#5277: Jumlah Istighfar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapakah jumlah istighfar yang patut dilakukan oleh seseorang mukmin?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

Maksudnya: “Maka aku katakan kepada mereka: mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia Maha pengampun.”

                                                                                                          (Surah Nuh: 10)

Terdapat beberapa riwayat dalam menjelaskan jumlah istighfar (الاستغفار) yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam sehari.

Antaranya, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW beristighfar sehari sebanyak seratus kali. Hal ini dapat dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

MaksudnyaSesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.

Riwayat Muslim (7033) dan Abu Daud (1517)

Imam Nawawi menjelaskan hadis ini dengan menukilkan pendapat ahli bahasa: Perkataan ‘لَيُغَانُ’ bermaksud apa-apa yang melitupi hati. Al-Qadhi ‘Iyadh pula berkata, dikatakan maksudnya ialah waktu-waktu lemah dan lalai daripada zikir yang sepatutnya berterusan. Apabila hal ini berlaku, dia mengira sebagai dosa, justeru dia beristighfar. Ada pendapat berkata, dikatakan kerana Rasulullah SAW amat prihatin dan runsing terhadap umatnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/23)

Dikehendaki dengan ‘الغين’ iaitu masa-masa yang luput daripada zikir, yang biasanya seseorang itu sentiasa dalam zikir. Apabila terluput dengan sesuatu sebab, maka dia mengira sebagai dosa, lantas dia beristighfar daripadanya. Begitu juga, pendapat Ibn al-Jauzi, ‘الغين’ dengan maksud kegelinciran tabiat manusia yang tidak ada seorang pun yang terselamat.

Para Nabi, sekalipun ma’sum daripada dosa besar, tetapi mereka tidak ma’sum daripada dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan pecahan daripada khilaf yang terpilih. Tetapi yang paling rajih, para Nabi juga ma’sum daripada dosa-dosa kecil. Ibn Battal berkata: Para Nabi sekuat-kuat manusia dari sudut ibadat kerana kurniaan Allah kepada mereka daripada makrifah. Justeru mereka sentiasa mensyukurinya dan mengiktiraf kepada Tuhan atas kelemahan.

Selain itu, istighfar tersebut adalah daripada taqsir atau kekurangan dalam menunaikan hak yang wajib bagi Allah dan diandaikan juga kerana sibuk dengan urusan yang harus seperti makan, minum, bersama isteri, tidur, rehat, atau berbicara dengan manusia serta melihat kemaslahatan mereka dan menentang musuh-musuh mereka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/103)

Dalam hadith lain, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”

Riwayat al-Bukhari (6307)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, berkenaan ungkapan ‘أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً’ (lebih daripada 70 kali), dalam hadis Anas disebut dengan ungkapan, ‘Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah 70 kali dalam sehari.’ Boleh jadi, Baginda maksudkan itu bagi menunjukkan kiasan terhadap lebihnya, dan boleh jadi juga Baginda ingin menjelaskan jumlah tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 30/342)

Kami berpendapat, jumlah itu juga memberi maksud sebanyak yang mungkin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”