#5238: Dharurat Mengharuskan Perkara yang Ditegah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah darurat mengharuskan perkara yang ditegah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kaedah menyebut:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Dharurat (keadaan terpaksa) membolehkan perkara yang dilarang.”(Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 94 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84)

Tidak dibolehkan untuk mengatakan paksaan membolehkan seseorang itu membunuh seorang muslim disebabkan kaedah menyebut “الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ”. Ini kerana kaedah ini tidak boleh digunakan secara mutlak kerana ia tidak terpakai dalam beberapa perkara khususnya pada perkara yang melibatkan pembunuhan dan zina. (Lihat Fatawa Yasalunaka, 7/317 )

Al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam berkata: “Seandainya seseorang terdesak untuk makan barang najis, maka dia mesti memakannya kerana kerosakan jiwa dan anggota badan lebih besar (mudharatnya) berbanding kerosakan memakan barang najis. (Lihat Qawa‘id al-Ahkam, hlm. 141).

Dalam erti kata lain, tidak semua dharurat mengharuskan semua pengharaman, bahkan yang haram tersebut tetap kekal haram jika ia lebih besar daripada keadaan dharurat itu. Di sana para ulama ada menggariskan beberapa syarat pelaksanaan konsep dharurat. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّهِ ۖ فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Al-Syaukani berkata: ‘فَمَنِ ٱضْطُرَّ’, yakni yang berada dalam keadaan yang mengharuskannya untuk memakan makanan-makanan haram ini disebabkan kelaparan atau tidak mempunyai sesuatu untuk mereka makan, atau kerana dipaksa dan takut ditimpa bahaya daripada paksaan itu. (Lihat Fath al-Qadir, 1/442)

Begitu juga firman Allah SWT:

فَمَنِ ٱضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍۢ لِّإِثْمٍۢ ۙ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Sesiapa yang berada dalam keadaan kelaparan sehingga memaksa dirinya untuk memakan sesuatu daripada keharaman-keharaman yang telah disebutkan, sedangkan dirinya sebenarnya tidak condong kepada dosa, iaitu sama sekali tidak berhasrat kepada sesuatu yang haram, dan tidak pula tertarik untuk menikmati sesuatu yang membawa dosa, maka dibolehkan baginya memakan sesuatu daripada keharaman-keharaman tersebut sekadar untuk menolak kemudharatan dan disesuaikan dengan kadar darurat yang ada. Bukan untuk menikmatinya dan tidak pula melampaui batas-batas ukuran yang diperlukan untuk mempertahankan hidup. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/407)

Akan tetapi, apakah kayu ukur yang menentukan bahawa perkara itu adalah suatu dharurat? Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Wasit fi Usul Fiqh al-Islami (hlm. 115) berkata, terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Islam dalam meletakkan sempadan daerah dharurat itu sendiri. Jika menepati kriteria ini barulah terpakai kaedah syara‘ seperti dharurat mengharuskan perkara yang dilarang:

  • Dharurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu berdasarkan andaian, andaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.
  • Orang yang berada dalam keadaan dharurat itu tidak ada jalan yang lain dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudharatan itu. Contohnya seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang, maka ia mesti memilih pinjaman tanpa riba kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba.
  • Orang yang dalam keadaan dharurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip-prinsip asasi syariat Islamiah dan usul akidah Islamiyyah seperti tidak halalnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan). Ini bererti jika dalam melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudharat yang lebih ringan dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.
  • Ketika melepaskan keadaan dharuratnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan dharurat diukur dengan tingkatannya.
  • Dalam isu terpaksa memakan ubat dari sumber yang haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil.
  • Dalam pemerintahan negara, pemimpin perlu memastikan kepentingan awam dan negara didahulukan walaupun kadang-kala terpaksa mengambil jalan yang terlarang. Apabila jalan yang halal tiada atau kurang berkesan dalam menjaga kepentingan negaranya seperti pandangan beberapa orang ulama yang berpandangan bahawa harus membayar hutang negara kepada badan-badan dunia atau negara-negara kuasa besar bersama dengan faedah pinjaman sekalipun pada asasnya riba itu haram kerana menjaga kepentingan negara daripada terjual atau tergadai kepada kuasa asing.

Berdasarkan pendapat ulama di atas, jelaslah kepada kita apabila keadaan dharurat itu sebegitu genting, seperti nyawa diancam untuk dibunuh, maka ketika itu diharuskan untuk melakukan perbuatan yang sebelumnya dilarang oleh syarak.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”