Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah Kesudahan daripada Fitnah Dajjal Ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan ini, kami kemukakan terlebih dahulu makna Dajjal.
Kata Dajjal (دَجَّال) berasal dari kata dajala, artinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.
- Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
- Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
- Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
- Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.
Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.
Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:
- Seorang manusia.
- Rambutnya kerinting dan kusut masai.
- Sebelah daripada matanya buta.
- Tertulis pada dahinya كفر (kufur) atau كافر (kafir).
Kesimpulan
Justeru itu, kami nyatakan setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu. Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (Palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud. Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:
إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةٌ، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”.
Riwayat Ibn Majah (4077). Syeikh al-Arna’uth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif.
Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS. (Lihat Dajjal Hakikat dan Tanda Akhir Zaman, hlm 48)
Semoga Allah SWT pelihara kita daripada fitnah Dajjal dan mengikutnya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”