#5280: Waswas pada Bilangan Tawaf Ifadhah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ada seorang rakan jemaah asyik menyatakan dia waswas dalam tawafnya sama ada cukup atau tidak lalu dia tambah satu pusingan tawaf dan saei 7 pusingan semula. Saya tidak waswas pada mulanya kerana yakin cukup pusingan cuma tiba-tiba terfikir tentang cukup atau tidak tawaf saya. Jadi soalannya, adakah sah tawaf saya itu dan apakah yang perlu dilakukan? Mohon pencerahan dan pendapat ustaz. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.

(Surah Qaf: 16)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, “Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa tidak ada yang tersembunyi bagi-Nya. Yang tersembunyi juga sama seperti yang zahir di sisi-Nya, dan Dia Maha Mengetahui gerak-geri hati dan apa yang zahir.” ( Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/170).

Waswas dari segi bahasa bermaksud suara (bisikan) halus daripada angin dan lain-lain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/146).

Dari segi istilah, para fuqaha’ membahagikan takrifan waswas kepada beberapa makna, antaranya:

  • Waswas bermaksud percakapan di dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik samada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
  • Waswas bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
  • Waswas ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
  • Waswas ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya adalah sia-sia. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/147)

Mengenai permasalahan waswas ini Allah SWT telah berfirman:

ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ

Maksudnya: “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.  (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

(Surah al-Nas: 5-6)

Menurut al-Maraghi, bisikan was-was itu dinyatakan berada di dalam dada manusia, kerana sudah lazim dalam bahasa orang Arab mengatakan bahawa gurisan jiwa itu ada di dalam hati, sedang hati itu berada di dalam dada. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7748).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kita harus mengetahui bahawa tawaf ifadhah adalah di antara rukun-rukun haji sebagaimana firman Allah SWT:

 وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

(Surah al-Hajj: 29)

Di antara syarat sah tawaf tersebut, seseorang itu hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak tujuh kali pusingan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141).

Namun, sekiranya dia telah ragu-ragu atau waswas mengenai bilangan tawafnya, dia tidak akan terkeluar daripada dua situasi ini:

Situasi Pertama: Ketika masih lagi sedang melakukan tawaf. Contohnya: Ketika dia sedang melakukan tawaf, tiba-tiba dia telah waswas pada bilangan tawafnya; adakah kali ke-6 atau ke-7.

Sekiranya demikian, dia hendaklah mengambil bilangan yang paling sedikit. Dalilnya adalah sebagaimana hadith Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ، فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلَاثًا أَمْ أَرْبَعًا، فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ

Maksudnya: “Sekiranya salah seorang di antara kamu yang ragu-ragu di dalam solatnya, dia tidak tahu bilangan rakaatnya, apakah sudah tiga atau empat. Maka buanglah keraguan itu, dan binalah (ambilah) apa yang pasti (iaitu yang sedikit).

Riwayat Muslim (571)

Ini juga adalah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa sesiapa yang telah syak pada bilangan tawaf atau sa‘inya, wajib ke atas dia mengambil bilangan yang paling sedikit sekalipun dia cenderung pada bilangan yang banyak (dalam sangkaannya itu), tetap wajib ke atasnya mengambil bilangan yang sedikit yang diyakini sebagaimana di dalam bab solat yang lepas — iaitu syak pada bilangan rakaat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/21)

Selain itu, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff  juga ada menyebutkan bahawa tawaf adalah sebanyak tujuh kali (pusingan) secara yakin. Sekiranya datang syak pada bilangannya, ambillah bilangan yang paling sedikit seperti solat (yakni syak pada bilangan rakaat). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 481).

Hal ini dikuatkan lagi oleh nukilan Ibn Munzir dalam kitabnya bahawa telah menjadi Ijma‘ dalam kalangan para ulama bagi sesiapa yang ragu-ragu di dalam (bilangan) tawafnya hendaklah dia mengambil apa yang pasti (yakin). (Lihat al-Ijma‘, hlm. 55).

Situasi Kedua: Sudah selesai melakukan tawaf dan meninggalkannya. Contohnya: Seseorang itu sudah pun selesai menunaikan tawaf ifadhah dan telah pulang ke hotel. Tidak lama kemudian, datang waswas di dalam dirinya; adakah dia telah tawaf cukup sebanyak tujuh kali pusingan atau pun tidak.

Di dalam situasi ini, Imam al-Nawawi telah menyatakan bahawa:

إِذَا شَكَّ بَعْدَ فَرَاغِهِ فَلَا شَيْء عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya dia ragu-ragu setelah selesai menunaikan tawaf  (dan meninggalkannya) maka tiada apa-apa ke atas dirinya (yakni tawafnya dikira sah).” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/22).

Begitu juga Habib Hasan al-Kaff juga menyatakan, keraguan tidak akan memberi apa-apa kesan setelah selesainya (sesuatu ibadah). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 481).

Oleh yang demikian, bagi sesiapa yang berada di dalam situasi kedua ini, keraguan yang datang selepas selesai dan yakin akan ibadah tersebut, tidak akan membatalkannya.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama mengenainya, kami berpendapat bahawa tawaf ifadhah yang dilakukan oleh saudara yang bertanya di atas adalah sah dan tidak perlu mengulanginya semula. Hal ini bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ والْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Asal (hukum) sesuatu perkara adalah kekal mengikut keadaan sebelumnya dan perkara yang sudah diyakini tidak boleh dihilangkan oleh keraguan.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 47-49).

Adapun mengulanginya semula disebabkan oleh pemberitahuan orang yang tsiqah dan adil sedangkan dia meyakini yang sebaliknya hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Akan tetapi Imam al-Nawawi menegaskan bahawa ia hanya sekiranya dia masih berada di (tempat) tawaf. Adapun selepas selesai dan dia telah pun beredar darinya, maka tiada apa-apa ke atas dirinya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/22; Mughni al-Muhtaj, 2/258).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”