#5255: Solat dengan Seluar Berlubang Sebesar Biji Habbatus Sauda

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sah atau tidak solat fardhu pakai seluar yang ada lubang sebesar biji habbatus saudha pada bahagian depan peha atas kira-kira 3 biji lubang.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا بَنِي ءَادَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat).”

(Surah al-A’raf: 31)

Ibnu Kathir menjelaskan, di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan.(Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256)

Pada asasnya, menutup aurat adalah merupakan syarat sah solat. Jika aurat terdedah semasa solat maka wajib untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka batal solatnya dan hendaklah dimulakan semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka solatnya tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 206)

Imam al-Syirazi menyebut: “Maka jika terdedah suatu pun daripada jenis aurat, sedangkan dia mampu untuk menutupnya, maka tidak sahlah solat.” Imam al-Nawawi kemudian menjelaskan dengan katanya: Tidak sah solatnya sama ada banyak atau sedikit yang terdedah itu…” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/166)

Imam al-Nawawi turut menegaskan dengan katanya: “Menutup aurat ialah syarat sah solat. Jika mana-mana bahagian aurat seseorang yang menunaikan solat terdedah, maka tidak sah solatnya.Tidak kiralah yang terdedah itu sedikit atau banyak. Sama ada lelaki atau perempuan. Sama ada solat bersama orang ramai atau bersendirian. Sama ada solat fardhu atau solat sunat atau solat jenazah atau tawaf atau sujud tilawah mahupun sujud syukur.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/172)

Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut. Justeru wajib bagi seseorang lelaki itu menutup bahagian ini dengan pakaian yang bersih dari najis di dalam solat yang didirikan. Sekiranya dibiarkan auratnya terdedah dengan sengaja maka solatnya adalah batal.

Menurut Imam al-Nawawi, wajib menutup aurat dengan sebarang pakaian yang tidak menampakkan warna kulit, dan ia tidak mampu ditutup dengan baju yang jarang. Menutup aurat mencukupi dengan apa jenis pakaian, kulit, kertas atau dedaun yang dikait selagi mana ia tidak menampakkan warna kulit. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/171)

Justeru, menutup aurat dengan sempurna adalah termasuk daripada syarat sah solat. Hal ini juga berdasarkan teguran Nabi SAW kepada Jarhad ketika mana pehanya terselak di dalam solat. Kata Nabi SAW:

غَطِّ فَخِذَكَ فَإِنَّهَا مِنْ الْعَوْرَةِ

Maksudnya: “Tutuplah peha mu kerana peha itu aurat.”

Riwayat al-Tirmizi (2798) dan beliau menyatakan bahawa hadis ini ialah hadis hasan.

Berbalik kepada persoalan di atas, jelas seperti yang kami telah nyatakan bahawa menutup aurat adalah syarat sah bagi solat. Jika seseorang bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula. Aurat bagi lelaki ialah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita ialah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan, berdasarkan mazhab Syafie. Mereka berdalilkan hadis Nabi riwayat Aisyah R.Anha:

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah tidak menerima solat orang perempuan yang mengalami haid melainkan dengan memakai khimar (tudung).”

Riwayat Abu Dawud (641), Ibn Majah (655), dan al-Tirmizi (377)

Al-Tirmizi berkata, “Hadis Aisyah ialah hadis hasan dan diamalkan (sebagai hujah) di sisi ahli ilmu.” Al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai “ha’id” itu ialah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki. (Lihat al-Majmu’, 3/166-167)

Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat ialah, seperti kata Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab (125/1), “dan wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna kulit.” Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “(penutupan aurat itu) dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit (yang boleh dilihat) dalam sebuah majlis percakapan.” (Lihat Fath al-Mu’in, 1/86)

Kadar yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan ini disyarahkan lagi oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati sebagai: “Keadaan itu maksudnya jika seseorang memerhatikan orang yang bersolat sambil mendekatkan diri dengan begitu dekat untuk melihat warna kulitnya, maka hal itu tidak memudaratkan (yakni tidak dianggap terbuka aurat).”(Lihat I’anah al-Talibin, 1/134)

Maksud bagi keterangan di atas ialah syarat sah menutup aurat itu memadai jika salah seorang daripada dua orang yang sedang bercakap melihat kepada teman dan dia tidak nampak warna kulit pada bahagian aurat temannya itu.

Kesimpulan

Justeru, kami nyatakan dalam isu ini ia bergantung sama ada nampak aurat atau tidak. Sekiranya melalui lubang tersebut boleh nampak auratnya, maka tidak sah solatnya kerana terdedah aurat. Akan tetapi, sekiranya ada lubang pada seluarnya tetapi tidak nampak aurat, maka sah solatnya. Wallahu a’lam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak semua untuk berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”