Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 83 daripada Surah al-Nisa’?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”
(Surah al-Nisa’: 83)
Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat, ‘وَلَوْ رَدُّوهُ’ (Dan kalau mereka menyerahkannya), yakni segala maklumat yang mereka perolehi daripada musuh dan umat Islam kepada Rasulullah SAW dan kepada Ulil Amri, yakni pemimpin mereka dan kemudian mereka mengambil sikap berdiam diri serta tidak menyebarkan maklumat yang datang kepada mereka, sehinggalah Rasulullah SAW dan ulil amri yang menyampaikan berita tersebut, setelah ditetapkan di sisi mereka sama ada kebenaran atau kedustaan berita tersebut, dan jika benar, mereka membenarkannya, dan jika tidak benar, mereka menghapusnya.
Huruf ha’ dan, mim pada lafaz ‘مِنْهُمْ’ merupakan penyebutan untuk Ulil Amri. Dia berkata: “Kebenaran berita itu dapat diketahui daripada Ulil Amri iaitu orang yang telah mengetahui kebenarannya. Dan segala sesuatu yang dikeluarkan adalah sesuatu yang tersembunyi dari penglihatan mata atau hati, maka dia hanya menyimpulkannya.
Imam al-Tabari kemudian membawakan beberapa riwayat dalam mentafsirkan ayat di atas, antaranya:
- Al-Suddi berkata: ‘وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الأَمْرِ مِنْهُمْ’ : Yakni sekiranya mereka diam dan mengembalikan perbicaraan itu kepada Nabi dan Ulil Amri mereka, sehingga dia (Nabi atau Ulil Amri) yang menyatakan kebenaran maklumat tersebut. ‘لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ’ : Maksudnya adalah tentang berita, dan mereka adalah orang-orang yang menyelidiki kebenaran berita tersebut.
- Qatadah berkata: ‘وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الأَمْرِ مِنْهُمْ’ : Maksudnya adalah ulama mereka, ‘لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ’ : Maksudnya adalah, orang-orang yang ingin mengetahui, pasti menyelidiki kebenaran berita tersebut dan perhatian terhadap hal itu.
- Ibn Juraij berkata: Berkenaan ayat, ‘وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ’ (Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul), sehingga Rasul yang menyampaikan maklumat itu kepada mereka. ‘وَإِلَى أُولِي الأَمْرِ مِنْهُمْ’ (Dan Ulil Amri di kalangan mereka) yakni yang faham dan mengerti tentang agama dan akal (logik).
- Abu al-‘Aliyah berkata: ‘وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الأَمْرِ مِنْهُمْ’ : Katanya iaitu ilmu. ‘لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ’ : Yakni mereka yang berusaha menyelidiki kebenaran dengan sangat teliti dan berusaha mendapatkan maklumat secara terperinci.
- Mujahid berkata: ‘لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ’ : Yakni orang-orang menanyakan hal itu dan berusaha mendapatkan maklumat hal itu secara terperinci.
- Mujahid berkata: ‘يَسْتَنْبِطُونَهُ’: Maksudnya adalah perkataan mereka, ‘Bagaimana ini boleh terjadi? Apa yang kamu dengar?
- Abu al-‘Aliyah: ‘الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ’: Yakni mereka yang berusaha mendapatkan maklumat secara terperinci.
- Ibn ‘Abbas berkata: ‘لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ’ : Yakni mereka yang berusaha mendapatkan maklumat secara terperinci daripada sumbernya.
- Al-Dahhak berkata: ‘يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ’ : Yakni pastilah orang-orang yang ingin mengetahui kebenaran maklumat itu akan terus mengikuti perkembangan dan menelitinya.
- Ibn Zaid berkata: ‘وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ’ sehingga ayat ‘وَإِلَى أُولِي الأَمْرِ مِنْهُمْ’, katanya: Yakni para pemimpin yang menguasai medan pertempuran berfikir, lalu melihat maklumat yang datang kepada mereka benar atau salah? Apabila salah, mereka menghapuskannya, dan jika benar, mereka membenarkannya. Ini terjadi dalam medan pertempuran.
Ibn Kathir berkata: Makna firman-Nya ‘يَسْتَنبِطُونَهُ’, iaitu mereka mengeluarkannya daripada sumber-sumbernya. Dalam bahasa Arab, dikatakan: ‘اسْتَنْبَطَ الرَّجُلُ الْعَيْنَ’ (Seseorang mengistinbatkan mata air), apabila dia menggali dan mengeluarkannya daripada dasarnya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/366)
Syeikh Solah al-Khalidi dalam Tafsir Ibn Kathir: Tahzib wa Tartib berkata: lni adalah sebuah ajakan untuk memastikan kebenaran suatu berita dan mengembalikannya kepada Rasulullah SAW dan Ulil Amri. Tujuannya agar mereka dapat mengetahui kebenarannya.
Al-Syaukani berkata: Firman-Nya: ‘وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ’, maksudnya adalah, para ahli ilmu dan cerdik pandai/cendekiawan yang menjadi rujukan mereka, atau para pemimpin mereka.
Firman-Nya: ‘لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ’, maksudnya adalah, mereka dapat menyimpulkan dengan pengamatan dan ketajaman akal mereka. Ertinya, kalau mereka tidak menyiarkan berita-berita itu dan menunggu hingga Nabi SAW yang menyampaikannya, atau Ulil Amri di antara mereka yang menyampaikannya, kerana mereka lebih mengetahui mana yang layak untuk disiarkan dan mana yang tidak.
Al-Istinbath (الِاسْتِنْبَاطُ) diambil daripada ‘اسْتَنْبَطْتُ الْمَاءَ’ (Aku mengeluarkan air). Al-Nabth (النَّبَطُ) adalah air yang keluar, iaitu air telaga yang pertama kali keluar ketika menggalinya. (Lihat Fath al-Qadir, 1/567)
Al-Qurtubi berkata: Firman Allah SWT: ‘وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ’, maksudnya tidak menceritakan dan menyebarkannya sehinggalah Nabi SAW sendiri yang menceritakan dan menyebarkannya ataupun Ulil Amri mereka iaitu: Para ulama dan ahli fiqh. Pendapat ini berasal dari al-Hasan, Qatadah dan selainnya. Al-Suddi dan Ibn Zaid berpendapat, ulil amri adalah: Pemimpin-pemimpin mereka. Pendapat lain menyebutkan: Para pemimpin pasukan.
Firman Allah SWT: ‘لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ’, mereka meminta berita itu disebarluaskan atau agar mereka mengetahui apa yang patut disebarkan dari berita tersebut dan apa yang patut disembunyikan.
Perkataan ‘الِاسْتِنْبَاطُ’ berasal daripada perkataan ‘اسْتَنْبَطْتُ الْمَاءَ’ ertinya mengeluarkan airnya. Al-Nabth (النَّبَطُ) bermaksud air yang terpancar atau air yang pertama kali keluar dari dasar telaga ketika digali. Ia disebut ‘النَّبَطُ’ air yang terpancar kerana mereka mengeluarkannya dari dalam tanah, sedangkan ‘الِاسْتِنْبَاطُ’ pada bahasa ialah ‘الِاسْتِخْرَاجُ’ (mengeluarkan). Dan ini berkaitan dengan ijtihad tatkala tidak terdapat lagi nas dan ijma’ sebagaimana yang telah kami jelaskan sebelumnya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/291)
Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Maksud ‘يَسْتَنبِطُونَهُ’ adalah hasil pemikiran, keputusan hukum atau penyelesaian yang dikemukakan oleh orang alim. Ayat ini adalah menolak sikap orang yang terburu-buru dalam mengambil langkah sebelum meneliti dan mempertimbangkannya terlebih dahulu. Sikap seperti ini menyebabkan orang tersebut mudah menyebarkan berita dan isu-isu yang sebenarnya tidak benar kepada kalangan orang ramai.
Maksud ayat di atas adalah berita tentang keamanan atau berita tentang keadaan gawat yang berasal dari sumber yang tidak pasti kadang sampai ke telinga orang-orang munafik atau orang-orang yang lemah imannya yang tidak mempunyai pengalaman dalam masalah yang berkaitan dengan kepentingan umum, kemudian mereka cepat-cepat menyebarkan berita itu kepada orang ramai padahal sikap seperti ini adalah sikap yang dapat membahayakan kemaslahatan umum.
Oleh sebab itu, masalah-masalah yang berhubungan dengan kepentingan umum hendaklah diserahkan kepada pimpinan kaum Muslimin iaitu Rasulullah SAW, atau kepada Ulil Amri iaitu orang-orang yang memiliki kekuasaan, yang bertugas menetapkan dan membatalkan keputusan (ahl al-halli wal ‘aqd) atau kepada anggota majlis syura. Mereka adalah orang-orang yang lebih mengetahui permasalahan tersebut dan lebih pandai dalam menyaring berita-berita yang benar. Dalam menyampaikan berita mereka juga mempertimbangkan apa yang perlu mereka lakukan, dan mereka juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang taktik dan strategi perang.
Adapun menceritakan semua pembicaraan yang pernah kita dengar atau mengkhabarkan berita dengan tanpa menelitinya terlebih dahulu dapat membahayakan negara. Oleh sebab itu, semua negara moden selalu mengawasi dan mengendalikan berita-berita yang disiarkan oleh majalah, radio, televisyen dan selainnya, supaya keadaan tidak menjadi kacau bilau dan supaya orang tidak bingung. Pengawasan berita ini perlu dilakukan baik dalam keadaan aman mahupun dalam keadaan perang.
Beliau turut berkata: Ahli ilmu, orang-orang yang berpengalaman dan para pemimpin adalah orang-orang yang paling berhak berbicara masalah yang menyangkut dengan kepentingan umum, mereka juga termasuk ahli ijtihad dalam masalah agama. (Lihat Tafsir al-Munir, 5/176)
Sayyid Qutb berkata:Gambaran yang dilukiskan oleh ayat ini ialah gambaran satu kumpulan dalam barisan Islam yang belum lagi biasa hidup dengan peraturan dan disiplin dan belum lagi memahami kesan-kesan penyebaran khabar angin yang boleh merosakkan keutuhan barisan dengan akibat-akibatnya yang buruk. Kadang-kadang ia boleh membawa akibat yang menghancurkan masyarakat.
Hal ini disebabkan kerana mereka belum lagi sampai ke tahap memahami peristiwa-peristiwa dan keseriusan keadaan, sedangkan sepatah kata yang terhambur sambil lewa atau terlanjur dari lidah itu boleh membawa padah kepada orang yang mengeluarkan perkataan itu sendiri dan kepada seluruh ahli kelompoknya, iaitu suatu akibat yang tidak terlintas di dalam hatinya dan tidak dapat diselamatkan lagi setelah ia berlaku atau boleh jadi kerana mereka belum lagi mempunyai perasaan kesetiaan yang hakiki kepada barisan Muslimin dan kerana itulah mereka tidak mengambil pusing tentang apa sahaja akibat yang akan menimpa barisan Muslimin dari perbuatan mereka memungut khabar angin dan menghebohkannya di sana sini sama ada khabar angin mengenai keamanan atau khabar angin yang boleh menimbulkan ketakutan dan kecemasan.
Kedua-dua jenis khabar angin itu boleh membawa akibat yang buruk dan menghancurkan masyarakat. Perbuatan menyebarkan berita keamanan – misalnya – dalam barisan Muslimin yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi pergerakan musuh boleh menimbulkan satu keadaan kendur semangat dan lemah kewaspadaan biarpun bagaimana tegas perintah-perintah yang dikeluarkan kepada mereka supaya berjaga-jaga dan berwaspada kerana kewaspadaan yang terbit dari langkah-langkah bersedia untuk menghadapi bahaya itu tidak sama dengan kewaspadaan yang lahir dari semata-mata menta’ati perintah.
Kekenduran semangat dan kelemahan kewaspadaan itu boleh mendatangkan padah yang membinasakan sesuatu khemah tentera, begitu juga perbuatan menyebarkan khabar-khabar angin yang menakutkan di dalam sesuatu khemah tentera yang yakin kepada kekuatannya dan berani itu boleh menimbulkan keadaan kelam-kabut yang merosakkan keutuhannya dan mencetuskan harakat-harakat yang tidak perlu untuk menghadapi ketakutan-ketakutan yang masih dalam tekaan dan dugaan, dan keadaan yang seperti itu juga boleh membawa akibat yang membinasakan khemah tentera Itu.
Walau bagaimanapun, itulah sifat sesuatu khemah tentera yang belum lagi mempunyai peraturan dan disiplin yang sempurna atau belum lagi mempunyai kesetiaan dan kepatuhan yang tidak berbelah-bahagi kepada pucuk pimpinannya atau kedua-dua sekali. Dan nampaknya kedua-dua sifat ini memang wujud di dalam masyarakat Islam pada masa itu, yang terdiri dari berbagai-bagai kumpulan yang mempunyai tahap-tahap kefahaman yang berbeza-beza dan tahap-tahap kesetiaan yang berlain-lainan. Kelemahan inilah yang mahu diubati oleh Al-Qur’an dengan sistem Rabbaninya.
Justeru al-Quran mengemukakan satu cara yang betul (dalam menghadapi khabar khabar angin) kepada kelompok Muslimin itu: ‘وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ’
Maksudnya jika mereka merujukkan segala berita ketakutan atau keamanan yang sampai kepada mereka kepada Rasulullah SAW andainya Baginda ada bersama mereka atau kepada ketua-ketua mereka tentulah hakikat berita itu dapat diketahui oleh orang-orang yang arif mengolahkannya dari celah-celah berbagai-bagai berita yang bertentangan dan berbagai-bagai keadaan dan latar belakang.
Oleh itu tugas seorang perajurit yang baik di dalam angkatan tentera Islam yang dipimpin oleh seorang panglima yang beriman – mengikut syarat dan batas keimanan yang sebenar itu – apabila menerima sesuatu berita ialah menyampaikan berita itu dengan segera kepada nabi mereka atau kepada ketua mereka bukannya terus bertindak menyebarkannya kepada rakan-rakan sejawatnya atau di kalangan orang-orang yang tidak berkepentingan, kerana pucuk pimpinannya yang beriman itulah pihak yang berwibawa dalam mempastikan hakikat yang sebenar dari berita-berita itu di samping berwibawa menentukan kemuslihatan sama ada sesuatu berita itu patut dihebohkan kepada orang ramai atau tidak walaupun setelah dipastikan kebenarannya.
Demikianlah cara al-Quran mendidik kelompok Muslimin. la menanam kepercayaan dan kesetiaan kepada pucuk pimpinan yang beriman dan mengajar peraturan dan disiplin tentera di dalam serangkai ayat sahaja, malah dalam sebahagian dari serangkai ayat sahaja, kerana permulaan ayat melukiskan satu gambaran yang keji tentera-tentera yang menghebohkan berita-berita keamanan dan ketakutan yang dipungutnya di sana sini tanpa memeriksa dan mempastikan kebenarannya dan tanpa merujukkannya kepada pucuk pimpinannya, sementara ayat tengah pula menyampaikan pengajaran itu dan ayat yang akhirnya mengikatkan hati mereka dengan Allah dalam menghadapi persoalan khabar ini di samping mengingatkan mereka terhadap limpah kurnia-Nya serta mendorong mereka supaya mensyukuri pengurniaan itu dan seterusnya memberi amaran supaya jangan mengikut syaitan yang sentiasa menunggu peluang untuk menyesatkan mereka dan ia cukup berkebolehan untuk merosakkan hati mereka andainya tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/177)
Buya Hamka berkata: Setengah dari perangai “orang ramai” ialah suka sekali membicarakan soal-soal kenegaraan dan mengambil kesimpulan sendiri. Bukan kerana adanya rasa tanggungjawab, melainkan kadang-kadang hanya untuk menunjukkan bahawa “mereka pun tahu”. Di sinilah pangkal “bisik-desus” yang tidak berujung berpangkal, sehingga khabar yang sehasta jadi sedepa.
Dan bagaimanapun teraturnya jalan pemerintahan, namun golongan yang tidak puas mesti ada. Walaupun yang mereka rasakan tidak puas itu ialah memikul kewajiban mesti mereka pikul kalau mereka hendak bernegara dan bermasyarakat. Misalnya tentang berperang. Kalau musuh telah mengancam, negara mesti siap perang, bahkan mesti perang. Orang-orang yang jiwanya “terbelakang” memandang perang itu mengusik kesenangan mereka. Mereka ini pun mengeluh, lama-lama berbisik-bisik mencari teman yang sama-sama tidak puas. Di sinilah sebabnya maka banyak soal-soal negara yang penting menjadi buah-bisik golongan yang tidak puas. Ini ada di mana-mana, baik dahulu ataupun sekarang. Dan inipun ada di zaman Nabi.
Firman Allah SWT: ‘وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ’ (“Padahal kalau mereka kembalikan dia kepada Rasul dan kepada orang-orang yang berkuasa daripada mereka, nescaya diketahuilah akan hal itu oleh orang yang menyelidikinya dari mereka.”) Tegasnya kalau diterima khabar-khabar seperti itu, baik yang membawa keamanan atau yang membawa kecemasan, hendaklah segera kembalikan kepada Rasul sebagai pimpinan tertinggi dan kepada pemegang pekerjaan, Ulil-Amri, iaitu sahabat-sahabat Nabi yang utama yang berada di sekeliling Baginda.
Ertinya, segera laporkan. Jangan dibawa dahulu ke pasar untuk disiar-siarkan dengan tidak bertanggungjawab. Maka di antara penguasa-penguasa tadi, yang semuanya adalah dari diri kamu sendiri, atau pemimpinmu, ada kelak yang akan menilai perkhabaran itu tentang benar atau tidaknya. Atau hanya semata-mata bisik-desus yang tidak berhujung pangkal yang bisa saja menimbulkan kacau, membawa perpecahan atau melemahkan semangat, atau memecah-belah penduduk kota yang sedang bertahan. Dalam kata sekarang, khabar itu akan disemak kebenarannya! (Lihat Tafsir al-Azhar, 2/1326)