#5240: Menjawab Isu Musibah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Tuhan Maha Pengasih tetapi menurunkan musibah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

(Surah al-Mulk: 2)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau membawakan satu riwayat daripada jalur Ma‘mar, daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالْمَوْتِ، وَجَعَلَ الدُّنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ، وَجَعَلَ الْآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang kekal.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)

Ada orang berkata: “Wanita dirogol setiap hari, anak-anak kecil mati kerana kanser, pembunuhan dan peperangan di mana-mana. Kita baru dilanda banjir. Mengapa Tuhan tidak bertindak? Justeru, Dia tidak wujud atau tidak berperanan sebagai Tuhan yang sebenar!”

Hal ini seringkali dilontarkan oleh kelompok ateis dan agnostik untuk menjejaskan konsep keimanan kepada Tuhan. Bagi yang membuat pengkajian yang teliti, sebenarnya sudah terlalu banyak tokoh-tokoh sarjana Muslim yang sudah menjawab persoalan-persoalan sebegini seperti Imam al-Taftazani, Imam al-Baqillani, Imam al-Ghazali dan lain-lain.

Pertama: Menurut al-Qur’an, antara nama Allah SWT adalah al-Qadir (Maha Berkuasa), al-Muntaqim (Maha Membalas) dan juga al-Rahman (Maha Pengasih). Pun begitu, ateis telah menyalahtafsirkan konsep ketuhanan yang komprehensif. Allah SWT bukan hanya bersifat Maha Pengasih. Hakikatnya, Dia mempunyai banyak nama-nama yang perlu difahami secara menyeluruh dan saling berkaitan.

Sebagai contoh, nama-Nya al-Hakim (Maha Bijaksana). Perbuatan-Nya adalah selari dengan kebijaksanaan-Nya. Itulah yang dinamakan hikmah. Justeru, apa jua yang terjadi, ada sesuatu yang tersirat dan pastinya baik buat kita. Malangnya, ateis dan agnostik membuatkan seolah-olah Allah itu tidak berperanan dalam tugas-Nya dan akhirnya membawa kepada penafian kewujudan Allah.

Jika Allah SWT hanya bersifat dengan sebahagian sifat-sifat-Nya dan meninggalkan sifat-sifat yang lain, maka hilang kesempurnaan-Nya. Begitu juga jika Dia hanya bersifat dengan sifat yang dikehendaki hamba-hamba-Nya, maka hilanglah fungsi-Nya sebagai Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kedua: Imam al-Ghazali dalam al-Maqsad al-Asna fi Sharh al-Asma’ al-Husna menyatakan bahawa tidak ada kejahatan dalam kewujudan yang tidak ada langsung kebaikan padanya. Bahkan, jika kejahatan itu dibuang, kebaikan akan hilang dan boleh jadi kerosakan yang lebih besar akan terjadi.

Beliau memberi contoh pemotongan anggota badan. Ianya adalah satu kerosakan bagi tubuh badan tetapi, ianya jua adalah kebaikan sekiranya ia dilakukan untuk memelihara kesihatan atau nyawa. Sekiranya tangan seseorang perlu dipotong tetapi ianya dibiarkan, mungkin seluruh tubuh akan menerima padahnya. (Lihat al-Maqsad al-Asna, hlm. 65)

Pun begitu, pemotongan cuma wasilah untuk mencapai kesihatan. Apa yang menduduki tempat yang terutama adalah menjaga kesihatan. Menjaga kesihatan tubuh adalah tujuan utama manakala pemotongan tersebut cuma wasilah bagi mendapat kesihatan yang lebih baik.

Ketiga: Gejala menyalahkan Allah SWT ini antaranya berpunca daripada sikap segelintir manusia yang cuba untuk lari daripada tanggungjawab dan peranannya sebagai khalifah di muka bumi. Jika diteliti, hampir kesemua ujian, kesengsaraan, kezaliman yang dilihat itu adalah hasil daripada perbuatan manusia sendiri. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

                                                                                                                           (Surah al-Rum: 41)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT juga akan membinasakan sesiapa sahaja yang menimbulkan kerosakan di muka bumi ini. Lantaran itu, perkara ini hendaklah menjadi pengajaran kepada mereka, semoga mereka dapat mengingati semula dan kembali ke jalan kebenaran. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5335)

Sayyid Qutb berkata: “Kerosakan-kerosakan yang berlaku di darat itu bukannya berlaku begitu sahaja atau berlaku secara kebetulan, malah ia berlaku mengikut aturan Allah SWT iaitu: “لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ” Maksudnya: “Kerana Allah mahu mereka merasakan setengah-setengah akibat daripada perbuatan yang dilakukan mereka.”

Iaitu perbuatan-perbuatan mereka yang jahat dan merosakkan itu, di mana mereka merasa terseksa dan pedih menerima akibatnya “supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” Yakni supaya mereka berazam menentang kerosakan itu dan kembali kepada Allah, kepada amalan yang soleh dan ke jalan yang lurus. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 12/482-483)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas berkata, ujian dan bencana yang melanda umat manusia adalah disebabkan perbuatan manusia yang bersikap kufur, syirik, melampaui batas, melakukan maksiat, meninggalkan perintah-Nya di samping melanggar hak dan juga mengambil hak orang lain. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 21/98)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”