#5299: Hikmah Disyariatkan Wasiat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hikmah di sebalik pelaksanaan wasiat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Wasiat

Wasiat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yg disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.

Menurut Sayyid Sabiq, wasiat didefinisikan sebagai hadiah daripada seseorang kepada orang lain sama ada secara ‘ain, hutang, atau manfaat supaya ianya dimiliki oleh orang yang diwasiatkan sebagai hadiah selepas kematian pemberi wasiat. (Lihat al-Fiqh al-Sunnah, 3/583)

Firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

 (Surah al-Nisa’: 11)

Melalui ayat ini, Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa pembahagian harta hendaklah dilakukan setelah selesai urusan hutang si mati serta setelah dilaksanakan wasiat si mati. Antara pelunasan hutang dan juga pelaksanaan wasiat, pelunasan hutang mesti dahulukan ke atas wasiat. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ali RA, katanya:

 إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الآيَةَ: {مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ} «وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْلَ الوَصِيَّةِ

Maksudnya: Kamu membaca ayat ini (Surah al-Nisa’ ayat 12) dan Rasulullah SAW melunaskan hutang sebelum wasiat (dilaksanakan).

Riwayat Tirmizi (2094)

Namun begitu, Dr Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa antara sebab Allah S.W.T mendahulukan penyebutan wasiat ke atas hutang adalah kerana ia sebagai dorongan dan perintah untuk memperhatikan dan memenuhi wasiat yang ada serta larangan mengingkarinya. (Lihat Tafsir al-Munir, 4/276)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, di sini kami nukilkan pandangan Syeikh Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan Ali Asy-Syarbaji berkenaan hikmah pensyariatan wasiat:

Hikmah Disyariatkan Wasiat

Jika menurut kaedah syara’, wasiat tidak harus kerana ia dilakukan ketika mana pewasiat tidak lagi mempunyai hak ke atas hartanya. Ini kerana kematian membatalkan hak miliknya. Walau bagaimanapun, Allah SWT telah mengharuskan wasiat kerana ia membawa faedah kepada pewasiat, kaum keluarganya dan masyarakat amnya.

Pewasiat menerima faedah apabila dia menerima ganjaran dan pahala kerana wasiatnya. Kebaikan beliau ini juga akan sentiasa disebut-sebut selepas kematiannya. Kaum keluarganya juga menerima faedah kerana kebiasaannya, wasiat ditujukan kepada kaum keluarga yang tidak menerima sebarang pusaka.

Dengan ini, mereka boleh menerima sebahagian daripada harta pusaka tersebut melalui wasiat. Pada kebiasaannya juga, mereka ini terdiri daripada orang-orang yang amat memerlukannya.

Faedah yang diterima oleh masyarakat pula ialah wasiat merupakan salah satu cara untuk menyumbang kepada kepentingan tertentu, seperti pembinaan masjid, sekolah, hospital dan seumpamanya. Ada juga di antara wasiat ini yang ditujukan kepada golongan tertentu, seperti fakir miskin, ilmuan, mahupun anak-anak yatim. Dengan ini, wasiat bolehlah dianggap sebagai suatu sistem takaful sosial dalam sistem Islam kerana faedah dan kebaikan sistem ini amat jelas. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,5/44)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari di mana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”