#5292: Perkara yang Haram kerana Penyusuan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah perkara yang menjadi haram akibat daripada penyusuan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Penyusuan dikenali dengan ridha’ (الرِّضَاع) atau radha’ (الرَّضَاع) dan dimaksudkan dengan radh’an (رَضْعًا), ridha’an (رِضْعًا), dan radha’an (رَضَاعًا) iaitu menghisap susu, ardha’ah (أَرْضَعَة) dengan maksud menyusu bayi. Pada istilah syarak ialah nama untuk pengaliran susu wanita atau apa yang terhasil daripada susunya dalam perut bayi dengan syarat-syaratnya.

Terdapat definisi yang lain hampir sama dengan definisi di atas. Antara lafaz yang hampir sama dengan radha’ah ialah hadhanah (penjagaan). Hal ini kerana terdapat beberapa keadaan seorang penjaga juga dalam masa yang sama ialah penyusu kepada anak yang dijaga.  (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238)

Dalil Disyariatkan Penyusuan

Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran, antaranya:

  • Firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyususan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertawakkallah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

(Surah al-Baqarah: 233)

Al-Qurtubi berkata: “Ini menunjukkan bahawa anak apabila masih menyusu maka ibu berhak dalam hadhanahnya lebih daripada bapa.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi,  3/160)

Perkara yang Haram kerana Penyusuan

Penyusuan menjalinkan hubungan kekeluargaan antara anak susuan dan keluarga ibu susuan. Hubungan ini memberi kesan dalam mewujudkan golongan yang haram dikahwini, sebagaimana hubungan keturunan, iaitu:

  • Ibu dan ke atas.
  • Anak perempuan dan ke bawah.
  • Saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.
  • Ibu saudara sebelah bapa dan ibu saudara sebelah ibu, sekalipun jauh hubungan persaudaraannya. Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu sebapa, seibu atau sebapa.
  • Anak perempuan kepada saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.

Sehubungan itu, apabila wujud hubungan kekeluargaan disebabkan penyusuan, maka golongan yang sama daripada susur jalur ibu susuan juga haram dikahwini.

Sebagaimana yang diketahui, hubungan keturunan menyebabkan haram persemendaan, iaitu:

  • Suami haram berkahwin dengan ibu mertua dan anak tirinya.
  • Seorang lelaki haram berkahwin dengan ibu tirinya dan juga menantunya.

Justeru, jika hubungan kekeluargaan adalah dengan sebab susuan, maka hukumnya haram persemendaan, sama dengan hubungan keturunan. Oleh itu, suami haram berkahwin dengan ibu susuan kepada isterinya dan anak susuan kepada isterinya.  (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji, 4/211)

Seorang lelaki juga haram berkahwin dengan isteri kepada bapa susuannya dan isteri kepada anak susuannya, iaitu menantu susuan. Pengharaman perkahwinan tersebut adalah disebabkan persemendaan. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Mereka yang haram dikahwini kerana keturunan, haram juga dikahwini dengan susuan.”

Riwayat al-Bukhari (2502) dan Muslim (1447)

Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam