#5245: Simpati Terhadap Orang yang Membunuh Diri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum bersimpati terhadap orang yang membunuh diri? Adakah kita dibenarkan dan perlu berasa simpati pada orang yang melakukan dosa besar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Bunuh Diri

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, bunuh diri bermaksud seseorang yang mengambil nyawanya sendiri dengan sengaja sama ada dengan cara menembak, menikam, menggantung diri, terjun dari tempat tinggi dan seumpamanya.

Statistik Bunuh Diri di Malaysia

Menurut Majlis Keselamatan Negara, terdapat peningkatan yang mendadak dilaporkan yang mana pada jumlah kes 2020 sebanyak 631 kes, manakala pada 2021 ia telah mencecah 1142 kes. Hal ini juga dikaitkan dengan isu masalah mental, yang mana pada 18 Jun 2022, Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres menyatakan hampir 1 billion penduduk dunia mengalami masalah mental.

Perbuatan hukum membunuh diri adalah haram dan berdosa besar. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan lafaz ‘التَّهْلُكَةُ’ ini adalah termasuk setiap perkara yang membawa kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, ‘التَّهْلُكَةُ’ juga merupakan sesuatu perkara yang perlu diwaspadai dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)

Syeikh al-Sa’di pula menyebut, bahawa ‘التَّهْلُكَةُ’ merupakan perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ia termasuk dalam pelbagai perkara, antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

مَنَ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ شَرِبَ سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti, besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti, ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”

 Riwayat Muslim (109)

Al-Qadhi Iyadh meletakkan hadith ini dalam Syarah Sahih Muslim (1/56) di bawah bab “Larangan membunuh diri sendiri, sesungguhnya sesiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan sesuatu, dia akan diazab dengan perkara tersebut dalam neraka dan dia tidak akan memasuki syurga kecuali dirinya seorang Muslim.” Beliau turut menyebut bahawa orang yang membunuh diri akan memasuki neraka dalam tempoh yang panjang akan tetapi tidaklah kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Dalam hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَمَن تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِيْ نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً فِيْهَا أَبَداً

Maksudnya: “Sesiapa yang meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa di tangannya sambal meneguknya dalam neraka Jahannam, berkekalan selama-lamanya.”

Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)

Imam al-Syafi‘i telah menyebutkan, mengambil sesuatu yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian adalah haram, kerana Allah SWT mengharamkan perbuatan membunuh manusia, kemudian mengharamkan perbuatan membunuh diri sendiri secara khusus. (Lihat al-Umm, 2/270)

Sewajarnya kita sentiasa memberi nasihat kepada golongan yang berkecenderungan untuk membunuh diri dengan sebaik-baiknya. Punca utamanya sudah tentu putus asa serta hilang pedoman. Hal ini menyebabkan tindakannya dengan sangkaan jalan pintas seperti membunuh diri akan menyelesaikan masalah mereka. Ingatlah firman Allah SWT:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

Surah Yusuf (87)

Al-Tabari menjelaskan: “Yakni Allah berfirman bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 12/232)

Sayyid Qutb pula berkata: “Orang-orang beriman, yang mempunyai hati yang berhubung mesra dengan Allah dan mempunyai kelegaan dan keselesaan yang dipupuk oleh bayu rahmat Allah, mereka tidak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun mereka dikepung oleh kesusahan dan penderitaan. Hal ini kerana orang yang beriman itu sentiasa berada dalam kelegaan dan keselesaan di bawah naungan iman dan sentiasa berada dalam hubungan mesra dengan Allah. Mereka juga sentiasa tenteram disebabkan keyakinan mereka kepada Allah tatkala mereka dilanda kesusahan dan penderitaan yang mencemaskan. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/339)

Selain itu, Allah SWT turut berfirman:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Zumar (53)

Mengenai ayat ini, al-Tabari berkata: “Yakni, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Inilah seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 22/398)

Al-Syaukani pula mengatakan bahawa ayat ini menjadi ayat yang paling memberikan harapan dalam al-Quran kerana mengandungi khabar gembira paling besar. Keistimewaan ayat ini, pertamanya, kerana penyandaran hamba kepada Allah SWT sebagai bentuk penghormatan dan khabar gembira. Kemudian diterangkan bahawa sifat mereka adalah gemar melakukan dosa dan maksiat secara berlebihan, namun diikuti dengan larangan berputus asa daripada mendapatkan rahmat bagi mereka. Maka, dapat difahami bahawa larangan beputus asa ini lebih utama (min bab aula) untuk diterapkan kepada pelaku dosa yang tidak secara berlebihan, malah boleh jadi inilah maksud utama daripada ayat ini. (Lihat Fath al-Qadir, 6/295)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan setiap insan sudah pasti mempunyai sifat simpati, insaf, gerun dan sebagainya. Justeru, bersimpati terhadap mereka yang memilih cara menghembuskan nafas terakhir dengan cara yang tidak syarie adalah harus dan wajar kepada kita untuk mengambil teladan dari perbuatan sebegitu. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari perbuatan-perbuatan sebegitu. Amin.

Akhirnya, moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a’lam

Kami akhiri dengan doa:

  رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)