#5285: Hukum-Hukum Khulu’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan berkenaan hukum khulu’ ini supaya masyarakat dapat gambaran yang lebih jelas. Terima kasih Dato.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Khulu’

Khulu’ bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ  فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ  وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ  فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ  تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا  وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 229-230)

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127)

Sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/202)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan khulu’ mempunyai banyak hukum dan ia dapat diringkaskan seperti berikut:

  1. Hukum khulu’ adalah harus. Ia tidak akan berlaku melainkan tebusan yang berbentuk harta, yang difardhukan oleh isteri kepada suami. Jika harta tebus talaq itu dimaklumi dan disebut, ia wajib diserahkan sedemikian. Jika tidak ditentukan secara khusus, khulu’ tetap sah dan suami wajib diberikan mas kahwin mithil. Jika suami menggunakan lafaz khulu’ tanpa menyebut sebarang tebusan, malah tidak memikirkannya sama sekali, ia adalah talaq biasa secara kiasan dengan lafaz khulu’. Oleh itu, ia termasuk dalam jenis kiasan dan jatuh sebagai talaq raj’ie.
  2. Khulu’ tidak jatuh daripada isteri yang belum baligh dan tidak berakal kerana tidak berkelayakan untuk membuat sebarang iltizam dan sebarang urusan. Tetapi, jika suami yang menceraikannya secara khulu’, maka talaq tetap jatuh sebagai talaq raj ‘ie yang biasa dan tidak berhak mendapat sedikit pun daripada mas kahwinnya.
  3. Jika suami menceraikan isterinya secara khulu’, isteri berkuasa menguruskan dirinya sendiri. Suami tidak lagi mempunyai sebarang kuasa terhadapnya dan tidak boleh rujuk kepadanya dalam tempoh ddah, sebagaimana talaq biasa. Ini kerana khulu’ merupakan talaq yang tidak boleh dirujuk (4). Sehubungan dengan itu, suami hanya boleh memiliki jandanya semula dengan aqad nikah dan mas kahwin yang baru dan terpulanglah kepada kemahuan jandanya itu.
  4. Zihar, ila’ dan talaq yang dijatuhkan oleh bekas suami tidak berkesan kepada isteri yang diceraikan secara khulu’ sepanjang tempoh iddahnya. Ini kerana khulu’ menjadikan isteri orang asing bagi suami. Keadaan ini berbeza dengan talaq biasa yang boleh dirujuk, iaitu suami masih boleh menceraikan isterinya dengan talaq yang kedua atau menziharkannya dalam tempoh iddah dan mendatangkan kesan terhadap isteri tersebut.
  5. Suami boleh menceraikan isterinya secara khulu’ sama ada ketika haid atau ketika suci yang telah disetubuhi, selagi isteri itu orang yang cerdik dan matang. Hal ini kerana penceraian secara khulu’ tidak menimbulkan kemudharatan kepada isteri disebabkan ia berlaku atas kehendaknya sendiri, berbanding penceraian biasa dengan kemahuan suami yang akan menimbulkan kemudharatan kepada isterinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/128)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa. Wallahua`lam.