#5328: Maksud Dalalah Qat’iyyah dan Zanniyyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami, apa maksud dalalah qat’iyyah dan zanniyyah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

 Antara yang perlu diperhatikan semasa proses istinbat hukum ini adalah, ia hendaklah dilakukan dengan melihat kekuatan hukum, iaitu:

  • Hendaklah mengikut tertib-tertibnya.
  • Hukum yang disepakati hendaklah didahulukan daripada yang khilaf.

Selain itu, perlu juga memahami bahawa setiap nas mempunyai dalalahnya sama ada ia Dalalah Qat‘iyyah atau Dalalah Zanniyyah. Secara ringkas, dalalah ini boleh dijelaskan seperti berikut:

Pertama: Dalalah Qat‘iyyah (دَلَالَة قَطْعِيَّة)

Menurut al-Syatibi, dalil qat‘i adalah suatu dalil yang mana asal-usulnya (al-wurud), menunjukkan kepada makna (al-dalalah) atau kekuatan hujah maknanya itu sendiri (al-hujjiyah)  yang bersifat pasti dan meyakinkan. Sebagai contoh, firman Allah SWT:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ

Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.”

(Surah an-Nur: 2)

Dalam ayat di atas, perkataan “seratus kali” tidak mengandungi kemungkinan takwil atau membawa erti lain. Maka, jelaslah bahawa ayat ini bersifat qat‘i al-dalalah yang bermaksud had zina itu seratus kali sebatan, tidak boleh lebih dan kurang.

Kedua: Dalalah Zanniyyah  (دَلَالَة ظَنِّيَّة)

Zanni al-Dalalah adalah suatu dalil yang asal-usulnya (al-wurud), menunjukkan kepada maknanya (al-dalalah), atau kekuatan hujah maknanya itu sendiri (al-hujjiyah) dikira kuat sebagai benar, seperti keputusan hakim yang berdasarkan atas keterangan para saksi yang mana tidak mustahil bagi mereka melakukan kekeliruan. Maksudnya, zanni al-dalalah adalah yang masih mengandungi dua atau lebih kemungkinan dan ia berlawanan dengan dalalah qat‘i. (Lihat al-Muwafaqat fi Usul al-Ahkam, 1/14).

Sebagai contoh, firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”[1]

(Surah al-Baqarah:228)

Ayat ini adalah bersifat zhanni. Hal ini kerana lafaz ‘ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ’ (tiga kali quru) tersebut membawa dua maksud yang berbeza. Pandangan pertama mengatakan quru’ di situ bermaksud haid, manakala pandangan kedua mengatakan quru’ di sini membawa maksud suci.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Nota kaki:

[1] Imam al-Baghawi berkata: “Sekumpulan ulama berpendapat bahawa maksud (quru’) ialah waktu-waktu suci. Inilah pendapat Zaid bin Thabit, Abdullah bin Umar, Aisyah, dan ini juga merupakan pendapat fuqaha yang tujuh dan al-Zuhri, dan juga pendapat Rabi`ah, Imam Malik dan Imam al-Syafi‘i.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/266)