridim, Escherichia Coli atau E Coli (yang boleh menyebabkan cirit-birit) serta juga virus Influenza A (yang menyebabkan selesema babi). Menurut beliau lagi, Membasuh tangan ialah kaedah terbaik untuk menghalang jangkitan dan seseorang itu mesti terus mengamalkan amalan membasuh tangan, sebab kuman biasanya menjangkiti beberapa hari sebelum seseorang itu berasa sakit.[2]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa membasuh tangan selepas makan adalah disunatkan dan termasuk dalam perkara sunnah. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat, sunnah membasuh tangan itu hanya diperolehi dengan membasuhnya dengan air, dan yang lebih baiknya adalah membasuhnya bersama sabun atau apa-apa bahan yang semakna dengannya sebagaimana disebut oleh Ibn Raslan.

Sekalipun begitu, bukanlah bermaksud seseorang itu boleh mengambil sambil lewa akan perkara ini. Hal ini kerana kotoran yang berada di tangan selepas makan, jika berupa sesuatu yang melekit, berlemak dan seumpamanya, boleh menyebabkan ia berpindah ke tempat lain yang disentuh lalu mengotorkan tempat yang disentuh tersebut, di samping menimbulkan ketidakselesaan kepada orang lain. Selain itu juga, amalan membasuh tangan ini adalah lebih dekat dengan agama Islam yang sentiasa menekankan penganutnya untuk sentiasa berada dalam keadaan suci dan bersih sepanjang masa. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Begitu juga amalan mambasuh tangan selepas makan juga, lebih-lebih lagi sebelum tidur dapat mengelakkan dirinya daripada ditimpa sesuatu musibah disebabkan oleh kesan makanan yang masih melekat pada tangannya seperti digigit haiwan berbisa, dihurung semut dan sebagainya. Sebagai penutup, kami akhiri dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44)

Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35.)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 Februari 2022 bersamaan 17 Rejab 1443H

[1] Lihat https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/photos/mengapa-perlu-kerap-membasuh-tanganmembasuh-tangan-terutama-sebelum-makan-atau-s/10157140736861237/. Diakses pada 17 Februari 2022.

[2] Lihat https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2010/01/07/ibu-kenapa-kita-perlu-basuh-tangan. Diakses pada 17 Februari 2022.