#5230: Maksud Kubur Sebagai Taman Syurga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah maksud kubur sebagai taman-taman Syurga?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terdapat satu riwayat yang menyatakan bahawa kubur merupakan kubur merupakan salah satu daripada taman syurga sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.

Riwayat al-Tirmizi (2460). Kata Imam al-Tirmizi, hadis ini gharib. Tidak aku ketahui kecuali jalan ini. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Tahzib (7/200-202) menyatakan Sanad ini amat dha’if. Ini kerana Athiyyah ibn Sa’d al-‘Aufi al-Qisi dha’if dan didha’ifkannya oleh al-Nasa’ie, Abu Zur’ah, al-Saji dan lain-lain.

Syeikh Sulaiman bin Nasir berkata: hadith ini menjadi dalil bahawa kubur terkadang menjadi cahaya bagi pemiliknya, dan terkadang menjadi satu kegelapan. (Lihat Syarh Kitab al-Jana’iz min al-Bulugh, hlm. 11)

Syeikh Khalid al-Muslih menyatakan di dalam kitabnya Syarah al-Tahawiyah : Hadith ini membahagikan manusia di dalam kubur kepada mendapat nikmat dan yang mendapat azab. Kubur merupakan tempat dikebumikan orang mati. Taman atau al-Raudhah pula berdasarkan bahasa arab adalah tempat banyaknya air, tempat yang cantik dan luas. Maka tempat yang lapang, luas yang banyak airnya dan dihadiri ramai di dinamakan al-Raudhah di dalam istilah bahasa arab. Kubur pula merupakan salah satu tempat tinggal daripada tempat-tempat hari akhirat, dan ianya merupakan tempat yang nikmat yang benar dan ianyat merupakan taman dari taman-taman syurga. Hal ini kerana apabila matinya manusia dan dikebumikan, maka dia akan melihat tempatnya di syurga sekiranya dia daripada ahli syurga. Dia juga akan melihat tempatnya di neraka sekiranya dia daripada ahli neraka.

Justeru, Kubur adalah  tempat nikmat yang dijanjikan untuk ahli iman, kerana ianya menunjukkan tempatnya di syurga dan bukan bermakna syurga itu berada di kubur, tetapi ianya menunjukkan bahawa pada syurga itu terdapatnya kenikmatan. Kemudian ruh ini tidak semestinya berada di dalam jasad, tetapi ianya berada di syurga sekiranya ianya adalah ruh orang yang beriman. (Lihat Syarh al-Tahawiyah, 18/5)

Semoga Allah menjauhkan kita daripada azab kubur, serta memudahkan kita dalam menjawab soalan daripada dua Malaikat, iaitu Munkar dan Nakir dan diberikan nikmat kubur sehingga membawa kita ke syurga. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

Maksudnya:Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dajjal dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah hidup dan mati.”