#5247: Tempoh Hadhanah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh dato jelaskan tentang tempoh hadhanah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Hadhanah

  • Menurut Syeikh Ali al-Jurjani, “hadhanah” ialah: “تربية الولد” (pengasuhan anak). (Lihat al-Ta`rifat, hlm. 88)
  • Dalam Raudhah al-Talibin oleh Imam al-Nawawi, “hadhanah” bererti:“Mendirikan (hak-hak) dengan menjaga orang yang tidak mumaiyiz dan tidak berdikari untuk dengan urusan diri sendiri, dan mengasuhnya dengan apa yang layak untuknya dan memeliharanya daripada apa yang menyakitinya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/98)
  • Imam al-Nawawi menyebut dalam Minhaj al-Talibin: “Penjagaan individu yang tidak dapat berdikari serta mendidik atau mengasuhnya.”
  • Al-Khatib al-Syarbini menghuraikan definisi di atas dengan kata beliau: “(Makna “hadhanah”) daripada sudut Syarak ialah [menjaga individu yang tidak dapat berdikari] daripada menguruskan diri sendiri, (dan) memeliharanya daripada setiap sesuatu yang menyakitinya lantaran ketidakmampuan jagaan itu untuk melakukan tamyiz (membezakan baik dan buruk), seperti kanak-kanak dan orang gila yang dewasa; [serta mendidik atau mengasuhnya] yakni membesarkan anak jagaan dengan apa yang sesuai dan munasabah, pada perlaksanaannya, dengan memberikan makan, minum dan seumpamnya… dan belanja untuk penjagaan itu datang dari harta anak jagaan, jika tiada baginya harta, maka tanggungjawab itu adalah ke atas individu yang menanggung nafkahnya. Ini kerana penjagaan itu adalah salah satu sebab kifayah seperti nafkah; dan oleh kerana itu bab penjagaan disebut selepas bab nafkah-nafkah.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/191)

 

Hikmah Pensyariatan Hadhanah

Hikmah pensyariatan hadhanah adalah untuk mengatur tanggungjawab berkaitan dengan penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang masih kecil.

Ini kerana kemungkinan suami isteri berpisah atau hidup tanpa persefahaman, atau berada dalam kesempitan untuk memberi perhatian dan mendidik anak kecil mereka. Jika keadaan ini dibiarkan, pertikaian mereka tidak akan selesai. Hal ini merupakan satu penganiayaan terhadap kanak-kanak dan mengabaikan kepentingan mereka.

Keadaan ini berkemungkinan menjadi penyebab kehancuran masa depan kanak-kanak itu. Oleh itu, peraturan yang menyeluruh perlu diwujudkan bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga dan mendidik mereka.

Penentuan penjagaan kanak-kanak tersebut hendaklah berdasarkan keutamaan agar kepentingan mereka tidak terjejas sekiranya berlaku pertikaian atau perselisihan di kalangan penjaga mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/111)

Antara dalil pensyariatan hadhanah ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: “Kamu berhak menjaga anakmu selagi kamu tidak berkahwin.”

Riwayat Abu Daud (2276) dan Ahmad (6707). Syeikh Ahmad Syakir berkata: Isnadnya sahih. (Lihat takhrij al-Musnad, 10/177)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tempoh hadhanah berlanjutan dari kelahiran hingga masa tamyiz, iaitu sempurnanya anak dengan segala sifat-sifat kesempurnaan khususnya sehingga ia mampu mengurus dirinya sendiri dan tidak memerlukan pertolongan orang lain untuk makan dan minum serta membuang hajat, membersihkan kotoran dengan sendiri atau juga bersuci (taharah) seperti wuduk dan lainnya.

Batasan umur tamyiz adalah ketika berusia tujuh tahun, atau juga ketika berusia lapan tahun kerana kebanyakan anak-anak pada usia tersebut sifatnya telah menjadi sempurna. Sesungguhnya tamyiz tidak ditentukan dengan batasan had umur.

Orang yang dewasa tetapi gila sama keadaannya dengan anak kecil yang belum mumayyiz. Ia termasuk dalam ketentuan hukum-hukum hadhanah, kerana tidak dapat mengurus dirinya sendiri dan tidak mampu mendapat kemaslahatannya disebabkan kegilaannya  (Lihat AI-Minhaj wa Mughni al-Muhtaj, 3/456; al-Muhazzab, 4/649 ; al-Majmu’ , 20/235)

Akhirnya, moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”