#5264: Sahabat Berwakaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah semua sahabat R.Anhum yang berkemampuan dan mempunyai harta berwakaf?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.

 (Surah ali-Imran: 92)

Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-Uyun berkata: Berkenaan dengan perkataan lafaz al-bir (الْبِرَّ), ia terbahagi kepada tiga pendapat, iaitu:

  • Pahala di sisi Allah.
  • Perbuatan baik yang melayakkan pahala.
  • Inilah pendapat al-Suddi.

Sedangkan perkataan ‘hingga kamu berinfaq’ (حَتَّىٰ تُنفِقُوا) juga ada tiga pendapat, iaitu:

  • Sedekah yang wajib. Inilah pendapat al-Hasan.
  • Sedekah yang wajib dan sunat. Inilah pendapat Ibn Umar.
  • Semua kebaikan daripada sedekah dan selainnya.

Mengikut riwayat ‘Amr bin Dinar, tatkala turunnya ayat ini, Zaid bin Harithah datang dengan membawa kudanya yang diberi nama Sabal kepada Rasulullah, sambil berkata: “Sedekahlah kuda ini wahai Rasulullah.” Kemudian Baginda SAW memberikannya kepada Usamah, lantas Zaid berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku mahu bersedekah dengannya.” Kemudian Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya telah diterima sedekah kamu.” (Lihat al-Nukat wa al-Uyun, 1/408-409)

Menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (1631)

Imam al-Nawawi berkata, maksud sedekah jariah dalam hadis di atas ialah amalan wakaf. Hadis ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 3/89)

Manakala dalam satu riwayat daripada, Ibnu Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَصَابَ أَرْضًا بِخَيْبَرَ، فَأَتَى النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَسْتَأْمِرُهُ فِيهَا، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّى أَصَبْتُ أَرْضًا بِخَيْبَرَ، لَمْ أُصِبْ مَالاً قَطُّ أَنْفَسَ عِنْدِى مِنْهُ، فَمَا تَأْمُرُ بِهِ قَالَ: إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا، وَتَصَدَّقْتَ بِهَا. قَالَ: فَتَصَدَّقَ بِهَا عُمَرُ: أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ وَلاَ يُوهَبُ وَلاَ يُورَثُ، وَتَصَدَّقَ بِهَا فِى الْفُقَرَاءِ وَفِى الْقُرْبَى، وَفِى الرِّقَابِ، وَفِى سَبِيلِ اللَّهِ، وَابْنِ السَّبِيلِ، وَالضَّيْفِ، لاَ جُنَاحَ عَلَى مَنْ وَلِيَهَا أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ، وَيُطْعِمَ غَيْرَ مُتَمَوِّلٍ

Maksudnya:Umar bin al-Khattab RA telah menerima sebidang tanah di Khaibar lalu beliau menemui Nabi SAW dan bertanya apa yang sepatutnya dilakukan dengan harta itu. Beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, aku telah menerima sebidang tanah di Khaibar. Aku tidak pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang patut aku lakukan dengannya.” Sabda baginda: “Sekiranya mahu, engkau wakaflah ia dan sedekahlah hasilnya.” Ibnu Umar R.Anhuma berkata lagi: “Lalu Umar sedekahkan tanah ini sambil berkata: Ini sama sekali tidak akan dijual atau dihadiahkan atau diwariskan. Hasilnya akan disedekahkan kepada fakir miskin, kaum keluarga, hamba-hamba, orang yang berada di jalan Allah, ibnu sabil dan tetamu. Tidak salah bagi penjaga tanah tersebut memakan hasilnya atau pun memberi makan orang lain tanpa menyimpan harta.”

Riwayat al-Bukhari (2586) dan Muslim (1632)

Sebagaimana yang diketahui bahawa tindakan Umar RA ini merupakan wakaf yang dilakukan di dalam Islam. Amalan wakaf telah menjadi budaya di kalangan para sahabat sehinggakan Jabir RA pernah berkata: “Tidak ada seorangpun di kalangan sahabat yang berkemampuan tetapi tidak mewakafkan hartanya.” (Lihat al-Tahjil fi Takhrij Ma Lam Yakhruj min al-Ahadith wa al-Athar fi Irwa’al-Ghalil, hlm. 251)

Justeru, kami katakan, para sahabat Nabi SAW semuanya cintakan akhirat, dan yang berkemampuan semuanya pernah berwakaf sebahagian harta mereka. Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.