#5302: Hukum-Hukum Berwasiat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh dato jelaskan tentang hukum berwasiat? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wasiat merupakan salah satu dari amal kebaikan yang dilakukan seseorang bagi menampung kekurangannya daripada amal kebaikan ketika hayatnya, dan juga wasiat itu kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

Wasiat ini disyariatkan berdasarkan firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”

Dan juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ حِينَ الْوَصِيَّةِ اثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 106)

Ini juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏

Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat empat hukum dalam berwasiat:

  • Wajib

Wajib sekiranya terdapat tanggungjawab syar’ie yang perlu dilaksanakan kepada Allah SWT, seperti zakat dan haji, dan dia bimbang harta ini akan habis sekiranya tidak diwasiatkan.Demikianlah juga jika berkaitan dengan tanggungjawab kepada manusia, seperti harta simpanan (wadi’ah) dan hutang sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain.

  • Haram

Wasiat adalah haram menurut syara’ jika dia mewasiatkan perkara yang haram melakukannya, seperti mewasiatkan arak atau mewasiatkan sesuatu yang boleh mencemar akhlak masyarakat selain haram wasiat sebegini tidak boleh dilaksanakan. Antara wasiat yang diharamkan ialah wasiat yang bertujuan menyusahkan waris-waris dan menghalang mereka daripada menerima bahagian yang ditetapkan oleh syara’.

Allah SWT melarang wasiat yang bertujuan menyusahkan (memudaratkan) orang lain. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

غَيْرَ مُضَارٍ وَصِيَّةً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ

Maksudnya: Wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudharat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

(Surah al-Nisa’: 12)

  • Harus

Wasiat diharuskan jika ditujukan untuk sahabat handai atau orang kaya, yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan soleh. Jika wasiat bertujuan baik dan bertujuan untuk menghubungkan silaturrahim, maka wasiat ini dianggap sunat kerana ia bertujuan mentaati Allah.

  • Makruh

Wasiat adalah makruh sekiranya pewasiat seorang yang kurang berada dan memiliki waris-waris yang miskin serta memerlukan harta. Wasiat juga makruh sekiranya diberikan kepada orang yang fasiq dan jahat. Pewasiat merasakan kemungkinan besar, harta ini akan digunakan ke arah kejahatan.

Semoga dengan sedikit pencerahan ini akan memberikan kita kefahaman yang lebih baik berkenaan isu wasiat, seterusnya mengamalkannya bersesuaian dengan ketetapan syara‘. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,5/45)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Wallahu a‘lam