#5295: Syarat-Syarat Pewakaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya berhajat untuk mewakaf sebahagian tanah saya di Kuala Lumpur, tetapi saya tidak tahu syarat-syarat untuk berwakaf ini. Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wakaf

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa arab pula, wakaf berasal dari pada perkataan waqf bererti berdiri atau berhenti. (Lihat Lisan al-Arab, 9/359) Perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf ialah al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. (Lihat al-Takrifat al-Fiqhiyyah, hlm. 239) Kebanyakan ulama fiqh mentakrifkan wakaf dari segi bahasa dengan perkataan al-Habs kerana perkataan ini lebih hampir kepada pengertian syarak.

Dari sudut Istilah pula, para ulama telah mengemukakan beberapa pentakrifan tentang wakaf seperti berikut:

Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks syariah sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat Al-Mughni, 12/175)

Wahbah al-Zuhayli menyebut, “Wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan ke atasnya (Mauquf Alaihi)”. (Lihat Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/4553)

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran:92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat redha Allah SWT dan RasulNya. (Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496)

 

 Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat tiga syarat sebagai pewakaf yang perlu difahami terlebih dahulu sebelum mewakafkan suatu harta:

Syarat-syarat Pewakaf

Bagi menjadikan wakaf ini sah dari segi syara’, pewakaf tersebut disyaratkan seperti berikut:

Pertama: Sah interaksinya (صحة العبارة). Pewakaf mestilah seorang merdeka, baligh dan berakal. Wakaf seorang hamba tidak sah kerana hamba tiada hak milik, bahkan dirinya sendiri dan hartanya dimiliki oleh tuannya. Wakaf daripada kanak-kanak dan orang gila juga tidak sah, sekalipun ia dilakukan melalui penjaga mereka.

Jika kanak-kanak (sekalipun sudah mumayyiz) atau seorang gila mewakafkan hartanya, maka wakaf tersebut batal, sekalipun dengan persetujuan penjaga mereka. Ini kerana kanak-kanak dan orang gila tidak layak di sisi syara’ untuk berwakaf dan tidak harus bagi penjaga mereka untuk menderma sesuatu pun daripada harta keduanya.

Kedua: Kelayakan untuk bersedekah. Orang yang dihalang berbelanja (al- Mahjur Alaih) kerana bodoh atau muflis, golongan ini dilarang daripada menguruskan harta mereka. Maka, tidak sah sumbangan mereka dan tidak harus diserahkan harta kepada mereka. Adapun bagi orang yang lemah fikiran dihalang berbelanja adalah untuk kebaikannya dan bagi yang muflis adalah untuk kebaikan para pemiutangnya. Allah SWT berfirman:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu.

(Surah al-Nisa’: 5)

Di dalam ayat di atas, al-Sufaha’ di dalam ayat ini ialah orang yang tidak boleh membelanjakan hartanya dengan baik. Asal perkataan safah ialah kurang atau ringan.

Imam al-Syafie Rahimahullah menafsirkan kalimah al-Sufaha’ di sini sebagai orang yang membazir harta dengan membelanjakannya pada perkara yang haram.

Ayat di atas menyandarkan harta-harta itu kepada penjaga- penjaganya, sedangkan pada hakikatnya, ia adalah milik al-Sufaha’. Ini kerana harta-harta tersebut berada di dalam milik atau kuasa penjaga- penjaga dan mereka inilah sebenarnya yang memeliharanya.

Ka’ab bin Malik menceritakan: Nabi SAW telah menahan harata Muaz bin Jabal RA dan menjual harta milik Muaz kerana hutang yang dimilikinya. Hasilnya dibahagi-bahagikan kepada pemiutang- pemiutang.

Namun, mereka hanya memperoleh lima pertujuh (5/7) daripada hak mereka. Lalu, Nabi SAW bersabda: “Hanya itu yang boleh kamu perolehi.”

Riwayat al-Hakim (2/58) dalam bab Buyu’, al- Daraqutni dan lainnya.

Ketiga: Sukarela atau secara pilihan. Tidak sah wakaf orang yang dipaksa kerana syarat sukarela adalah antara syarat taklif. (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji, 5/13)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam