#5241: Jalur Imam al-Suyuti Berkenaan dengan Kisah Quraisy dan Yahudi Bertanya Rasulullah SAW Berkenaan Ashab al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendengar bahawa ustaz ada menyebut Imam Suyuti meriwayatkan kisah orang Quraisy bertanya Yahudi tentang Rasulullah SAW dalam kitabnya. Boleh terangkannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Suyuti meriwayatkan dalam al-Dur al-Manthur (5/357), dia berkata: Abu Nu‘aim meriwayatkan dalam al-Dala’il daripada jalur al-Suddi al-Saghir daripada al-Kalbi, daripada Abu Soleh, daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَن قُريْشًا بَعثوا خَمْسَة رَهْط – مِنْهُم عقبَة بن أبي معيط، وَالنضْر بن الْحَارِث – يسْأَلُون الْيَهُود عَن رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم ووصفوا لَهُم صفته، فَقَالُوا لَهُم: نجد نَعته وَصفته ومبعثه فِي التَّوْرَاة، فَإِن كَانَ كَمَا وصفتم لنا، فَهُوَ نَبِي مُرْسل، وَأمره حق فَاتبعهُ ، وَلَكِن سلوه عَن ثَلَاث خِصَال فَإِنَّهُ يُخْبِركُمْ بخصلتين وَلَا يُخْبِركُمْ بالثالثة ان كَانَ نَبيا، فَإنَّا قد سَأَلنَا مُسَيْلمَة الْكذَّاب عَن هَؤُلَاءِ الثَّلَاث فَلم يدر مَا هِيَ. فَرَجَعت الرُّسُل إِلَى قُرَيْش بِهَذَا الْخَبَر من الْيَهُود فَأتوا رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم فَقَالُوا: يَا مُحَمَّد أخبرنَا عَن ذِي القرنين الَّذِي بلغ الْمشرق وَالْمغْرب، وَأخْبرنَا عَن الرّوح، وَأخْبرنَا عَن أَصْحَاب الْكَهْف؟ فَقَالَ: أخْبركُم بذلك غَدا، وَلم يقل إِن شَاءَ الله، فَأَبْطَأَ عَلَيْهِ جِبْرِيل خَمْسَة عشر يَوْمًا فَلم يَأْته لترك الِاسْتِثْنَاء، فشق ذَلِك على رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم، ثمَّ أَتَاهُ جِبْرِيل عَلَيْهِ السَّلَام بِمَا سَأَلُوهُ فَقَالَ: يَا جِبْرِيل أَبْطَأت عَليّ. فَقَالَ: بتركك الِاسْتِثْنَاء، أَلا تَقول: إِن شَاءَ الله قَالَ: وَلَا تقولن لشَيْء إِنِّي فَاعل ذَلِك غَدا إِلَّا أَن يَشَاء الله، ثمَّ أخبرهُ عَن حَدِيث ذِي القرنين، وَخبر الرّوح، وَأَصْحَاب الْكَهْف. ثمَّ أرسل إِلَى قُرَيْش فَأتوهُ فَأخْبرهُم عَن حَدِيث ذِي القرنين وَقَالَ لَهُم: الرّوح من أَمر رَبِّي يَقُول: من علم رَبِّي لَا علم لي بِهِ، فَلَمَّا وَافق قَول الْيَهُود أَنه لَا يُخْبِركُمْ بالثالث ( قَالُوا: سحران تظاهرا ) تعاونا – يَعْنِي التَّوْرَاة وَالْفرْقَان –  وَقَالُوا: إِنَّا بِكُل كافرون، وَحَدَّثَهُمْ بِحَدِيث أَصْحَاب الْكَهْف

Maksudnya: “Quraisy mengutus lima orang utusan, termasuk di antara mereka ialah ‘Uqbah bin Abu Mu‘ait dan al-Nadhr bin al-Harith untuk bertanya kepada orang-orang Yahudi tentang Rasulullah SAW dan mereka menggambarkan sifat-sifatnya. Lalu orang Yahudi berkata kepada mereka: ‘Kami menemukan sifat dan gambarannya serta perutusannya dalam kitab Taurat. Jika dia seperti yang kamu gambarkan kepada kami, maka dia adalah seorang nabi yang diutus, dan perintahnya adalah hak, maka ikutilah dia. Akan tetapi tanyakanlah kepada-Nya tentang tiga perkara. Sesungguhnya dia akan memberitahu kepada kamu tentang dua perkara (yang ditanyakan itu) dan tidak akan memberitahu kepada kamu tentang yang ketiga, sekiranya dia benar-benar seorang nabi. Sesungguhnya kami telah bertanya kepada Musailimah al-Kazzab tentang ketiga-tiga perkara itu, tetapi dia tidak tahu apakah ia.’ Lalu utusan-utusan itu kembali kepada Quraisy dengan membawa berita daripada orang-orang Yahudi. Mereka kemudian datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Muhammad, beritahu kepada kami tentang Zulqarnain yang sampai (mengembara) ke Timur dan Barat, beritahu juga kami tentang ruh, dan beritahu kepada kami tentang Ashab al-Kahfi?’ Maka Baginda menjawab: ‘Aku akan memberitahu kepada kamu tentang hal tersebut esok hari,’ dan Baginda tidak mengucapkan Insya-Allah. Maka, Jibril melambat-lambatkan (menangguhkan) wahyu kepadanya selama lima belas hari kerana Baginda meninggalkan penyebutan Insya-Allah. Hal itu telah menimbulkan kesukaran kepada Baginda  SAW. Kemudian Jibril A.S datang kepadanya dengan apa yang diminta, lalu Baginda SAW bersabda: ‘Wahai Jibril, kenapa engkau melambatkanku (menerima wahyu)?’ Jibril menjawab: ‘Kerana engkau meninggalkan penyebutan Insya-Allah. Sepatutnya engkau mengucapkan, Insya-Allah.’ Jibril berkata lagi (dengan menyebutkan firman Allah SWT yang bermaksud): ‘Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): Insya-Allah. (Surah al-Kahfi: 23-24).’ Kemudian, Jibril A.S mengkhabarkan kepada Baginda tentang kisah Zulqarnain, ruh, dan Ashab al-Kahfi. Setelah itu, Baginda mengirim utusan kepada Quraisy, lalu mereka datang bertemu dengan Baginda. Maka, Baginda SAW pun memberitahu kepada mereka tentang kisah Zulqarnain dan Baginda juga bersabda kepada mereka: ‘Ruh termasuk dalam urusan Tuhanku.’ (Yang dimaksudkan oleh Baginda): ‘Ia termasuk dalam ilmu Tuhanku dan aku tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.’ Ketika mana jawapan Baginda selari dengan pendapat Yahudi bahawa Baginda tidak akan memberitahu kepada mereka jawapan yang ketiga, mereka berkata: ‘Kedua-duanya itu ialah sihir yang saling membantu (yang satu menyokong yang lain) — yakni al-Furqan (al-Quran) dan Taurat.’ Dan mereka berkata pula: ‘Sesungguhnya kami kufur ingkar terhadap Kitab-kitab itu semuanya!’ Rasulullah SAW juga menyampaikan kepada mereka mengenai kisah Ashab al-Kahfi.

Jalur ini tidak dijumpai dalam Dala’il al-Nubuwwah oleh Abu Nu‘aim, dan hadith dengan jalur sanad ini terdapat kecacatan. Di dalamnya terdapat seorang perawi yang bernama al-Suddi al-Saghir, dan dia ialah Muhammad bin Marwan. Dia dituduh berdusta (muttaham bi al-Kazib). Ibn Hibban dalam al-Majruhin (2/286) menyatakan bahawa dia adalah di antara mereka yang meriwayatkan hadith-hadith palsu (maudhu‘at) daripada perawi-perawi yang kuat.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”