#5287: Kekeliruan Maksud 3 Kali Talak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya kurang faham tentang bilangan talak. Adakah suami yang menceraikan isterinya sebanyak tiga kali pada masa yang berbeza, masih berbaki dua kali talak?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Talak

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Imam al-Baijuri menyatakan, Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat. Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak ada dihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan suami hanya mempunyai tiga kali talak sahaja terhadap isterinya. Sekiranya dilafazkan lagi selepas talak yang kedua, maka pada talak yang ketiga itu tidak ada lagi yang dinamakan rujuk.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

(Surah al-Baqarah: 229)

Kemudian Allah SWT berfirman lagi:

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يَتَرَاجَعَا إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۗ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ ‎﴿٢٣٠﴾‏

Maksudnya: Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

(Surah al-Baqarah: 230)

Oleh itu, berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa jika si suami mahu bersama semula dengan isterinya, maka bekas isterinya perlu berkahwin dengan lelaki  lain, kemudian bersama (jima’)  dan selepas tamat iddah, barulah bekas suaminya boleh berkahwin semula dengan bekas isterinya yang dahulu. Perlu juga difahami perkahwinan tersebut tidak boleh dirancang oleh bekas suami/ isteri yang dipersetujui bersama suami baru yang bertujuan untuk menghalalkan balik isterinya yang telah ditalak tiga tersebut. Perkahwinan sebegini  dikira nikah cina buta/ tahlil. Sepertimana hadith Ibn Masu’d R.A bahawa beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُحَلِّلَ وَالْمُحَلَّلَ لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan.”

Riwayat Tirmizi (1120). Abu Isa menyatakan bahawa hadith ini adalah hasan sahih.

Walaupun begitu, dalam isu seperti ini, alangkah baiknya pihak yang terbabit merujuk kepada mahkamah supaya hakim dapat meneliti, menyoal siasat sebelum menjatuhkan hukum dengan seadilnya. Ini berdasarkan kaedah:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Wallahua`lam.