#5254: Menyesal dengan Perbuatan Terdahulu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ketika saya muda dahulu, saya pernah berbuat dosa kepada orang yang berada di sekeliling saya seperti di universiti dan di tempat kerja. Tapi kini saya sudah berhijrah ke tempat lain dan mula sedar akan kesalahan yang pernah saya buat dahulu tapi tiada upaya untuk saya mencari dan meminta maaf secara peribadi. Soalan saya, bagaimana saya nak menghadap Allah SWT dengan dosa-dosa saya yang masih belum dilunaskan ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

 مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki kezaliman terhadap saudaranya, hendaklah ia segera minta dihalalkan. Sebab dinar dan dirham (di hari kiamat kelak) tidak akan memberinya manfaat. Kezaliman seseorang akan dibalas dengan cara kebaikannya yang diberikan kepada saudaranya (yang terzalimi), sehingga bilamana ia tidak memiliki kebaikan lagi, keburukan saudaranya (yang terzalimi) akan diambil dan dipikulkan kepadanya.”

Riwayat Bukhari (2449)

Al-Qurtubi menyatakan: Jika sesuatu dosa itu berkaitan dengan sesama manusia,maka tidak sah taubat darinya melainkan hak orang yang dizalimi itu dikembalikan sekiranya dia mampu untuk mengembalikannya. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dia berazam untuk mengembalikannya bila sudah mampu. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran,18/199)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dosa sesama manusia tidak terlepas melainkan dengan memohon maaf kepadanya dan mengembalikan semula hak-hak yang telah diambil daripadanya secara batil kepadanya sekiranya dia masih hidup. Namun sekiranya dia telah meninggal dunia hendaklah dikembalikan kepada ahli warisnya.

Oleh itu, dalam isu ini, saranan kami agar anda mencari rakan-rakan yang telah anda aniaya dahulu dengan sedaya upaya supaya dapat memohon maaf dan menyesal dengan perbuatan terdahulu. Terutama pada hari ini, kita mempunyai kemudahan media sosial seperti Instagram, tiktok, twitter, facebook, whatsapp dan sebagainya. Namun, sekiranya benar-benar tidak dapat menjumpai mereka, maka mohonlah ampunlah kepada Allah SWT dan melakukan amalan yang baik seperti bersedekah, menjamu makan dan seumpamanya. Moga-moga Allah mengampunkan dosa anda yang terdahulu. Ingatlah disebalik kita menjaga hubungan dengan Allah SWT, kita juga wajib menjaga hubungan sesama manusia.

Begitu juga, boleh juga mohon keampunan bagi pihak saudara-saudara yang telah kita zaliminya di samping bersedekah baginya. Mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan kita dan sentiasalah berdoa sebagaimana diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan: “Ayat ini menjadi dalil tentang solidariti (perpaduan/setiakawan) antara segenap lapisan generasi umat ini, mulai dari generasi pertama sehingga generasi-generasi berikutnya. Ayat ini menunjukkan bahawa orang-orang Mukmin yang datang  kemudian dari generasi ke generasi diperintahkan untuk memohon maghfirah dan keampunan bagi generasi terdahulu dari kalangan kaum Muhajirin dan Ansar.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/460)

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”