Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah dato jelaskan maksud Ila’ dan hukumnya?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Definisi Ila’
Menurut bahasa, ila’ bererti sumpah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنكُمْ وَالسَّعَةِ أَن يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَىٰ وَالْمَسَاكِينَ
Maksudnya: “Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin.”
(Surah al-Nur: 22)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah: ‘وَلَا يَأْتَلِ’, yakni janganlah bersumpah. (Lihat Fath al-Qadir, 4/311)
Dari segi istilah pula, ila’ bermaksud suami yang mempunyai hak bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya tanpa menyebut tempoh tertentu atau dalam tempoh yang melebihi empat bulan.”
Dalil Hukum Ila’
Firman Allah SWT:
لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ ۖ فَإِن فَاءُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٢٢٦﴾ وَإِنْ عَزَمُوا الطَّلَاقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٢٧﴾
Maksudnya: Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
(Surah al-Baqarah: 226-227)
Hukum Ila’
Apabila suami bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya tanpa menyebut tempoh tertentu atau selama lebih daripada empat bulan, dia telah melakukan ila’ kepada isterinya.
Hal ini menimbulkan beberapa hukum syara’ kepada suami, iaitu hakim memberi tempoh selama empat bulan dari hari dia bersumpah untuk tidak menyetubuhi isterinya. Tempoh itu diberikan sebagai satu peluang kepada suami menarik sumpahnya semula serta memberi kaffarah menceraikan isterinya itu sekiranya dia tidak mahu menarik sumpahnya semula dan tidak mahu memberi kaffarah sumpah tersebut.
Apabila berlalu tempoh empat bulan, sedangkan suami tetap dengan sumpahnya, maka dia telah memudaratkan isterinya. Oleh itu, hakim memerintahkan suami berdasarkan permohonan isteri dengan satu daripada dua perkara berikut:
- Menarik balik sumpahnya dan menggauli isterinya semula serta menunaikan kaffarah sumpah jika dia bersumpah dengan nama Allah atau sifat-sifat-Nya. Jika suami bersumpah melakukan sesuatu atau bersedekah, dia hendaklah melaksanakan sumpahnya.
- Menceraikan isterinya jika dia enggan menarik sumpahnya semula. Jika suami tetap enggan dan menolak kedua-dua perkara tersebut, hakim hendaklah menjatuhkannya satu talaq. Ini kerana menjadi tugasnya untuk mengelakkan kemudharatan kepada orang lain.
Dalam hal ini, tiada cara lain untuk mengelakkan kemudharatan tersebut melainkan hakim mentalaqnya bagi pihak suami. Keadaan ini samalah seperti melunaskan hutang dan menunaikan hak-hak yang lain.
Sehubungan itu, hakim menjatuhkan talaq sekiranya suami tiada keuzuran yang menghalangnya daripada persetubuhan. Jika terdapat keuzuran, seperti sakit atau seumpamanya, suami diminta menarik sumpah ila’nya semula dengan berkata: “Apabila aku mampu melakukan persetubuhan, aku menarik sumpahku semula.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/144)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan ila’ merupakan sumpah seorang suami yang tidak mahu menyetubuhi isterinya lebih daripada 4 bulan. Justeru, apabila seseorang itu telah bergelar suami, janganlah aniaya isteri seperti itu, sebaliknya layanilah isteri dengan sebaiknya sepertimana kamu mengambilnya secara terhormat daripada keluarganya dahulu.
Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.
Wallahua`lam.