#5326: Hukum Wadh’ie

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah takrif hukum wadh’ie dan pembahagiannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terlebih dahulu, kami terangkan bahawa hukum terbahagi kepada dua, iaitu:

  • Hukum Taklifi
  • Hukum Wadh‘i

Hukum Wadh’ie ialah hukum yang meletakkan sebab atau syarat bagi sesuatu untuk mengharuskannya atau melarangnya dan ia merupakan sebab bagi musabbab. Hukum wadh‘i mempunyai lima cabangnya yakni sebab, syarat, mani‘, sah dan batal.

Secara ringkasnya, ia boleh dijelaskan seperti berikut:

  • Sebab

Menurut jumhur ahli usul “sebab” ialah sesuatu yang ada hukum di sisinya. Walau bagaimanapun, hukum tersebut bukan dihasilkan oleh “sebab” tetapi ada perkara lain yang sesuai (munasabah) bagi hukum ataupun tidak sesuai. Sebagai contoh, sebab yang sesuai dengan hukum ialah mabuk (iskar). Mabuk menjadi sebab kepada pengharaman arak, hal ini kerana ia membawa kepada hilangnya akal.

  • Syarat

Suatu perkara yang diperlukan kewujudannya untuk sesuatu perkara yang lain dan ia tidak termasuk daripada sebahagian sesuatu yang lain itu. Sebagai contoh wuduk, masuk waktu solat dan menghadap kiblat; semuanya itu adalah syarat untuk solat sedangkan ia adalah di luar daripada solat itu sendiri. Begitu juga dalam isu kehadiran saksi perkahwinan. Kehadiran dua orang saksi dalam akad perkahwinan adalah menjadi salah satu syarat sah perkahwinan tersebut, sedangkan ia adalah di luar perkahwinan itu sendiri.

  • Mani‘.

Sesuatu perkara yang menegah seseorang itu dari melakukan sesuatu perbuatan dan jika perkara yang menegahkan itu ada, tidak boleh dilakukan sesuatu perbuatan itu atau dengan lebih ringkas wujudnya sesuatu menyebabkan ketiadaan hukum. Contohnya ialah isu hutang dalam bab zakat dan tiada qisas pada bapa.

  • Sah

Ia merupakan sesuatu perbuatan yang cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya mengikut perhitungan atau ketetapan syarak sama ada, dalam aspek peribadatan atau akad munakahat dan muamalat. Sah ibadah menurut ahli fiqh ialah berlakunya ibadah itu dengan cara menggugurkan tuntutan syarak yang tidak perlu diqadha’kan. Sebagai contoh, mengerjakan solat dengan berwuduk beserta dengan aturan-aturannya yang tertentu dan dikerjakan di dalam waktunya akan menggugurkan tuntutan qadha’ — ke atasnya.

  • Batal atau fasad.

Sesuatu perbuatan yang merupakan ibadat atau akad yang tidak memenuhi dari segi hukum syarak atau sesuatu perbuatan yang tidak cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya mengikut perhitungan atau ketetapan syarak sama ada di dalam hal ibadat atau akad munakahat dan muamalat. Contoh ibadat yang terbatal adalah seperti mengerjakan solat tanpa wuduk atau tidak mengikut ketetapan yang telah ditentukan.  (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/67-72)

Satu kaedah masyhur menyebut:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالْأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالْمَصَالِحِ.

Maksudnya: “Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.” (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 624)[1]

Ertinya, tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ianya sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu. (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 32)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota kaki:

[1]  Dengan lafaz lain, menyebut: ‘أن أحكام الشارع معللة بالمصالح ، مرتبطة بالأسباب ’