#5252: Hukum Ta’abbudi dan Contohnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan makna hukum ta’abbudi serta contohnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.

(Surah al-Zariyat: 56)

Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib R.A dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 17/52)

Perkataan al-ta’abbudiyyah (التَّعَبُّدِيَّةُ) merupakan kata terbitan bagi perkataan ta’abbada. Pada bahasa, ia membawa maksud yang antaranya adalah menjadikan sesuatu itu hamba, merendahkan diri, beribadah, ketaatan, kepatuhan dan ditaklifkan. (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 579)

Syeikh Abdul Wahab Khalaf menyebut: (Al-Ta’abbudi) ialah hukum-hukum yang hanya Allah yang mengetahui ‘illahnya dan Allah tidak memberi jalan untuk mengetahui ‘illah tersebut semata-mata sebagai ujian bagi hamba-Nya, apakah mereka tetapi mengikuti dan melaksanakan hukum itu meskipun tidak mengetahui ‘illah yang menjadi dasarnya. Hukum-hukum yang demikian disebut al-ta’abbudiyyah (التَّعَبُّدِيَّةُ) atau ghairu ma’qulat al-ma’na (غَيْرُ المَعْقُولَةِ الْمَعْنَى).

Beliau kemudian memberi contoh ta’abbudi dengan bilangan rakaat solat lima waktu, nisab dalam zakat serta ketetapan harta yang dikeluarkan, jumlah hukuman had  dan kafarat, serta bahagian dalam warisan. (Lihat ‘Ilmu Usul al-Fiqh, hlm. 60)

Secara ringkasnya, ta‘abbudi ini adalah satu tuntutan agama yang harus diikuti tanpa dipersoalkan alasan di balik perintah syari‘ah tersebut.

Para ulama’ berselisih pandangan tentang adakah hukum-hakam syarak yang ditaklifkan kepada manusia pada asalnya bersifat ta’abbudiyyah atau mempunyai ‘illah (mu’allalah). Al-Syatibi menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْعِبَادَاتِ بِالنِّسْبَةِ إِلَى المكلَّف التَّعَبُّدُ دُونَ الِالْتِفَاتِ إِلَى الْمَعَانِي، وَأَصْلُ الْعَادَاتِ الِالْتِفَاتُ إِلَى الْمَعَانِي

Maksudnya: “Asal pada ibadah ialah al-ta’abbud, tanpa melihat kepada makna-makna. Manakala asal pada adat (iaitu adalam urusan kehidupan seharian) adalah melihat kepada makna-makna (dari sudut hikmah, rahsia dan kemaslahatan). (Lihat al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah, 2/513)

Antara hikmah dalam pensyariatan hukum yang bersifat ta’abbudi adalah sebagai satu bentuk ujian terhadap tahap pengabdian manusia kepada Maha Pencipta. Kata al-Syatibi:

 وَإِنَّمَا فَهِمْنَا مِنْ حِكْمَةِ التَّعَبُّدِ الْعَامَّةِ الِانْقِيَادَ لِأَوَامِرِ اللَّهِ تَعَالَى، وَإِفْرَادِهِ بِالْخُضُوعِ، وَالتَّعْظِيمِ لِجَلَالِهِ وَالتَّوَجُّهِ إِلَيْهِ.. بَلْ كُنَّا نُؤْمَرُ بِمُجَرَّدِ التَّعْظِيمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apa yang kami fahami berkaitan hikmah al-ta’abbudiyyah secara umum adalah ia sebagai satu bentuk ketundukan terhadap perintah Allah, mengesakan dengan cara mematuhi, membesar dan mengagungkan kemuliaan-Nya dan berserah diri kepada-Nya..Bahkan kita diperintahkan untuk hanya semata-mata membesarkan (perintah dan suruhan-Nya).” (Lihat al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah, 2/514)

Imam al-Ghazali juga ada menjelaskan isu ini ketika menyebut berkenaan rahsia di sebalik melontar jamrah dalam ibadat haji. Beliau menyatakan, bahawa ada sesetengah amalan yang ditaklifkan ke atas manusia tidak dicenderungi oleh jiwa dan naluri manusia. Ini kerana akal gagal memahami hikmah dan kemaslahatan di sebalik taklifan tersebut. Misalnya, amalan melontar jamrah dengan batu dan berulang alik antara Safa dan Marwah. Pada hakikatnya, amalan-amalan sebeginilah yang akan menunjukkan kesempurnaan pengabdian seseorang hamba kepada Penciptanya. Hal ini kerana, tatkala dia melaksanakannya, maka perbuatannya hanya bertujuan untuk mematuhi perintah Syarak dan bukan atas kecenderungan dan naluri dirinya untuk mencari kemaslahatan yang lain. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/250)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”