#5282: Nampak Aurat ketika Memakai Telekung

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Assalamualaikum.Saya ingin bertanya tentang telekung wanita yang kebiasannya di pakai sekarang kerana ianya selalu menjadi perdebatan dikalangan sahabat-sahabat saya.Saya difahamkan bahawa pemakaian telekung biasa, tidak sah solat disebabkan oleh aurat yang mungkin boleh nampak dari pandangan sisi. Soalan saya adakah ianya benar? Kalau benar maka solat saya selama ni tidak sah? Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Telekung

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, telekung ditakrifkan sebagai selubung untuk menutup tubuh perempuan ketika menunaikan solat. Telekung difahami umum sebagai sejenis kain berbidang besar, yang digunakan oleh golongan perempuan untuk melakukan solat. Ia sinonim dengan warna putih dan biasanya datang dalam dua bahagian. Pertama, telekung di mana ia disarung pada muka dan panjangnya melitupi separuh atas badan. Kedua, kain telekung di mana ia dipakai untuk melitupi kaki sepenuhnya.

Menutup Aurat Sebagai Syarat Sah Solat

Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika aurat terdedah semasa solat maka wajib untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka batal solatnya dan hendaklah dimulakan semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 206)

Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut, manakala bagi wanita yang merdeka ialah keseluruhan tubuh badannya melainkan muka dan tapak tangan. Rambut wanita juga adalah aurat yang wajib ditutup ketika solat. Dalilnya ialah hadis Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ الحَائِضِ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Tidak diterima solat seorang wanita yang sudah berhaid itu melainkan dengan memakai khimar (tudung).”

Riwayat Abu Daud (641), al-Tirmizi (377), Ibn Majah (655) dan Ahmad (25167). Al-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan dan al-Hakim mengatakan hadis ini sahih atas syarat Muslim.

Imam al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai ‘haid’ itu adalah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki. Maksudnya, Allah tidak menerima solat perempuan dan lelaki yang akil baligh, melainkan kedua-duanya menutup aurat. (Lihat al-Majmu’, 3/166-167)

Aurat Wanita di dalam Solat

Adapun aurat wanita di dalam solat, para ulama’ mazhab Syafi’e menyebutkan ianya adalah keseluruhan jasad wanita itu sendiri kecuali muka dan kedua tapak tangan zahir dan batin iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan. (Lihat al-Majmu’, 3/166)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.”

(Surah al-Nur: 31)

Menurut Ibn Abbas R.Anhuma dan ‘Aisyah R.Anha bahawa yang dimaksudkan dengan إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ  adalah muka dan juga kedua tapak tangan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/45)

Ianya juga adalah aurat bagi wanita di luar solat ketika berhadapan dengan lelaki-lelaki ajanib baik yang muslim ataupun non-muslim iaitu keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.

‘Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ الْحَائِضِ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: Tidak sah solat perempuan yang baligh kecuali menutup kepalanya.”

Riwayat al-Tirmizi (277)

Imam al-San`ani menjelaskan: “Khimar adalah apa yang ditutup dengannya kepala dan leher.” (Lihat Subul al-Salam, 1/197)

Hadith di atas menunjukkan bahawa orang perempuan wajib menutup kepala ketika bersolat. Justeru, wajib menutup seluruh badannya adalah lebih utama.

Dalam sebuah hadith juga ada menceritakan bagaimana keadaannya para wanita di zaman Nabi SAW ketika keluar untuk solat seperti mana yang terdapat di dalam hadith ‘Aisyah R.Anha:

لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى الْفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِى مُرُوطِهِنَّ ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW bersolat Subuh, beberapa orang wanita yang berpakaian menutup seluruh tubuh juga bersolat bersama-sama Baginda. Selepas itu, mereka balik ke rumah masing-masing tanpa dikenali oleh sesiapa pun.

Riwayat al-Bukhari (365)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum memakai telekung ketika solat adalah sah dengan syarat ia menepati syarat-syarat menutup aurat seperti pakaian yang longgar tidak menampakkan bentuk tubuh dan juga tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit serta labuh hingga boleh menutupi bahagian kaki. Bahkan tidak memakai telekung juga bukan suatu masalah kerana yang utamanya adalah menutup aurat.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak untuk marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”