#5273: Perempuan Haid Menyentuh Al-Quran Bertulisan Braille

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menyentuh tulisan braille dalam al-Quran semasa Haid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ (77) فِي كِتَابٍ مَّكْنُونٍ (78) لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqi’ah: 77-79)

Kami mulakan dengan takrif al-Quran terlebih dahulu.

Menurut al-Qamus al-Muhit (1/49), al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya:Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

( Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21)

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

 

Definisi Braille

Braille merupakan sistem tulisan berasaskan sentuhan yang paling meluas digunakan oleh masyarakat dunia pada hari ini. (Lihat Braille al-Quran: Sejarah dan Kaedah, hlm. 16)

Di Malaysia, al-Qur’an Braille akan disemak dan diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merangkumi 30 juzuk al-Qur’an dalam Mashaf Usmani. Ia ditulis dalam tulisan jawi Braille dan mampu difahami oleh golongan cacat penglihatan Islam di seluruh dunia. Lujnah al-Qur’an Jawatankuasa Penyemakan di JAKIM akan melakukan semakan bagi memastikan tidak terdapat kesilapan di dalam penyusunan ayat-ayat al-Qur’an, huruf-huruf, tanda-tanda bacaan dan sebagainya. (Lihat Pengajian al-Qur’an dalam Kalangan Ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu, hlm. 46)

 

Sepuluh Perkara yang Haram Dilakukan bagi Mereka yang Haid

  1. Solat
  2. Tawaf
  3. Menyentuh mushaf
  4. Membawa mushaf
  5. Menetap di masjid.
  6. Membaca al-Quran.
  7. Puasa.
  8. Talak.
  9. Berjalan di dalam masjid sekiranya takut menitis darah haid.
  10. Bermesraan (antara suami isteri) antara pusat dan lutut. (Lihat Safinah al-Naja, hlm. 22-23)

 

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan menyentuh al-Quran yang bertulisan braille adalah sama dengan menyentuh al-Quran yang asal. Hal ini sebagaimana pandangan Imam Qalyubi berpendapat, harus penulisannya dan tidak harus pembacaannya dengan selain bahasa Arab. Dan bagi yang ditulis, hukumnya adalah seperti hukum mushaf dari segi membawa dan memegangnya. (Lihat Hasyiyah al-Jamal Syarh al-Manhaj, 1/7676)

Begitu juga, disebut oleh Syeikh Zakariyya al-Ansari: Dibolehkan menulis al-Qur’an dengan selain bahasa Arab dan berlaku baginya hukum mushaf dalam menyentuh dan membawanya. (Lihat al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 1/148)

Justeru, kami katakan haram bagi perempuan yang sedang haid untuk menyentuh dan membawa al-Quran bertulisan Braille kerana ia dikira seperti al-Quran yang asal. Firman Allah SWT:

 لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqi’ah: 79)

Selain itu, diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma,

 لاَ يَمَسَّ الْقُرْآنَ إِِلاَّ طَاهِرٌ

Maksudnya: “Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (12/313). Ibn Hajar menyebut dalam al-Talkhis (1/133): “Isnadnya tidak ada masalah padanya.”

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahua`lam.