Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami, apakah maksud Qiyas dalam ilmu usul fiqh?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ
Maksudnya: “Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.”
(Surah al-Hasyr: 2)
I’tibar dalam konteks ayat ini membawa maksud qiyas dan ijtihad, dan ia hanya layak bagi golongan ulil absar, iaitu mereka yang cerdas akalnya, dan Nabi SAW merupakan manusia yang paling cerdas akalnya dan paling meliputi kelayakan untuk berijtihad. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami 2/1084-1086)
Dari sudut bahasa, qiyas adalah mengukur sesuatu dengan sesuatu yang lain, yang boleh menyamainya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, al-Zuhaili, 1/571). Sebagai contoh, mengukur sesuatu kain atau pakaian dengan berdasarkan ukuran meter.
Dari sudut istilah, para ahli usul telah memberi pelbagai pendapat dan takrifan berkenaan dengan definisi qiyas. Antaranya:
- Menyamakan hukum cabang (far‘) dengan hukum asal (asl) kerana wujudnya ‘illah Ini seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn al-Hajib al-Maliki. (Lihat Bayan al-Mukhtasar Syarh Mukhtasar Ibn al-Hajib, 3/5).
- Mengembalikan perkara cabang (far‘) kepada asal (asl) kerana wujudnya ‘illah yang menghimpunkan keduanya dalam suatu hukum, yang merangkumi al-qiyas al-‘illah, al-qiyas al-dalalah dan al-qiyas al-syibih. (Lihat Matn al-Waraqat, hlm. 16).
- Menghubungkan satu-satu perkara yang tiada nas pada hukumnya mengikut syarak dengan perkara yang dinaskan hukumnya kerana bersamaan kedua-duanya pada ‘illah (Lihat Syarah al-Waraqat Fi al-Usul, 197-198)
- Menetapkan sesuatu hukum yang tiada nas di dalam al-Quran dan hadith dengan cara membandingkan dengan sesuatu nas yang lain, yang telah ditetapkan hukumnya berdasarkan persamaan ‘illah. (Lihat Usul al-Fiqh oleh Muhammad Abu Zahrah, hlm. 218).
- Menyamakan hukum suatu kejadian yang tidak ada nasnya kepada hukum kejadian lain yang ada nasnya, disebabkan wujudnya persamaan antara dua kejadian tersebut pada ‘illah atau sebab hukumnya. (Lihat Usul al-Fiqh oleh Muhammad Khudari Bik, hlm. 289)
Sebagai contoh, masalah meminum khamr (arak) merupakan satu perbuatan yang hukumnya telah ditetapkan oleh nas. Hukumnya adalah haram berdasarkan ayat 90 surah al-Ma’idah[1] dengan ‘illah hukumnya adalah memabukkan. Inilah seperti mana dinyatakan oleh ijma‘ ulama. Oleh itu, setiap minuman yang terdapat ‘illah memabukkan, hukumnya sama dengan khamr dan haram meminumnya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota kaki:
[1] Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah: 90)