#5274: Bahagian Daging yang Paling Disukai oleh Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah bahagian daging yang paling disukai oleh Rasulullah SAW?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Rasulullah SAW sebagaimana manusia biasa yang suka kepada makan pada bahagian keting atau betis kambing. Inilah yang disebut dalam banyak riwayat. Antaranya:

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِلَحْمٍ فَرُفِعَ إِلَيْهِ الذِّرَاعُ وَكَانَتْ تُعْجِبُهُ فَنَهَسَ مِنْهَا

Maksudnya: “Dibawa kepada Nabi SAW daging, lalu diangkat kepadanya bahagian betis. Ia amat menyukainya dan menjilat serta menggigitnya.”

Riwayat Muslim (194)

Daripada Ibn Mas’ud R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْجِبُهُ الذِّرَاعُ. قَالَ: وَسُمَّ فِي الذِّرَاعِ، وَكَانَ يَرَى أَنَّ الْيَهُودَ سَمُّوهُ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW amat suka pada bahagian betis kambing.” Kata Abdullah bin Mas’ud: “Dia diracun pada bahagian betis dan dia melihat orang Yahudi yang meracunnya.”

Riwayat Abu Dawud (3871), Ahmad (3733), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2461) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5897). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini Sahih li Ghairihi dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

مَا كَانَتِ الذِّرَاعُ أَحَبَّ اللَّحْمِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَكِنَّهُ كَانَ لَا يَجِدُ اللَّحْمَ إِلَّا غِبًّا، وَكَانَ يَعْجَلُ إِلَيْهَا لِأَنَّهَا أَعْجَلُهَا نُضْجًا

Maksudnya: “Tidaklah betis disukai oleh Rasulullah SAW, akan tetapi, kerana dia tidak mendapati daging kecuali jarang-jarang. Justeru, itulah yang lebih mudah kepadanya dan kerana bahagian tersebut lebih cepat masak.”

Riwayat al-Tirmizi dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah (171). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Mukhtasar al-Syama’il.

Berdasarkan tiga hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW amat suka bahagian tersebut.

Dalam Jawab al-Sa’il an Syarh al-Syama’il (hlm. 193-195) menyebut: Hadith ini menggambarkan sukanya Rasulullah SAW kepada bahagian betis.